Now Reading
Paus Pembunuh Guna Rumpai Laut Untuk Gosok Badan Sebagai Cara Berkomunikasi – Kajian

Paus Pembunuh Guna Rumpai Laut Untuk Gosok Badan Sebagai Cara Berkomunikasi – Kajian

Para penyelidik mempercayai bahawa tingkah laku dalam kalangan populasi paus pembunuh di Salish Sea ini merupakan salah satu bentuk penjagaan kulit.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Para penyelidik sering memerhatikan tingkah laku dalam kalangan haiwan yang saling tidak ubah seperti manusia.

Ikatan sosial di antara haiwan sesama spesies menunjukkan bahawa mereka juga berkomunikasi seperti manusia, malah turut menunjukkan sifat saling membantu.

Seperti sebelum ini, kajian mendapat ikan lumba-lumba mempunyai tabiat menggigit ikan buntal yang dilakukan secara berkumpulan sebagai salah satu interaksi sosial sesama mereka.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ini ‘Dark Side’ Dolphin Yang Mungkin Ramai Tak Tahu, Tak Sangka Betul!

Paus Pembunuh Lakukan ‘Allokelping’ Untuk Saling Rapikan Badan Satu Sama Lain

Siapa sangka, paus pembunuh yang terkenal dengan sifat ganasnya dalam memburu pemangsa juga mempunyai sisi yang boleh dikatakan sebagai comel.

Menerusi satu kajian yang diterbitkan dalam Current Biology, para penyelidik mendapati paus pembunuh di Salish Sea di Lautan Pasifik mempunyai tingkah laku yang luar biasa.

Mereka menggunakan rumpai laut sebagai alat untuk merapikan badan antara satu sama lain, tindakan yang digelar sebagai ‘allokelping‘.

Kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari University of Exeter dan Center for Whale Research itu dilakukan menerusi rakaman drone.

Tambah penyelidik, mamalia marin sebelum ini kerap didapati meletakkan rumpai laut kelp pada tubuh mereka dalam tingkah laku ‘kelping‘.

Sumber gambar: Permit kajian NMFS 27038

Allokelping Dilakukan Menggunakan Rumpai Laut Bull Kelp

Menggunakan gigi, paus pembunuh didapati mengambil atau mematahkan batang bull kelp, iaitu sejenis rumpai laut besar dan keras berwarna perang.

Mereka kemudiannya meletakkan rumpai laut itu di antara badan mereka dan seekor paus lain sebelum saling menggosok-gosok antara satu sama lain.

Perkara ini dilakukan oleh semua paus pembunuh dalam populasi tersebut, tidak kira usia mahupun jantina.

Para penyelidik membuat hipotesis bahawa tingkah laku ini dapat meningkatkan kesihatan kulit di samping mengukuhkan ikatan sosial.

Tambahan pula, populasi paus pembunuh lain pernah dilihat menggosokkan badan mereka pada batu licin di tepi pantai, mungkin untuk membuang kulit mati.

Bull kelp. (Sumber gambar: NOAA)

Berbeza Seperti Haiwan Lain, Paus Pembunuh Guna Allokelping Bagi Bantu Hubungan Sosial

Penemuan ini merupakan sesuatu yang unik kerana kebiasaannya alat hanya digunakan oleh haiwan bagi mendapatkan makanan.

“Kebanyakan contoh penggunaan alat oleh haiwan membabitkan untuk menyelesaikan masalah ekologi, seperti untuk mendapatkan makanan. Sebagai contoh, chimpanzee menggunakan batang kayu untuk mengorek anai-anai.

“Apa yang hebat tentang penemuan ini adalah alat rumpai laut digunakan bukan untuk mendapatkan makanan, tetapi bagi membantu hubungan sosial,” kata ahli biologi marin di University of Exeter, Darren Croft.

Di samping itu, pengarah eksekutif Centre for Whale Research itu turut menyatakan bahawa alat untuk tujuan sosial sangat jarang digunakan oleh haiwan dan hanya pernah diperhatikan dalam kalangan spesies primat.

Sumber gambar: Permit kajian NMFS 27038

Paus Pembunuh Ubah Rumpai Laut Agar Bersesuaian Untuk Digunakan Dalam Allokelping

Tambah pelajar siswazah di University of Exeter, Rachel John, allokelping didokumentasikan sebagai penggunaan alatan yang dicipta sendiri oleh mamalia marin.

“Populasi paus pembunuh itu bukan sahaja mencari kelp dengan panjang yang sempurna, tetapi mengubah rumpai laut yang panjang dan masih tertanam agar sesuai digunakan dalam allokelping,” jelasnya.

Di samping itu, dia berkata tingkah laku ini juga unik memandangkan mereka menggunakan rumpai laut itu dalam kerjasama dengan pasangan tanpa menggunakan tangan.

“Mereka pada mulanya menggunakan mulut untuk meletakkan kelp tersebut, tetapi kemudian hanya menggunakan momentum dan tekanan pada teras badan mereka untuk mengekalkan hubungan antara satu sama lain dan kelp di antara mereka,” kata John.

Sumber gambar: YouTube University of Exeter

Allokelping Dipercayai Sebagai Bentuk Penjagaan Kulit Bagi Paus Pembunuh

Walaupun tingkah laku ini dilakukan oleh banyak ahli populasi tersebut, namun paus pembunuh dengan kulit menggelupas yang lebih nyata dilihat lebih banyak melakukan allokelping.

Croft berkata ini menunjukkan bahawa perilaku itu mungkin bertindak sebagai satu bentuk penjagaan kulit.

Malah, rumpai laut berwarna perang seperti kelp diketahui mempunyai ciri-ciri anti-bakteria, oleh itu agak munasabah bahawa allokelping membantu meningkatkan kesihatan kulit paus pembunuh.

Allokelping Mungkin Kukuhkan Ikatan Sosial Menerusi Sentuhan Fizikal

Malah seperti manusia, sentuhan fizikal juga merupakan salah satu cara untuk haiwan berhubung antara satu sama lain.

“Kedua, kami rasa tingkah laku ini mungkin memainkan peranan dalam mengekalkan hubungan sosial. Sentuhan fizikal dikenali penting untuk hubungan sosial dalam banyak spesies termasuk manusia.

“Seperti kita memeluk rakan yang sudah lama tidak ditemui, mungkin allokelping memain peranan untuk mengukuhkan ikatan sosial antara paus pembunuh,” kata Croft.

Para penyelidik bagaimanapun mendedahkan bahawa populasi paus pembunuh tersebut berisiko pupus, dengan hanya 73 ekor yang dicatat dalam banci terkini.

Croft berkata mereka sedang kebuluran memandangkan populasi salmon yang menjadi makanan utama mereka telah berkurangan.

Baca Artikel Berkaitan: Pengarah Perikanan Terengganu Gesa Kajian Untuk Sahkan Ketulenan Muntah Ikan Paus


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd