Now Reading
UMT Temui Spesies Ikan Baharu, Diberi Nama ‘Baji Azizah’ Sempena Prof Dr Siti Azizah

UMT Temui Spesies Ikan Baharu, Diberi Nama ‘Baji Azizah’ Sempena Prof Dr Siti Azizah

Ikan Baji Azizah ini telah dijumpai pada 5 dan 30 Jun 2016 ketika Ekspedisi Saintifik Sumber Perikanan Demersal Zon Ekonomi Eksklusif Pantai Timur.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Malaysia dengan hutannya yang tebal serta dikelilingi laut luas, merupakan negara yang kaya dengan khazanah flora dan fauna.

Sehubungan itu, para penyelidik dari dalam dan luar negara tidak lelah menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti spesies tumbuh-tumbuhan dan haiwan di dalam negara ini.

Penyelidikan sedemikian penting bagi mengkaji kepentingan flora dan fauna tertentu terhadap ekosistem alam.

UMT Temui Spesies Ikan Baharu Di Malaysia, Diiktiraf Zootaxa

Dalam perkembangan terkini, satu spesies ikan baharu yang dinamakan sebagai Rogadius azizahae atau nama tempatannya Baji Azizah telah ditemui di Malaysia.

Penemuan oleh penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu telah mendapat pengiktirafan daripada Zootaxa, badan antarabangsa yang mengesahkan penamaan spesies baharu pada 4 Ogos 2025.

Menurut Dr Tun Nurul Aimi Mat Jaafar dari Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur UMT, spesies ikan dari keluarga flathead itu telah dijumpai di luar pesisir pantai Terengganu dan Johor.

Penemuan hampir 10 tahun lalu, iaitu pada 5 dan 30 Jun 2016, adalah ketika menjalani Ekspedisi Saintifik Sumber Perikanan Demersal Zon Ekonomi Eksklusif Pantai Timur bersama Jabatan Perikanan Malaysia.

“Tiga spesimen ini ditemui pada kedalaman antara 53 hingga 58 meter ketika ekspedisi pelayaran saintifik bersama penyelidik UMT, penyelidik dan pegawai Jabatan Perikanan Malaysia serta pelajar,” katanya pada satu sidang media di UMT.

Spesimen ikan Baji Azizah. (Sumber: Journal of Fish Biology)

Bentuk Leper Bantu Ikan Baji Azizah Menyamar Dalam Pasir

Ikan Baji Azizah mempunyai saiz yang kecil dengan panjang antara 10 hingga 11 sentimeter, serta memiliki corak halus gelap pada sirip pelvis dan putih lutsinar di bahagian tengah.

Tambah Tun Nurul Aimi, ikan flathead ini mempunyai bentuk yang leper dengan warna tubuh perang menyerupai dasar laut, menjadikannya sukar dikesan.

Dengan ciri berkenaan, spesies ikan dasar laut ini didapati menyamar secara semula jadi di dalam pasir laut dalam.

Dalam masa sama, beliau berkata bahawa penemuan terbaharu ini menjadi bukti terdapatnya khazanah biodiversiti yang pelbagai di perairan Malaysia, khususnya Laut China Selatan.

“Ini membuka ruang luas kepada kajian lanjut terhadap komuniti ikan dasar laut di perairan Malaysia yang masih belum diteroka secara menyeluruh.

“Malah ia juga menyediakan landasan kepada UMT untuk memperkasa usaha konservasi, meningkatkan pemahaman tentang ekosistem marin serta memperkukuh dasar pengurusan sumber perikanan negara,” ujarnya dipetik Berita Harian.

Nama Ikan Baji Azizah Kenang Jasa Felo Penyelidik Utama UMT

Mengulas berkenaan pemilihan nama ikan tersebut, Tun Nurul Aimi berkata ia diambil sempena penghargaan kepada felo penyelidik utama UMT Prof Dr Siti Azizah Mohd Nor.

Jelasnya, banyak jasa yang telah dicurahkan oleh tokoh itu dalam bidang ekologi molekul dan pemuliharaan biodiversiti ikan di Malaysia.

Sidang media itu turut dihadiri oleh Siti Azizah yang menjelaskan bahawa kajian lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti sifat dan kepentingan ikan Baji Azizah terhadap ekologi dan ekosistem alam.

“Kita masih tidak tahu secara terperinci sifat pada ikan ini, tetapi semua ikan atau hidupan perlu kita pelihara bagi memastikan kekayaan biodiversiti marin.

“Lebih tinggi biodiversiti dalam satu ekosistem adalah lebih baik kerana daya tahan juga lebih tinggi, terutama dalam menghadapi isu perubahan iklim global yang menjejaskan banyak hidupan dan manusia,” katanya.

Baji Azizah Boleh Dibezakan Dengan Ikan Spesies Sama Menerusi Ciri-Ciri Tertentu

Penemuan ikan Baji Azizah ini telah diterbitkan dalam Journal of Fish Biology pada 4 Ogos 2025 yang ditulis oleh dua penyelidik UMT bersama tiga lagi dari Jepun.

Berdasarkan kertas kajian, spesies ikan baharu itu mempunyai bentuk yang hampir sama dengan ikan Rogadius mcgroutheri Imamura yang terdapat di perairan di timur Australia dan New Caledonia.

Kedua-dua spesies itu berkongsi ciri-ciri tertentu pada bahagian tulang belakang dan sirip ekor (caudal fin).

Namun mereka masih boleh dibezakan antara satu sama lain termasuk dari segi jumlah segmen pada sirip atas (dorsal fin), jumlah sisir insang bahagian bawah, warna pada bawah sirip ekor serta warna pada bahagian depan dan belah bawah ikan.

R. azizahae dan R. mcgroutheri mempunyai perbezaan yang ketara (Sumber: Journal of Fish Biology)

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ikan Masin, Keropok Ikan & Tiga Lagi Jenis Ikan Perlu Elak Jika Tengah Diet


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd