Now Reading
Kes Zara Qairina: AGC Arah Jalankan Inkues, Ini Maksudnya

Kes Zara Qairina: AGC Arah Jalankan Inkues, Ini Maksudnya

Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan agar prosiding inkues dilakukan berhubung kematian Zara Qairina susulan laporan siasatan yang dikemukakan oleh PDRM baru-baru ini.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak kebelakangan ini, insiden kematian membabitkan pelajar Tingkatan 1 Zara Qairina Mahathir, menjadi buah mulut dalam kalangan orang ramai apatah lagi terdapat dakwaan berlakunya kes buli.

Pada 17 Julai lalu, Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu setelah ditemukan dalam longkang berhampiran asramanya.

Namun jenazahnya telah digali semula Sabtu (9 Ogos) lalu dengan bedah siasat dijalankan pada 10 Ogos.

Baca Artikel Berkaitan: Tragedi Zara Qairina: KPM Arah Audit Keselamatan Di Semua Sekolah

Baca Artikel Berkaitan: Harus Hukumnya Gali Semula Kubur Bagi Tujuan Bedah Siasat – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

AGC Arah Prosiding Inkues Atas Kematian Zara Qairina

Dalam perkembangan terkini, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengeluarkan arahan agar prosiding inkues dijalankan susulan kematian Zara Qairina.

Menerusi satu kenyataan hari ini (13 Ogos), keputusan itu dibuat oleh pihak AGC susulan laporan siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.

“Setelah Jabatan ini meneliti laporan siasatan dikemukakan PDRM berhubung kes kematian Zara Qairina pada 12 Ogos lalu, AGC memutuskan agar inkues dijalankan, selaras peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

“Prosiding inkues ini bertujuan menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.

“Proses ini akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang,” kata kenyataan itu.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Ini Maksud Prosiding Inkues & Prosedur Yang Dijalankan

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapakah prosiding inkues perlu diadakan bagi kes seseorang meninggal dunia.

Menurut laporan Berita Harian, inkues dijalankan dalam keadaan siasatan diperlukan bagi menentukan fakta berhubung punca kematian.

#1. Keadaan kematian yang memerlukan inkues

Prosedur ini dilakukan sekiranya seseorang meninggal dunia dalam keadaan tertentu yang spesifik, seperti secara mengejut atau cara yang tidak dapat dijelaskan.

Ia dijalankan untuk mengenal pasti perkara berkait kematian termasuk identiti si mati, waktu dan tempat meninggal dunia serta perkara yang menyebabkan kematiannya.

Antara keadaan kematian yang memerlukan prosiding inkues diadakan adalah:

  • Punca kematian tidak diketahui.
  • Kematian yang tidak semula jadi atau akibat keganasan.
  • Identiti si mati tidak dapat dikenal pasti.
  • Kematian dalam tahanan (contohnya banduan yang sedang dipenjara).
  • Tiada sijil kematian perubatan dikeluarkan.
#2. Prosiding inkues membabitkan koroner

Memandangkan inkues merupakan sejenis siasatan kehakiman, prosedur ini akan diketuai oleh seorang hakim yang digelar koroner.

Tugas koroner adalah untuk mendengar semua keterangan bagi menyiasat punca kematian dan memberi keputusan berdasarkan kesimpulan yang dicapai.

Seorang koroner perlu dilantik daripada kalangan peguam yang berpengalaman (peguam cara) sekurang-kurangnya lima tahun. Terdapat juga koroner yang mempunyai kelayakan perubatan.

Inkues akan dibuka oleh koroner apabila siasatan yang dijalankan menerusi bedah siasat tidak dapat menjelaskan punca kematian, atau dalam kes kematian berpunca daripada sebab luar biasa.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)
#3. Juri & saksi mungkin terlibat dalam prosiding inkues tertentu

Dalam sesetengah kes, inkues wajib dijalankan di hadapan juri. Antaranya:

  • Si mati meninggal dunia dalam tahanan dan kematiannya adalah akibat keganasan, tidak semula jadi, atau puncanya tidak diketahui.
  • Kematian berpunca daripada tindakan atau kelalaian pegawai polis atau anggota pasukan polis tentera.
  • Kematian disebabkan oleh kemalangan, keracunan atau penyakit yang wajib dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Di samping itu, sesetengah saksi mungkin akan diarahkan hadir ke prosiding inkues oleh koroner, termasuk saksi mata, doktor, pegawai polis dan mana-mana individu yang difikirkan terkait.

Jika diadakan di mahkamah terbuka, sesiapa sahaja termasuk orang awam boleh menghadiri prosiding inkues.

#4. ‘Properly Interested Person’ (PIP) Ada Kepentingan Khusus Dalam Inkues

Berdasarkan Seksyen 47(2) Coroners and Justice Act (CJA) 2009 (United Kingdom), orang yang mempunyai kepentingan khusus dalam inkues digelar sebagai PIP.

Antara individu tersebut termasuk:

  • Waris atau pasangan si mati.
  • Anak-anak si mati.
  • Adik-beradik, datuk nenek atau adik-beradik tiri si mati.
  • Profesional yang mempunyai kaitan dengan si mati.
  • Mana-mana individu lain yang dirasakan oleh koroner mempunyai kepentingan.

Dalam masa sama, pihak keluarga juga selalunya akan diminta untuk melantik seorang wakil sebagai point of contact (orang hubungan) bagi tujuan:

  • Diberitahu bila jenazah boleh dilepaskan selepas bedah siasat.
  • Mendapatkan keputusan utama bedah siasat.
  • Diberitahu tarikh, masa dan tempat inkues.
  • Melihat bukti bertulis yang akan dikemukakan.
  • Membuat bantahan terhadap mana-mana bukti.
  • Berpeluang menyoal saksi semasa perbicaraan.

Prosiding inkues bagi kematian orang tersayang merupakan satu pengalaman yang menyedihkan bagi ahli keluarga.

Oleh yang demikian, wakil peguam boleh dilantik agar soalan penting dapat ditanya kepada ahli keluarga.

#5. Ini yang berlaku ketika prosiding inkues

Berbeza dengan perbicaraan mahkamah, inkues merupakan satu proses yang dijalankan bagi mencari fakta berkaitan kematian si mati.

Ketika proses inkues, koroner akan menyoal saksi terlebih dahulu sebelum membenarkan PIP atau peguam mereka mengemukakan soalan. Koroner seterusnya akan membuat kesimpulan.

Namun dalam kes yang membabitkan juri, rumusan bukti dan arahan undang-undang akan dikemukakan oleh koroner, sebelum juri membuat kesimpulan.

Seelok-eloknya, prosiding inkues perlu dijalankan dengan segera terutamanya dalam tempoh enam bulan. Namun koroner boleh memaklumkan kepada PIP jika lebih masa diperlukan.

#6. Ini contoh kesimpulan yang dibuat ketika prosiding inkues

Prosiding inkues dilakukan untuk mengenal pasti sebab kematian yang tidak difahami pada mulanya.

Antara kesimpulan yang mungkin dibuat setelah inkues dijalankan adalah:

  • Kematian semula jadi.
  • Kemalangan atau kejadian tidak sengaja.
  • Pembunuhan tidak sah.
  • Bunuh diri.
  • Pembunuhan sah (contohnya mempertahankan diri atau tindakan tentera ketika perang).
  • Keputusan terbuka (open verdict) jika bukti tidak mencukupi.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Kematian Zara Qairina: Mustapha Sakmud Nafi Fitnah Kaitkan Isteri


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd