Now Reading
Konflik Iran-Israel: Rakyat Malaysia Dijangka Dibawa Keluar Dari Iran Jumaat Ini – Fahmi Fadzil

Konflik Iran-Israel: Rakyat Malaysia Dijangka Dibawa Keluar Dari Iran Jumaat Ini – Fahmi Fadzil

Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil, tidak terlalu ramai warga Malaysia yang berdaftar di Iran termasuk kakitangan kedutaan, pelajar dan pelancong.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Konflik bersenjata antara Iran dan Israel kini sudah memasuki hari keenam sejak ‘Operation Rising Lion’ dilancarkan terhadap republik Islam itu pada Jumaat (13 Jun) lalu.

Serangan mengejut oleh rejim Zionis itu telah mengorbankan beberapa individu penting Iran, termasuk para saintis nuklear.

Sehubungan itu, Iran telah memulakan serangan balas menerusi ‘Operation True Promise 3’ sejak 14 Jun.

Baca Artikel Berkaitan: Israel Alami Kemusnahan Luar Biasa, Iran Lancar Sekurang-Kurangnya 100 Peluru Berpandu

Rakyat Malaysia Di Iran Mungkin Dibawa Keluar Jumaat

Terbaharu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa rakyat Malaysia yang berada di Iran dijangka dibawa keluar Jumaat ini (20 Jun).

Kata beliau, perkara itu telah dimaklumkan ketika mesyuarat Kabinet hari ini (18 Jun) oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Segala persiapan (seperti) visa telah dimuktamadkan dan insya-Allah mereka akan melakukan perjalanan keluar dalam tempoh sehari dua ini dan dijangka pada 20 Jun,” ujar beliau dipetik Awani.

Tidak Terlalu Ramai Warga Malaysia Berdaftar Di Iran

Fahmi menerangkan bahawa tidak terlalu ramai warga Malaysia yang berdaftar di Iran dan usaha untuk membawa mereka keluar sedang digerakkan oleh kerajaan.

“Menteri Luar telah memberikan sedikit perkembangan kepada Jemaah Menteri tentang situasi dan keadaan di mana beliau telah memaklumkan bahawa jumlah rakyat Malaysia sama ada yang berkhidmat (kakitangan kedutaan) malawakil, pelajar dan pelancong yang berdaftar dan berada di Iran tidak terlalu besar tapi mereka telah digerakkan untuk bergerak keluar,” kata beliau.

Beliau bagaimanapun tidak memberi butiran strategi yang bakal dilaksanakan secara terperinci memandangkan ia membabitkan aspek keselamatan.

Wisma Putra Nasihat Rakyat Malaysia Keluar Dari Iran Secepat Mungkin

Menerusi satu kenyataan oleh Kementerian Luar semalam (17 Jun), rakyat Malaysia yang sedang berada di Iran dinasihati untuk keluar dari republik itu secepat mungkin dengan sebarang kaedah selamat dan tersedia.

“Semua rakyat Malaysia yang berada di Iran adalah dinasihatkan agar meninggalkan negara tersebut dengan serta-merta melalui apa jua kaedah selamat dan tersedia.

“Situasi semasa adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal sebagai keutamaan Kementerian ini,” katanya.

Dalam pada itu, perkembangan keselamatan di Iran turut dipantau rapi oleh Kedutaan Besar Malaysia di Tehran.

Sekiranya berlaku kecemasan, rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia Tehran seperti maklumat di bawah.

Nombor telefon: +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606 dan +98 933 535 2602
E-mel: mwtehran@kln.gov.my / mwconsular.teh@gmail.com
Alamat: Kedutaan Besar Malaysia Tehran, No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St, Shahrak-e-Gharb.

IAEA Sahkan 2 Fasiliti Pengeluaran Pengempar Iran Jadi Sasaran Israel

Dalam satu perkembangan terkini, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menerusi platform X mengesahkan bahawa dua fasiliti pengeluaran pengempar di Iran telah mengenai sasaran serangan udara Israel.

Menurutnya, serangan itu telah mengenai dua lokasi penting dalam pembangunan komponen pengempar yang digunakan untuk pengayaan uranium iaitu bengkel TESA Karaj dan Pusat Penyelidikan Nuklear Tehran.

“Di tapak Tehran, satu bangunan yang digunakan untuk pembuatan dan ujian rotor pengempar canggih telah terkena serangan. Di Karaj, dua bangunan yang menghasilkan komponen pengempar telah musnah,” katanya.

Berdasarkan laporan Awani, kedua-dua tapak tersebut sebelum ini berada di bawah pemantauan IAEA sebagai sebahagian daripada perjanjian nuklear era Obama.

Pun begitu, pemantauan itu telah dihentikan selepas Iran mengurangkan kerjasama dengannya selepas Amerika Syarikat menarik diri Amerika Syarikat daripada perjanjian tersebut pada 2018.

Sebarang kenyataan rasmi bagaimanapun masih belum dikeluarkan oleh Tehran mengenai tahap kerosakan atau jumlah korban di kedua-dua lokasi berkenaan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd