KJRI Cadang Jururawat Indonesia Berkhidmat Di Malaysia, Atasi Masalah Tenaga Kerja
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto berkata antara faktor lain cadangan itu diusulkan adalah kerana kira-kira 70% pesakit antarabangsa di Malaysia terdiri dari warga Indonesia.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini memaklumkan bahawa jumlah jururawat di negara ini dalam keadaan kritikal.
Susulan itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian tersebut sedang mengambil langkah bagi menanganinya termasuk meningkatkan jumlah pelatih.
Memetik Berita Harian, seramai 6,919 petugas kesihatan di bawah KKM telah meletakkan jawatan dan beralih ke sektor swasta, antara tahun 2020 hingga 2024. Jumlah tersebut membabitkan seramai 2,141 jururawat, masing-masing 1,754 lantikan tetap dan 387 lantikan kontrak.
KJRI Cadang Jururawat Dari Indonesia Isi Kekosongan Di Malaysia
Terbaharu, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru memberi cadangan agar satu kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia dilaksanakan bagi membolehkan jururawat dari Indonesia berkhidmat di negara ini sekaligus mengatasi isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan.
Menurut Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto, langkah itu merupakan situasi menang-menang (win-win situation) bagi dua negara ini.

Sumber: Malay Mail
Hal ini kerana, kira-kira 70% pesakit antarabangsa di Malaysia berasal dari rakyat Indonesia.
Beliau dalam masa sama percaya bahawa langkah terbabit akan memberi manfaat dua hala kerana Malaysia berdepan isu kekurangan tenaga kesihatan termasuk jururawat manakala Indonesia mempunyai lebihan tenaga kerja dalam bidang berkenaan.
“Mungkin di Johor, Melaka, kemudian di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, hampir semuanya mencatatkan purata 70% pesakit adalah rakyat Indonesia. Beberapa hospital di Sabah juga, saya dimaklumkan perkara yang sama.
“Oleh itu, sudah tentu ia akan menjadi situasi menang-menang sekiranya lebih ramai jururawat kami dapat bekerja di sini. Dari segi komunikasi, tiada masalah kerana saling memahami. Dari segi peluang, begitu juga dari segi budaya,” ujar Sigit.
Hospital Utama Di JB Alami Krisis Jumlah Petugas
Terdahulu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mendedahkan bahawa hospital utama di Johor Bahru sedang mengalami krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang serius serta kritikal.
Ia merangkumi seorang jururawat yang terpaksa menguruskan lebih 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, berbanding nisbah ideal sepatutnya iaitu 1:6 atau maksimum 1:8.

Sumber: Malay Mail
Dalam pada itu, Sigit menjelaskan bahawa kerjasama peringkat negeri dengan sebuah hospital di Johor telah pun dimulakan. Inisiatif itu turut melibatkan proses pengambilan calon sebelum mengemukakannya kepada pihak berkuasa di Kuala Lumpur untuk mendapat kelulusan.
“Ini memerlukan kelulusan daripada KKM, Lembaga Jururawat Malaysia dan pihak berkepentingan lain. Namun, kami mencuba kerana selama ini belum pernah dilakukan,” tambah Sigit.
Jururawat Indonesia Diiktiraf Banyak Negara
Berbicara tentang tahap kepakaran petugas kesihatan negara seberang, Sigit berkata bahawa jururawat dari Indonesia kini sudah diiktiraf di banyak negara termasuk Singapura, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Australia dan Jerman, membuktikan mereka mampu untuk berkhidmat di Malaysia.
“Kalau jururawat Indonesia boleh bekerja di negara tersebut tentu mereka juga boleh bekerja di Malaysia. Secara ASEAN, negara anggota juga telah bersetuju bahawa jururawat adalah antara profesion terbuka yang boleh berpindah negara. Tentu perlu ada penyesuaian kemahiran dan lain-lain mengikut peraturan sedia ada, namun itu bukan masalah besar,” kata Sigit.
Ramai Pesakit Dari Kepulauan Riau Terima Rawatan Di Johor & Melaka
Dalam masa sama, pihak KJRI juga bercadang untuk memfokuskan pengambilan jururawat dari Kepulauan Riau dan Riau sebagai permulaan bagi menempatkan tenaga kerja bidang kesihatan itu di hospital negara ini.
Di Tanjung Pinang sekitar Kepulauan Riau, terdapat institusi pengajian kesihatan iaitu Sekolah Tinggi Ilmu Kesehatan dan Politeknik Kesehatan milik Kementerian Kesihatan Indonesia yang boleh menjadi antara sumber utama calon jururawat untuk berkhidmat.

Sumber: Malay Mail
Langkah itu diusulkan kerana faktor geografi dan persamaan budaya, selain jumlah pesakit ramai dari kawasan tersebut yang mendapatkan rawatan di negeri seperti Johor serta Melaka.
“Kami sudah berbincang dengan sekolah kesihatan di sini untuk mewujudkan program ‘sandwic’ iaitu kurikulum akan digabungkan bagi membolehkan lulusan di Indonesia menyambung pengajian enam bulan di Malaysia sebelum berkhidmat di sini,” ulas Sigit lagi.
Lapor Sinar Harian, KJRI Johor Bahru merekodkan kira-kira 130,210 warganegara Indonesia menetap di wilayah kerjanya yang meliputi Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.
Baca Artikel Berkaitan: Malaysian Doctor Considers Resignation Over Remote Posting To Sabah
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



