Kerajaan Digesa Teliti Semula Peluasan SST, Tangguh Pelaksanaan Bagi Perubatan Swasta
CEO Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah, berkata pencukaian bahan mentah dan barangan pengantara di bawah SST akan menyebabkan harga jualan meningkat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu bermula sejak Ogos 2018, yang menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Terkini, kerajaan mengumumkan semakan semula kadar Cukai Jualan (CJ) dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (CP) yang akan dilaksanakan bermula 1 Julai 2025.
Dengan langkah ini, lebih banyak barangan dan perkhidmatan yang akan dikenakan cukai di bawah SST.
Baca Artikel Berkaitan: Bank Dunia Saran Malaysia Laksanakan Pembaharuan Cukai, Kenalkan Semula GST
Baca Artikel Berkaitan: Cukai Barangan Online 10% Hanya Untuk Produk Import Sahaja – Fahmi Fadzil
Baca Artikel Berkaitan: Cukai Barang Mewah Berkuat Kuasa Bermula 1 Mei 2024
Kerajaan Digesa Teliti Semula Perluasan SST
Pun begitu, berita perluasan cukai SST ini tidak diterima semudah itu, dengan para pemegang taruh menggesa agar kerajaan meneliti semula tindakan terbabit.
Mereka memberi amaran bahawa tindakan itu boleh menyebabkan kos sara hidup bertambah teruk dan meletakkan lebih banyak tekanan ke atas perniagaan kecil di sebalik keadaan ekonomi yang rapuh.
Kata mereka, terdapat kebimbangan disuarakan terhadap SST yang bersifat melata, kurang jelas dan berpotensi untuk mengikis perbelanjaan isi rumah di samping menekan margin perniagaan.
Kesan SST Akan Lebih Dirasai Oleh Isi Rumah B40 & M40
Menurut Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), peluasan SST akan memberi kesan tidak seimbang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Seperti yang diterangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Saravanan Thambirajah, isi rumah B40 dan M40 yang sudah pun membelanjakan sejumlah besar pendapatan mereka ke atas barangan keperluan akan merasai beban cukai 5% ke atas barangan seperti minyak masak, buah-buahan dan bijiran.
“Ia bukan sekadar tentang membayar lebih. Ia tentang perubahan yang perlu dilakukan oleh keluarga seperti mengurangkan pembelian nutrisi atau menangguh keperluan perubatan dan pendidikan,” katanya dipetik The Star.
Tambah Saravanan, kesan itu akan lebih dirasai di kawasan pendalaman dan separa-urban yang mempunyai alternatif terhad.

SST Boleh Cetus Kitaran Inflasi Tolakan-Kos
Katanya, walaupun sesetengah barangan asas kekal tidak dikenakan cukai, pencukaian bahan mentah dan barangan pengantara akan menyebabkan harga jualan meningkat, lebih-lebih lagi apabila kesannya digabung dengan rasionalisasi subsidi minyak.
Dia memberi amaran bahawa keadaan ini boleh mencetuskan kitaran inflasi tolakan-kos.
“Bagi mengurangkan kesan tersebut, kerajaan perlu memperluaskan bantuan tunai yang disasarkan seperti Sumbangan Tunai Rahmah, mempertimbangkan penarafan sifar barangan yang banyak digunakan oleh golongan B40 dan memantau harga secara ketat bagi mengelak pencatutan,” jelasnya.
Di samping itu, Saravanan turut menggesa panduan yang lebih jelas buat masyarakat awam, senarai mudah barangan dicukai, alat pemantauan harga bagi pengguna dan penguatkuasaan yang lebih kuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Nilai Ambang Pendaftaran SST Patut Ditingkatkan Ke RM2 Juta Bagi PKS
Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia memberi amaran bahawa pelaksanaan SST ini akan memberi beban yang tinggi terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sudah terkesan dengan kos input tinggi serta permintaan rendah.
Presidennya Datuk William Ng meminta agar nilai ambang pendaftaran SST ditingkatkan dari RM500,000 ke RM2 juta, atau agar perniagaan mikro dan kecil dikecualikan sepenuhnya.
Katanya, perluasan SST ini merangkumi sewa dan perkhidmatan antara perniagaan yang boleh menyebabkan kos operasi bertambah, sekaligus meningkatkan harga pengguna.
Dalam masa sama, Ng turut meminta panduan khusus sektor segera dari Jabatan Kastam bagi membantu mencegah ketidakpatuhan yang tidak disengajakan.
“Tanpa penjelasan pada masa yang tepat, banyak PKS kemungkinan akan melakukan ketidakpatuhan secara tidak sengaja walaupun penguatkuasaan dilonggarkan sehingga ke akhir tahun 2025,” ujarnya.
Ng berkata nilai ambang pengecualian lebih tinggi adalah langkah yang lebih berhati-hati di sebalik ketidakpastian situasi ekonomi semasa.
APHM Gesa SST Ke Atas Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta Ditangguhkan
Dari segi perkhidmatan perubatan, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) meminta agar perluasan SST itu ditangguhkan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta.
Presiden Datuk Dr Kuljit Singh menjelaskan bahawa lebih banyak masa diperlukan bagi memastikan peralihan yang lancar serta pematuhan penuh.
Dia juga meminta penjelasan tentang bagaimana cukai tersebut akan dikenakan ke atas yuran profesional dan pesakit warga asing yang menetap di Malaysia.
Walaupun cukai perkhidmatan 6% ke atas pesakit bukan warga Malaysia boleh menyebabkan penurunan jangka pendek dalam pelancongan penjagaan kesihatan, dia berkata impak jangka panjangnnya mungkin lebih terhad.
Dr Kuljit turut memberi amaran bahawa cukai yang diperluaskan itu akan meningkatkan beban kerja pentadbiran dan kos operasi, seterusnya menyebabkan ia ditanggung menerusi bil hospital yang lebih tinggi.

Peluasan SST Boleh Menekan PKS
Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) pula memberi fokus terhadap risiko makroekonomi yang lebih meluas.
Presiden Datuk Ng Yih Pyng mengingatkan bahawa peluasan SST di tengah-tengah keadaan ekonomi global tidak menentu dan ketidakpastian berkaitan dasar tarif Amerika Syarikat, boleh menekan PKS dan meningkatkan tekanan ke atas harga pengguna.
“Kami menggesa agar satu tinjauan dijalankan ke atas ambang pengecualian SST. Ia sepatutnya ditingkatkan ke RM2 juta bagi melegakan perniagaan mikro dan kecil,” tegasnya.
Barangan Tidak Penting Boleh Dikenakan Cukai 5%-10%
Terdahulu, diumumkan bahawa peluasan SST akan dilaksanakan mulai 1 Julai ini, yang memberi kesan terhadap pelbagai barangan dan perkhidmatan.
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF), kadar SST boleh dikategorikan seperti berikut:
- Tidak dikenakan ke atas keperluan asas.
- Barangan tidak penting berdepan cukai 5% hingga 10%.
- Skop cukai perkhidmatan diperluaskan kepada sektor-sektor baharu.
Sebagai contoh, cukai tidak dikenakan ke atas keperluan asas termasuk beras, sayur-sayuran, ubat-ubatan dan makanan haiwan peliharaan, bahan asas pembinaan serta bahan agrikultur.
Sebaliknya, produk seperti king crab, salmon dan buah-buahan import dikenakan cukai 5%, manakala basikal lumba dan karya seni lukisan tangan antik dicukai sebanyak 10%.
Bagi cukai perkhidmatan pula, sektor yang terkesan termasuk perkhidmatan sewa/ pajakan (8%), pembinaan (6%), kewangan (8%), perubatan swasta (6%), pendidikan swasta (6%) dan kecantikan (8%).
Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Selangor Naikkan Cukai Taksiran 25% Mulai 1 Januari 2025
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.