Ninja Van Malaysia Umum Kerjasama Dengan PDRM Tangani Isu Scam Kurier
Ninja Van Malaysia menganjurkan ScamMinar pertama bersama PDRM dan pakar forensik sebagai usaha menangani peningkatan mendadak kes penipuan yang semakin membimbangkan di seluruh negara.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Penipuan dalam talian bukan lagi isu terpencil. Ia kini menjadi antara jenayah paling pantas berkembang di Malaysia, dengan ribuan mangsa dilaporkan setiap tahun.
Taktiknya semakin licik, menggunakan mesej ringkas, pautan palsu dan penyamaran sebagai wakil perkhidmatan kurier atau institusi kewangan. Ramai mangsa terpedaya kerana kurang pendedahan dan maklumat.
Keadaan ini menuntut tindakan pantas dan kerjasama semua pihak. Tanpa usaha bersepadu, lebih ramai pengguna berisiko menjadi mangsa penipuan yang semakin sukar dikesan.
Baca Artikel Berkaitan: Ninja Van Rai Bulan Perniagaan Kecil Pertama Di Malaysia, Indonesia, Thailand & Vietnam
Baca Artikel Berkaitan: Rakyat Malaysia Negara Paling Senang Kena Scam Berulang, Tertinggi Di Asia
ScamMinar Himpun PDRM, Pakar Forensik & Ninja Van Malaysia

Ninja Van Malaysia telah menganjurkan Panel Perbincangan ScamMinar sulung bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Raymon Ram, Pengasas dan Pengarah Urusan Graymatter Forensic Advisory Sdn. Bhd.
Ini sebahagian usaha menangani peningkatan mendadak kes penipuan yang semakin membimbangkan di seluruh negara, khususnya di Lembah Klang.
Antara sorotan utama ScamMinar ini ialah majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ninja Van Malaysia dan PDRM, yang menzahirkan komitmen bersama dalam memerangi penipuan berkaitan bungkusan.
Juga dalam meningkatkan kesedaran awam, dan memperkukuh keupayaan penguatkuasaan bersama demi melindungi pengguna di seluruh Malaysia.
Trend Meningkat, Ninja Van Malaysia Terus Perjuang Kesedaran

Pada tahun 2024, sebanyak 35,368 kes penipuan telah dilaporkan, mengakibatkan kerugian kewangan sebanyak RM1.6 bilion.
Walaupun hadir dalam pelbagai bentuk, penipuan terhadap pembeli dalam talian dikenal pasti sebagai ancaman yang semakin meningkat.
Dalam tahun yang sama, Ninja Van Malaysia merekodkan lebih daripada 17,000 kes penipuan, dengan 40% daripadanya tertumpu di Lembah Klang sahaja.
Trend ini terus meningkat pada tahun 2025, dengan lebih 3,500 laporan penipuan diterima dalam suku pertama tahun ini, melebihi jumlah yang direkodkan dalam mana-mana suku tahun sebelumnya.
Kebanyakan kes ini melibatkan penipuan Bayar Semasa Terima (COD), penipuan bungkusan palsu, dan penipuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Kesedaran & Kerjasama Jadi Fokus Utama

Walaupun turut menjadi mangsa, Ninja Van tetap tegas dalam pendiriannya dengan terus mendidik orang ramai dan meningkatkan kesedaran melalui pelbagai inisiatif, termasuk makluman penipuan dan kandungan pendidikan di media sosial.
Ketekalan penipuan ini menekankan kepentingan pendidikan awam yang berterusan serta kerjasama pelbagai pihak dalam melindungi pengguna.
Acara ini turut menampilkan sesi panel oleh pakar, yang merangkumi tanda amaran penipuan pembelian dalam talian, taktik penipuan yang semakin berkembang, tip perlindungan data, dan cara melaporkan aktiviti mencurigakan.
Lin Zheng, Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia berkata, “Di Ninja Van Malaysia, tanggungjawab kami melebihi sekadar logistik.

“Sebagai pemain utama dalam industri ini, kami mempunyai kewajipan untuk mendidik orang ramai mengenai ancaman penipuan yang semakin meningkat.
“ScamMinar ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk bukan sahaja menghantar bungkusan, tetapi juga menyampaikan kepercayaan dan keselamatan.
“Penipu semakin bijak, tetapi melalui kesedaran, pendidikan dan kerjasama, kita boleh sentiasa mendahului mereka selangkah.”
Yap Huat Tian, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Risikan/Operasi) Selangor, PDRM berkata, “Pendidikan awam dan kerjasama antara agensi adalah penting dalam menangani gelombang penipuan yang semakin meningkat.
“Inisiatif seperti ScamMinar menyediakan platform penting untuk menyampaikan maklumat kepada komuniti yang terdedah dan memperkasakan mereka dengan ilmu untuk melindungi diri.
“Kami memuji usaha proaktif Ninja Van Malaysia dalam usaha melibatkan seluruh negara ini.”
Raymon Ram, Pengasas dan Pengarah Urusan Graymatter Forensic Advisory Sdn. Bhd. berkata, “Penipuan menjejaskan kepercayaan awam, bukan sahaja terhadap perniagaan, malah juga terhadap institusi yang sepatutnya melindungi kita.
“Ia mengeksploitasi kelemahan tadbir urus, kelompongan digital, dan kurangnya kesedaran pengguna.
“Di Transparency International Malaysia, kami percaya bahawa usaha memerangi penipuan perlu melangkaui penguatkuasaan, ia memerlukan integriti, ketelusan dan kepekaan masyarakat.”
“Kami berbangga menyokong ScamMinar oleh Ninja Van Malaysia sebagai satu inisiatif tepat pada masanya yang menonjolkan kuasa kolaborasi antara penguatkuasa undang-undang, sektor swasta dan masyarakat sivil.
“Hanya melalui pendidikan berterusan, amalan korporat yang beretika, dan kerjasama pelbagai pihak barulah kita mampu menggugat ekosistem yang membolehkan penipuan terus berleluasa,” tambah beliau.
Perbincangan Panel Bongkar Modus Operandi & Evolusi Scam

Dalam sesi perbincangan panel ScamMinar, wakil-wakil dari Ninja Van Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pakar forensik telah berkongsi pandangan mengenai taktik terkini yang digunakan oleh penjenayah siber.
Fariz Maswan, Ketua Jualan Ninja Van Malaysia membuka perbincangan dengan menjelaskan tentang peningkatan insiden parcel scam dan bagaimana pihak mereka kini lebih bersedia melalui sistem pengukuran tahap penipuan serta protokol pencegahan.
Antara tiga bentuk penipuan utama yang dikenal pasti ialah penipuan Bayar Semasa Terima (COD), penipuan ghost scam yang melibatkan penyamaran penghantar dan barangan remeh yang tidak dipesan, serta penipuan melalui SMS dan pautan palsu (phising) hasil penyalahgunaan data peribadi pelanggan.
Ketiga-tiga bentuk penipuan ini menunjukkan evolusi taktik yang semakin sukar dikesan, sekali gus menuntut pendekatan keselamatan yang lebih strategik.
Dalam pada itu, Tuan Yap turut menyampaikan dapatan kes jenayah komersial yang merangkumi pelbagai kategori termasuk penipuan komputer, pemalsuan, pelanggaran amanah, pengubahan wang haram dan pinjaman tidak berlesen.
Beliau turut menjelaskan bagaimana scam seperti Macau Scam, Love Scam, pelaburan tidak wujud, penipuan e-dagang dan pemalsuan emel korporat terus menggugat pengguna.
Selain itiu, Tribunal Tuntutan Pengguna juga disebut sebagai salah satu saluran penyelesaian penting untuk mangsa.
Raymon pula menyelami aspek psikologi penjenayah siber, termasuk bagaimana ada individu direkrut menjadi scammer tanpa mereka sedar, sehinggakan ada yang terlibat kerana percaya mereka diupah untuk pekerjaan sah.
Beliau turut mendedahkan kewujudan ibu pejabat (headquarters) scam yang tersusun seperti syarikat profesional, lengkap dengan jabatan sumber manusia, pemasaran dan latihan.
Malah menurutnya, ada kes mangsa yang berjaya dibawa pulang dari pusat scam di luar negara, tetapi kemudian memilih untuk kembali semula atas faktor pendapatan mudah (fast money).
Respons Terhadap Soalan Peserta Tentang Demografi, Tindakan & Protokol

Dalam sesi soal jawab bersama para pengamal media, beberapa isu kritikal turut dibangkitkan.
Menjawab soalan berkaitan tindakan Ninja Van terhadap akaun penghantar yang disyaki terlibat, Fariz menjelaskan bahawa akaun yang menerima aduan berulang akan terus disekat.
Namun jika terdapat bukti kukuh dan kes berprofil tinggi, maklumat berkaitan akan turut dikongsikan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Apabila ditanya sama ada tindakan sedia ada mencukupi pula, Raymon menyatakan bahawa dari sudut penguatkuasaan, pihak berkuasa telah melakukan banyak, termasuk usaha bersama agensi seperti Transparency International Malaysia (TI-M).
Malah, undang-undang seperti Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan perlindungan Infrastruktur Kritikal Negara (CNII) juga telah mula memberi impak, walaupun kesannya masih dalam pemantauan.
Tuan Yap turut menjawab soalan mengenai tumpuan demografi kes penipuan yang dikatakan banyak berlaku di Lembah Klang. Menurutnya, kawasan bandar sememangnya lebih cenderung menjadi sasaran penjenayah siber kerana capaian internet yang tinggi.
Namun beliau memberi jaminan bahawa pihak berkuasa negeri lain turut aktif menjalankan program kesedaran di peringkat masing-masing.
ScamMinar ini juga disifatkan sebagai salah satu langkah strategik dalam usaha berterusan mendidik orang ramai, sambil menzahirkan bahawa pencegahan yang berkesan memerlukan kolaborasi rentas sektor dan sokongan seluruh masyarakat.
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Tips Penting Lindungi Diri & Keluarga Daripada Scammer. Penting Ya!
Baca Artikel Berkaitan: Scammer Online Guna Taktik Baru Tipu Pelanggan Masa COD Barang. Beware!
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.