Tragedi Zara Qairina: KPM Arah Audit Keselamatan Di Semua Sekolah
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga menegaskan pendirian toleransi sifar terhadap tindakan buli dan pesalah mungkin akan digantung atau dibuang dari sekolah.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Nama ‘Zara Qairina’ kini berlegar-legar di seluruh pelusuk media sosial. Jiwa muda yang baru berusia 13 tahun itu diragut nyawanya dalam satu insiden yang menjadi tanda tanya buat semua.
Dalam pada itu timbul spekulasi bahawa Zara Qairina sebenarnya menjadi mangsa buli, seperti yang dapat didengari menerusi rakaman suara perbualan telefon dia dengan ibunya, Noraidah Lamat.
Insiden ini menimbulkan kerisauan dalam sesetengah pihak tentang jaminan keselamatan ke atas murid-murid ketika di sekolah, apatah lagi di asrama.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Kematian Zara Qairina: Mustapha Sakmud Nafi Fitnah Kaitkan Isteri
KPM Arah Audit Keselamatan Di Semua Sekolah Dalam Negara
Berkait dengan insiden tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan agar audit keselamatan segera dijalankan di semua sekolah, termasuk sekolah berasrama penuh.
Dapatan audit tersebut perlu dibentangkan kepada pihak pengurusan atasan KPM dalam tempoh tiga bulan.
Menerusi satu kenyataan, KPM berkata audit berkenaan akan memberi fokus terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkait keselamatan.
“Sistem aduan semasa, termasuk Portal Aduan Buli, akan diperbaharui. Ia akan meringkaskan dan mencakupi pilihan aduan tanpa nama untuk melindungi identiti pengadu dan saksi,” ujarnya.
KPM Praktik Toleransi Sifar Terhadap Buli
Di samping itu, KPM berkata satu jawatankuasa pembaharuan keselamatan akan diwujudkan yang merangkumi ahli akademik, organisasi bukan kerajaan, pakar dari pelbagai bidang, polis dan wakil dari jaringan Pembabitan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS).
Kementerian itu juga menegaskan pendirian toleransi sifar terhadap tindakan buli dan pesalah mungkin akan digantung atau dibuang dari sekolah.
Manakala pihak pentadbiran, guru dan pegawai pendidikan yang gagal mengurus aduan mengikut garis panduan yang ditetapkan akan berdepan tindakan disiplin.
KPM Akan Kenalkan Program ‘Bangkit Bermaruah’
Dalam masa sama, program intervensi baharu ‘Bangkit Bermaruah’ akan diperkenalkan untuk murid-murid yang digantung dari sekolah.
Menerusi inisiatif ini, mereka akan terlibat dengan perkhidmatan kemasyarakatan dan pembangunan diri.
KPM juga berkata sokongan psikososial akan diperkukuhkan di semua peringkat, dengan panduan dan guru kaunseling sebagai peranan utama dalam pencegahan dan campur tangan.
Kementerian itu menggesa semua pihak agar bekerjasama dalam menangani masalah buli dalam cara yang komprehensif dan terselaras. Ia menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab sosial untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat.
Kronologi Kes Zara Qairina
Zara Qairina Mahathir yang merupakan pelajar Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu.
Allahyarhamah sebelum itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama pada 16 Julai. Laporan awal menyatakan mangsa jatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
Pun begitu, banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan ini, termasuklah ibu arwah yang menyedari terdapat lebam pada bahagian belakang badannya ketika memandikan jenazah.
Pada 3 Ogos, Noraidah melakukan laporan polis kedua untuk menyatakan lebam yang dilihat pada jenazah anaknya. Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudiannya mengarahkan agar jenazah Zara Qairina digali semula bagi bedah siasat.
Sehubungan itu, jenazah Allahyarhamah telah digali semula pada Sabtu (9 Ogos) dengan bedah siasat dijalankan semalam (10 Ogos).
Proses bedah siasat dijalankan oleh empat pakar patologi termasuk pakar Perunding Patologi Forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Selangor, di bawah pemerhatian peguam dan pihak polis.
Pada 1.15 pagi tadi (11 Ogos), jenazah selamat dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang, selepas melalui proses bedah siasat selama lapan jam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
@lamhighwaystar50 Alhamdulillah slesai sudah semuanya dan berjalan lancar , semoga ada keadilan buat arwah adik ZARA allahuakbar ☝️ #justiceforzara #JUSTICEGORZARA 🕊️ #anaksyurga ♬ original sound – Norsalim Ali
@sanflower9994 Terima kasih kepada mereka yang setia sampai pagi dan buat live.. dapatlah kami yang jauh ni melihat adik Zara disemadikan #justiceforzara #fyp #JusticeForZaraQairina ♬ Instrumen Sedih – Khalif Arkhan
Baca Artikel Berkaitan: Harus Hukumnya Gali Semula Kubur Bagi Tujuan Bedah Siasat – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.