Pemilik Kenderaan Singapura Wajib Pasang Tag VEP-RFID, Tak Boleh Keluar Malaysia Jika Saman Tertunggak
Berdasarkan Menteri Pengangkutan, sistem VEP akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Julai ini dan pemilik kenderaan asing yang gagal mematuhi boleh disaman sehingga RM300.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sudah lama isu pelaksanaan Vehicle Entry Permit (VEP) ini dibincangkan, terutama melibatkan kenderaan asing dari Singapura yang keluar masuk sempadan Malaysia melalui Johor.
Ramai pemilik kenderaan dari negara jiran itu masih belum mengambil tindakan walaupun beberapa kali diberi peringatan oleh pihak berkuasa. Ada yang beranggapan ia belum wajib, ada juga yang mungkin belum jelas dengan prosedur pendaftarannya.
Namun kini, tempoh bertenang bakal tamat. Bermula Julai ini, sesiapa yang masih belum mendaftar atau mengaktifkan tag VEP-RFID mereka akan dikenakan saman, dan tidak dibenarkan keluar dari negara ini selagi belum diselesaikan.
Baca Artikel Berkaitan: Kenderaan Asing Dari Singapura Wajib Ada VEP Untuk Keluar Masuk Malaysia Mulai 1 Oktober Ini
Baca Artikel Berkaitan: Warga Singapura Buat ‘Onar’ Lepas Berang Kereta Dihalang Lalu Lorong Kecemasan
Dikuatkuasa Penuh Mulai 1 Julai, Tiada Lagi Toleransi
Memetik laporan MalayMail, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan bahawa sistem VEP akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Julai 2025.
Penguatkuasaan ini melibatkan semua kenderaan dari Singapura yang masuk ke Malaysia melalui Johor Bahru.
Sebelum ini, sistem ini hanya dikenakan secara berperingkat dengan notis peringatan kepada pemilik yang masih belum mendaftar.
Namun bermula bulan depan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan saman kepada mana-mana pemilik kenderaan asing yang tidak mendaftar atau mengaktifkan VEP mereka.
Buat masa ini, hanya motosikal dikecualikan daripada keperluan ini, walaupun kerajaan bercadang untuk mewajibkannya juga pada masa akan datang.
Loke menjelaskan, sebanyak 194,507 tag VEP-RFID telah dipasang setakat Jun, namun masih terdapat kira-kira 36,000 kenderaan dari Singapura yang belum mematuhinya.
Saman RM300, Tak Boleh Keluar Malaysia Jika Masih Gagal Pasang

Menurut Loke lagi, kesalahan gagal mematuhi VEP ini akan dikenakan kompaun sebanyak RM300. Jika dibawa ke mahkamah dan sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda sehingga RM2,000.
Selain itu, kenderaan yang melanggar peraturan ini tidak akan dibenarkan meninggalkan negara selagi saman tidak dibayar atau tag tidak dipasang.
JPJ juga hanya akan menerima bayaran secara bukan tunai di kaunter mahupun melalui platform dalam talian seperti MyEG bagi mengelakkan unsur rasuah.
Setakat ini, hanya kenderaan syarikat masih diberi pengecualian sementara bagi memberi masa untuk mereka menyesuaikan diri.
Pihak kementerian juga mendedahkan bahawa sebanyak 2,660 tag VEP-RFID telah dikeluarkan untuk kenderaan syarikat setakat bulan Jun.
Tiada tarikh khusus diberikan mengenai bila pengecualian untuk kenderaan syarikat ini akan ditamatkan.
Apa Itu Sebenarnya Vehicle Entry Permit (VEP)?

Vehicle Entry Permit (VEP) ialah satu bentuk pengesahan masuk bagi kenderaan berdaftar asing yang ingin memasuki Malaysia. Ia berfungsi seperti pasport atau kad pengenalan untuk setiap kenderaan luar negara.
Mengikut JPJ, semua jenis kenderaan asing termasuk milik kerajaan, swasta, komersial atau konsulat perlu memiliki VEP sebelum masuk ke negara ini. Buat masa ini, hanya motosikal diberikan pengecualian sementara.
VEP dikeluarkan mengikut Seksyen 66H Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikenakan caj sebanyak RM10 bagi satu permohonan.
Tag VEP-RFID yang dikeluarkan adalah unik, tidak boleh dipindah milik, dan sah selama lima tahun. Selain itu, semua kenderaan dari Singapura turut dikenakan caj jalan sebanyak RM20 untuk setiap kali masuk ke Malaysia.
Dengan penguatkuasaan penuh sistem ini bermula Julai, pemilik kenderaan dari Singapura disaran untuk segera melengkapkan pendaftaran dan pemasangan VEP-RFID bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Jerkah Pasangan Guna Kereta Plat Singapura Isi Minyak RON95 [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Sistem Pamer Kereta Singapura Miliki Saman PDRM Jadi Tumpuan Masyarakat
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



