Now Reading
Aktivis Palestin Awdah Hathleen Ditembak Mati Di Tebing Barat

Aktivis Palestin Awdah Hathleen Ditembak Mati Di Tebing Barat

Aktivis keamanan Awdah Hathleen sebelum ini merupakan sebahagian daripada kru dokumentari “No Other Land” yang memenangi anugerah Oscar.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dokumentari ‘No Other Land’ yang memberi gambaran tentang perjuangan rakyat Palestin dalam melindungi tanah tumpah darah mereka sebelum ini meraih anugerah Oscar bagi kategori Dokumentari Terbaik di Anugerah Akademi ke-97.

Walaupun dengan kemenangan itu yang boleh dikatakan membuka mata masyarakat global, pembantaian ke atas penduduk Palestin oleh rejim Zionis masih berlangsung.

Terbaharu, Palestin kehilangan seorang tokoh aktivis yang amat dikenali dan disayangi ramai, Awdah Hathleen.

Baca Artikel Berkaitan: Pemenang Oscar & Pengarah Bersama Dokumentari ‘No Other Land’ Yang Ditahan IDF Kini Dibebaskan

Aktivis Palestin Awdah Hathleen Ditembak Mati Oleh Peneroka Israel

Menurut laporan Al Jazeera, Hathleen yang merupakan sebahagian daripada kru dokumentari No Other Land, telah ditembak mati oleh seorang peneroka Israel.

Dia telah ditembak pada bahagian dada ketika berdiri di sebalik pagar di pusat komuniti Umm al-Kheir pada Isnin (27 Julai) lalu.

Lelaki berusia 31 tahun itu kemudiannya dibawa pergi oleh sebuah ambulans yang datang dari penempatan haram Carmel.

Ketika itu, pihak berkuasa Israel tidak mahu melepaskan tubuh badan Hathleen untuk pengebumian segera. Sebaliknya mereka hanya memaklumkan kepada keluarga bahawa dia telah meninggal dunia.

Penembak Hathleen Dikenal Pasti Sebagai Yinon Levi Menerusi Rakaman Video

Pada awal pagi waktu tempatan semalam (29 Julai), Pengarah Bersama dokumentari itu, Yuval Abrham menerusi platform X telah berkongsi satu video menyaksikan kejadian tembak-menembak.

Insiden tersebut dirakamkan di Masafer Yatta, Tebing Barat di mana dokumentari No Other Land mengambil tempat.

Tidak pasti siapakah yang merakamkan video tersebut, namun Abraham mengenal pasti penembak terbabit sebagai Yinon Levi.

Dia dilihat memegang pistol tangan sementara individu yang merakamnya berkali-kali menjerit agar Levi menembak dirinya.

Levi kemudiannya mula menembak sebelum orang ramai menjerit dan bertempiaran. Seorang lelaki dilihat berlari ke hadapan kamera dan meminta orang ramai agar berundur.

Namun tidak dapat dilihat menerusi video tersebut apabila Hathleen ditembak olehnya.

Di latar belakang, kelihatan sebuah jentolak yang menunjukkan ia mungkin digunakan untuk meroboh rumah rakyat Palestin.

Levi Dilepaskan Dari Tahanan & Diletakkan Di Bawah Tahanan Rumah

Menurut Abraham, Levi merupakan seorang Israel yang telah dihukum oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) pada 2024 atas serangan keganasan terhadap penduduk Palestin dan hartanah mereka.

Pun begitu hukuman yang dijalankan ketika era Biden telah dihentikan oleh pentadbiran Trump awal tahun ini.

Dalam laporan oleh AlJazeera, Levi telah diletakkan di bawah tahanan rumah (house arrest) semalam (28 Julai) selepas Mahkamah Majistret di Jerusalem tidak mahu mengekalkannya di dalam tahanan.

Memetik laporan media Israel Haaretiz, Levi berdepan tuduhan pembunuhan dan penggunaan senjata api secara haram.

Tuduhan tersebut berkait dengan pembunuhan Hathleen yang juga merupakan seorang guru bahasa Inggeris, yang ditembak mati pada Isnin (27 Julai) di kampung Umm al-Kheir.

Hatleen Aktivis Yang Disayangi Ramai

Hathleen merupakan seorang aktivis keamanan yang amat dikenali dan juga berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris.

Dia meninggalkan isteri, Hanady, dan tiga orang anak yang semuanya berusia bawah 10 tahun.

Selain itu, Hathleen juga merupakan seorang penulis dan pemain bola sepak bagi kelab tempatan di Masafer Yatta.

Di laman X, kumpulan aktivis di AS, Jewish Voice for Peace, berkata Hathleen merupakan tonggak kepada keluarga, kampung dan komuniti aktivis antarabangsa.

“Mengenali Awdah Hathleen adalah untuk menyayanginya,” katanya.

Hathleen Sebelum Ini Ditahan Di AS Sebelum Dihantar Pulang Ke Palestin

Middle East Eye melaporkan bahawa Hathleen pada bulan lalu telah ditahan di lapangan terbang San Francisco sebelum dihantar pulang ke Tebing Barat walaupun memiliki visa AS yang sah.

Perjalanan Hathleen bersama sepupunya, Eid Hathleen, ketika itu telah ditaja oleh Kehilla Community Synagogue di Piedmont, California.

Mereka dijadualkan untuk memberi ucapan di gereja, synagogue dan institusi lain sebagai sebahagian daripada misi antara agama yang sepatutnya mengampil tempat di California, Washington dan Boston.

Pengarah Bersama dokumentari ‘Israelism’, Erin Axelman, berkata Hathleen dan sepupunya merupakan aktivis keamanan Palestin yang penting.

“Mereka telah ke AS secara sah atas jemputan komuniti progresif Yahudi untuk memberi ucapan tentang keamanan dan keadilan di Palestin. Pentadbiran Trump telah menahan dan menghantar mereka pulang, hanya kerana mereka orang Palestin,” katanya.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd