Insiden Bot Terbalik Di Pulau Perhentian: Siasatan Bakal Dijalankan
Insiden bot terbalik di Pulau Perhentian yang berlaku pada Sabtu (28 Jun) malam telah mengorbankan tiga mangsa, manakala seorang kritikal dan 11 penumpang lain cedera ringan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada Sabtu (28 Jun) malam, sebuat bot pelancong yang membawa 15 penumpang berusia antara tiga ke 57 tahun, dilaporkan terbalik di Pulau Perhentian di Besut, Terengganu.
Tiga daripada mereka telah terkorban dalam kejadian tersebut manakala seorang kritikal dan 11 penumpang lain cedera ringan.
Sehubungan itu, pemandu bot berkenaan yang dalam lingkungan usia 20-an telah ditahan bagi membantu siasatan.
MMEA Lakukan Siasatan Terperinci Ke Atas Insiden Bot Terbalik
Dalam perkembangan terkini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MMEA) akan menyiasat sepenuhnya terhadap kejadian terbabit.
Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata walaupun insiden itu berlaku ketika ribut, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci termasuk ke atas lesen bot, kargo yang dibawa dan memastikan semua peraturan dipatuhi.
“Kami akan menghubungi mangsa yang terlibat dan melakukan siasatan terperinci dalam pelbagai aspek,” katanya dipetik The Star.
Tambah beliau lagi, pihaknya sentiasa meningkatkan kawalan dan penguatkuasaan terutamanya sejak aktiviti pelancongan di pantai dan di laut semakin rancak selepas Monson Timur Laut berakhir.
Pemandu Bot Mempunyai 5 Rekod Jenayah Dadah
Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa bekerjasama dengan MMEA dan Jabatan Laut Malaysia bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang termasuklah dalam kalangan pengendali bot pelancong.
Beliau turut mengingatkan pengendali bot agar memastikan kesemua pemandu tidak terlibat dengan sebarang jenayah terutamanya berkait penggunaan dadah.
“Ini adalah kerana berdasarkan siasatan, pemandu bot berusia lingkungan 20an itu mempunyai lima rekod jenayah berkait dadah.
“Jadi pihak polis dan agensi lain akan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang secara berterusan bermula sekarang,” katanya kepada pihak media.
Bot Terbalik Ketika Dalam Perjalanan Dari Pulau Perhentian Kecil Ke Pulau Perhentian Besar
Terdahulu, insiden yang berlaku di Pulau Perhentian itu telah mengorbankan tiga penumpang, iaitu anak beranak Arumugam Sativelo, 40, dan Sarrvihka Arumugam, 3, serta Vennpani Vijeya Raj, 10.
Manakala seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun, Sakthivel Thamil Selvan, dilaporkan berada dalam keadaan yang kritikal.
@ralingesh The Pulau Perhentian tragedy must not be taken lightly. A full and thorough investigation is urgently needed. Negligence that endangers lives must be held accountable. We cannot allow such preventable incidents to repeat and rob families of their loved ones. Tragedi di Pulau Perhentian tidak boleh dipandang ringan. Satu siasatan penuh dan menyeluruh perlu dijalankan dengan segera. Kecuaian yang membahayakan nyawa mesti dipertanggungjawabkan. Kita tidak boleh membiarkan insiden yang boleh dielakkan ini berulang dan meragut nyawa serta menghancurkan keluarga.
♬ original sound – RA Lingesh
Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu, insiden berlaku kira-kira jam 10.30 malam sewaktu penumpang dibawa menaiki bot dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar
“Difahamkan pada awalnya pemandu bot telah menasihatkan supaya perjalanan ditangguhkan berikutan keadaan cuaca buruk, namun mereka tetap mahu pulang ke penginapan.
“Ketika hampir tiba ke Pulau Perhentian Besar, bot berkenaan karam selepas berdepan hujan lebat, laut bergelora dan angin kuat,” katanya dipetik Sinar Harian.
Kesemua Mangsa Berjaya Ditemui Oleh Polis & Penduduk Setempat
Azamuddin memaklumkan bahawa operasi menyelamat yang dijalankan polis bersama penduduk setempat telah berjaya menemukan kesemua mangsa yang merupakan pelancong dari Pulau Pinang.
“Kesemua mangsa yang terlibat merupakan pelancong dari Butterworth, Pulau Pinang, yang bercuti selama tiga hari di pulau berkenaan sejak Jumaat lalu.
“Mayat tiga mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut, manakala mangsa kritikal dan 11 penumpang lain dirawat di Hospital Besut,” ujarnya.
Siasatan Awal Mendapati Kesemua Penumpang Tidak Memakai Jaket Keselamatan
Tambah beliau lagi, siasatan awal mendapati kesemua penumpang tidak memakai jaket keselamatan semasa menaiki bot tersebut.
Azamuddin berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden terbabit.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan diri dan keluarga ketika terlibat dalam sebarang aktiviti di laut atau di pulau.
“Polis turut mengingatkan semua pengusaha bot supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan, termasuk memastikan pemakaian jaket keselamatan oleh semua penumpang,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Aksi Lelaki Bantu Selamatkan Smartphone Pelancong Jatuh Dalam Laut Raih Pujian Ramai
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Cuaca Bertukar Buruk Ketika Aktiviti Jetski, Pelancong Terkandas Di Tengah Laut Hampir 30 Minit
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.