Anthony Loke Dedah Senarai Pesalah Laku Trafik Tertinggi, Perlu Bayar Saman Dalam Masa 14 Hari
Berdasarkan senarai yang didedahkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, firma pengurusan sisa pepejal KDEB Waste Management Sdn Bhd mempunyai jumlah saman tertinggi sebanyak 22,017.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apabila berada di atas jalan raya, tidak dapat dinafikan lagi bahawa setiap pengguna pasti didedahkan kepada risiko kemalangan.
Malang sekali apabila banyak nyawa tidak bersalah terkorban akibat kemalangan yang membabitkan kecuaian oleh pemandu kenderaan berat.
Seperti dalam nahas kemalangan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebelum ini, 15 pelajar dilaporkan maut manakala tujuh lagi cedera parah.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Bas Bawa Pelajar UPSI Terbalik Di Jalan Jeli – Gerik, 15 Maut & Tujuh Parah
Baca Artikel Berkaitan: Kemalangan Trak FRU & Lori Kerikil Ragut 9 Nyawa Anggota, 2 Lagi Kritikal
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ramai Berang Pemandu Lori Buat Pusingan U Haram, Hampir Sebabkan Rider Kemalangan
Menteri Pengangkutan Dedah Syarikat Dengan Saman Terkumpul Paling Tinggi
Pada Rabu (25 Jun), Menteri Pengangkutan Anthony Loke, mendedahkan beberapa nama syarikat dengan saman terkumpul terbanyak.
Menurut laporan The Star, pendedahan itu dilakukan olehnya memandangkan terdapat banyak kes kemalangan membabitkan lori dan bas yang mempunyai bilangan saman trafik tinggi.
Berdasarkan hantaran video di Facebook Anthony Loke, beliau mendedahkan bahawa syarikat yang berada di tempat pertama merupakan firma pengurusan sisa pepejal KDEB Waste Management Sdn Bhd yang mempunyai 22,017 saman aktif.
Ini diikuti dengan sebuah lagi firma sedemikian Mainiza Mantap Sdn Bhd dengan 5,108 saman.
Selain itu, sembilan lagi syarikat lain di dalam senarai tersebut semuanya mengendalikan kenderaan barangan dengan lebih 1,000 saman trafik tertunggak.

Tambah Loke, terdapat 17 syarikat bas ekspress dengan masing-masing memiliki lebih 200 saman tertunggak, manakala syarikat bas yang mendahului senarai itu mempunyai 540 saman.

“Senarainya panjang. Tetapi sebagai amaran, kami hanya mendedahkan sebahagian daripadanya.
“Kita tidak mahu lagi berlaku tragedi bas yang meragut banyak nyawa. Biarlah tragedi yang melibatkan pelajar-pelajar UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) menjadi pengajaran kepada semua,” katanya.
Syarikat Perlu Selesaikan Saman Dalam Masa 14 Hari Untuk Elak Disenarai Hitam
Sehubungan itu, Loke berkata syarikat-syarikat terbabit diberi masa 14 hari untuk membayar semua saman tertunggak.
Tiada diskaun yang diberikan dan syarikat yang gagal melangsaikan saman dalam tempoh terbabit akan disenarai hitam dengan serta-merta.
“Syarikat-syarikat itu harus berubah demi budaya jalan raya yang lebih selamat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Loke berkata pihaknya bersedia untuk memberi bantuan kepada syarikat agar mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.
“Sebagai contoh, kami boleh menasihati mereka bagaimana untuk melatih pemandu.
“Kami bukan hanya mahu menghukum. Kami akan memegang tangan mereka agar mematuhi peraturan,” jelasnya.
Memandu Laju Antara Kesalahan Trafik Utama Kenderaan Barangan & Bas Ekspress
Mengulas lanjut, Loke menerangkan bahawa lima kesalahan trafik utama melibatkan syarikat pengendali kenderaan barangan adalah:
- Kesalahan teknikal
- Tidak mempunyai lesen memandu sah
- Lebih muatan
- Tiada perlindungan insurans
- Melebihi had laju
Bagi syarikat bas ekspress pula, lima kesalahan utama adalah:
- Melebihi had laju
- Kesalahan trafik biasa
- Kesalahan teknikal
- Memandu tanpa lesen sah
- Tiada perlindungan insurans
Tambah Loke, pihaknya akan sentiasa merancang pelbagai langkah bagi meningkatkan keselamatan jalan raya di dalam negara.
“Jika masih ada syarikat yang degil dengan cara mereka, kami akan mempertimbangkan untuk membuat perkara ini (pengumuman syarikat dengan saman trafik tertinggi) satu langkah berkala,” tegasnya.
Laporkan Atau Viralkan Kecuaian Pengguna Jalan Raya Agar Tindakan Diambil
Dalam masa sama, orang awam juga digesa untuk membantu kementerian itu dengan berkongsi video yang memaparkan kecuaian pemandu.
“Jika anda tidak mahu melaporkan perkara itu, boleh viralkan sahaja video tersebut di media sosial,” katanya.
Dia juga menjelaskan bahawa video dirakam perlu dengan jelas memaparkan plat nombor kereta, nama syarikat, lokasi serta masa dan tarikh insiden.
Video yang diterima kemudiannya akan diselidik oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan tindakan segera bakal diambil jika kesalahan dibuktikan.
Baca Artikel Berkaitan: Adakah Melarang Perjalanan Pada Waktu Malam Bagi Pelajar Universiti Bantu Elak Kemalangan?
Baca Artikel Berkaitan: Ahli MKJR Saran Wajibkan Pakai Seatbelt Dalam Bas Demi Kurangkan Risiko Kemalangan Maut
Baca Artikel Berkaitan: “Dia Elak Hantu Ke?” – Ramai Bingung Viva Tiba-Tiba Tukar Lorong Sampai Berlaku Kemalangan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.