Now Reading
Kematian Pertama Covid-19 2025 Di Malaysia, Ini Info Anda Perlu Tahu

Kematian Pertama Covid-19 2025 Di Malaysia, Ini Info Anda Perlu Tahu

Pesakit tidak mendapatkan dos penggalak ke-2, selain mempunyai penyakit jantung dan diabetes.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum virus Covid-19 merupakan satu penyakit yang serius dan boleh mengundang pelbagai kesan buruk kepada individu. Impak paling teruk adalah ia mampu meragut nyawa seseorang.

Perkara tersebut merupakan satu insiden mengerikan pada tahun-tahun sebelum ini apabila jumlah kematian akibat serangan Covid-19 dilihat membimbangkan.

Terbaharu, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan semalam (19 Jun) memaklumkan terdapat satu kes kematian akibat Covid-19 direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-24 (ME24).

Gambar sekadar hiasan.
Sumber: Malay Mail

Ia sekaligus menjadikannya kes pertama bagi tahun 2025.

Sehingga ME24, sebanyak 21,738 kes Covid-19 dilaporkan secara kumulatif dengan purata mingguan kekal sekitar 900 kes.

Menerusi kenyataan sama, KKM turut memaklumkan bahawa berlakunya peningkatan kes Covid-19 sebanyak 68% iaitu kepada 3,379 kes pada ME24 berbanding 2,011 kes pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, kementerian itu menegaskan bahawa situasi semasa Covid-19 di Malaysia masih terkawal dan di bawah paras amaran kebangsaan.

Nyawa Terkorban Melibatkan Individu Tak Ambil Vaksin Booster Ke-2

Berbicara tentang kes kematian pertama tahun ini, KKM berkata ia membabitkan individu yang mempunyai komorbiditi serius iaitu penyakit jantung dan diabetes serta tidak menerima dos penggalak (vaksin booster) ke-2.

Sumber: Pexels

“Situasi ini membabitkan penurunan ketara berbanding 57 kes kematian Covid-19 pada 2024.

“Kematian terakhir sebelum ini berlaku pada 26 Mei 2024. Ini menunjukkan keberkesanan pelaksanaan langkah kawalan oleh KKM,” jelas kementerian itu lagi.

6 Kes Positif Dapatkan Rawatan Di ICU

Sementara itu, pada minggu sama ME24, enam kes Covid-19 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) melibatkan individu berkomorbiditi (golongan rentan dengan penyakit sedia ada) iaitu hipertensi, diabetes, dislipidemia, penyakit jantung dan Sindrom Down.

“Kesemua kes sedang menerima rawatan rapi dengan pemantauan profesional kesihatan.”

Langkah Pencegahan Bagi Tangani Kes Covid-19

Sebagai langkah proaktif dalam menangani penyakit ini, KKM menggalakkan golongan berisiko tinggi sebagai contoh warga emas, individu komorbiditi, remaja dengan imun badan rendah, ibu hamil dan petugas kesihatan untuk mendapatkan dos tambahan vaksin Covid-19.

Individu 18 tahun ke atas juga layak menerima vaksin berkenaan secara sukarela selepas konsultasi bersama Pegawai Perubatan.

Dapatkan Vaksin Covid-19 Secara Percuma

Mengulas lanjut, KKM menggesa orang ramai dari pelbagai peringkat usia bagi mendapatkan imunisasi atau vaksin mengikut keperluan.

Perkhidmatan tersebut boleh diterima secara percuma di klinik kesihatan kerajaan terpilih. Bagi memudahkan urusan, anda boleh buat tempahan temu janji dalam aplikasi MySejahtera atau secara walk-in.

Perlu diingatkan juga agar sentiasa berhati-hati dengan mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 meskipun sekarang berada di fasa hidup bersama virus berkenaan.

Sumber: Malay Mail

Antaranya adalah:

  1. Kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan sanitizer.
  2. Tutup mulut jika batuk dan bersin.
  3. ⁠Pakai pelitup muka jika bergejala atau berada di tempat sesak.

Baca Artikel Berkaitan: Pakar Perubatan Tepis Dakwaan Vaksin Covid-19 Punca Kanser

Baca Artikel Berkaitan: Sudah Terima Suntikan Dos Pertama, Dr Amalina Kongsi Fakta Vaksin Covid-19 Kepada Orang Ramai

Baca Artikel Berkaitan: Tiada Cadangan Laksana PKP, KKM Umum 5 Strategi Tangani Peningkatan Kembali Kes Covid-19


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd