Sarawak Catat Jangkitan Rabies Pertama 2025, Remaja Digigit Kucing Liar
Remaja berusia 13 tahun itu mula menunjukkan gejala termasuk demam, hilang selera makan, muntah, halusinasi, meracau, sukar berjalan dan sukar minum air pada 21 Mei lalu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Haiwan liar yang tidak diberi suntikan vaksin berpotensi membawa pelbagai penyakit berbahaya yang mungkin boleh menjangkiti manusia.
Salah satunya adalah Rabies atau dikenali juga sebagai penyakit anjing gila iaitu keadaan di mana sistem saraf tubuh badan manusia menjadi rosak akibat digigit haiwan yang membawa Lyssavirus.
Bagi mengenal pasti haiwan yang dijangkiti virus itu, ia akan bersikap lebih agresif berbanding biasa.
Baca Artikel Berkaitan: Punca Penyakit Rabies: Bangkai Anjing. Hati-hati!
Baca Artikel Berkaitan: Virus Nipah Undang Maut, Ini Penjelasan Doktor
Baca Artikel Berkaitan: Jangkitan Toxoplasmosis Boleh Sebabkan Buta, Ini Fakta Penting Anda Perlu Tahu
Remaja Dijangkiti Rabies Akibat Gigitan Kucing Liar
Terbaharu, seorang remaja di Kuching, Sarawak telah dijangkiti rabies akibat gigitan seekor kucing liar pada bulan ini.
Menerut Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, ini menjadikannya kes pertama jangkitan rabies dalam kalangan manusia bagi tahun 2025 di negeri itu.
Remaja berusia 13 tahun yang berasal dari Kampung Segedup itu mula menunjukkan gejala termasuk demam, hilang selera makan, muntah, halusinasi, meracau, sukar berjalan dan sukar minum air pada 21 Mei lalu.
“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), mengesahkan kanak-kanak itu mempunyai simptom rabies antaranya demam, hilang selera makan, halusinasi dan takut untuk minum air.
“Kebiasaannya apabila sudah sampai ke tahap ini, memang susah untuk pulih… kita telah mengambil langkah jaga-jaga dengan menangkap anjing-anjing liar di sekitar kawasan kejadian dan kucing liar itu telah pun disahkan mati,” katanya dipetik Awani.
Pihak Berkuasa Tempatan Tingkat Usaha Kawal Populasi Kucing & Anjing Liar
Ketika di sidang media mengenai Persidangan Rabies di Borneo 2025, di Bangunan Dewan Undangan Negeri, semalam (26 Mei), Rundi turut menjelaskan bahawa usaha sedang ditingkatkan oleh pihak berkuasa tempatan dalam mengawal kucing dan anjing liar di kawasan sekitar secepat mungkin.
Beliau juga menasihati orang ramai agar sentiasa peka mengenai ancaman jangkitan terbabit, dan segera dapatkan rawatan di hospital jika diserang haiwan sebelum virus rabies menyerang otak serta saraf.
“Tahun ini kita ada ambil 21 sampel kucing, dengan dua daripadanya disahkan positif rabies… Kebanyakan kes jangkitan yang digigit haiwan rabies dan mereka pergi segera ke hospital untuk rawatan suntikan mereka boleh pulih.
“Namun, kalau mangsa lambat ke hospital dan virus sudah sampai otak itu memang tidak dapat dipulihkan dan ia amat menyakitkan… itu yang kita nak elakkan,” ujarnya.
Di samping itu, Rundi turut berkongsi statistik berkenaan kes gigitan haiwan yang dilaporkan sejak tahun 2017 hingga minggu epidemiologi ke-20 tahun 2025 (11 hingga 17 Mei 2025).
Sepanjang tempoh itu, terdapat sebanyak 63,301 kes gigitan anjing, 57,210 kes gigitan atau cakaran kucing dan 1,832 kes gigitan haiwan lain yang dilaporkan.
Persidangan Rabies di Borneo 2025 Diharap Dapat Menemukan Penyelesaian Jangkitan Rabies
Dalam masa sama, beliau berkongsi harapan agar penyelesaian bagi memastikan negara-negara di Kepulauan Borneo bebas daripada jangkitan rabies dapat ditemukan menerusi edisi keempat Persidangan Rabies di Borneo 2025 pada tahun ini.
“Kita mahu lebih banyak pihak terlibat untuk memahami bahaya haiwan seperti anjing yang membawa virus rabies… jadi bagi persidangan kali ini kita menjemput Sabah, Kalimantan, Indonesia dan Brunei untuk berkongsi bagaimana untuk menangani isu ini.
“Kita juga menjemput negara yang berjaya memerangi rabies untuk berkongsi pengalaman mereka, seterusnya memastikan pihak kita melaksanakan polisi yang lebih berkesan,” katanya.
Untuk info, persidangan berkenaan dijadualkan berlangsung dari 30 September hingga 1 Oktober akan datang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.
Seseorang Dijangkiti Rabies Hampir 100% Akan Maut
Menurut Mayo Clinic, antara haiwan yang boleh menyebarkan penyakit Rabies ialah kelawar, rubah, rakun dan skunk, namun jangkitan paling banyak disebabkan oleh anjing liar di negara-negara membangun.
Rabies adalah penyakit yang amat berbahaya dan seseorang yang mula menunjukkan simptom hampir 100% pasti akan berakhir dengan kematian.
Antara simptom terawal rabies mungkin menyerupai gejala yang dialami ketika selesema dan berlangsung selama beberapa hari. Tanda dan simptom rabies seterusnya termasuk:
- Demam
- Sakit kepala
- Mual
- Muntah
- Fikiran terganggu (Agitation)
- Keresahan
- Kebingungan
- Hiperaktiviti
- Sukar menelan
- Keluar air liur yang banyak
- Takut terhadap cubaan meminum air kerana sukar menelannya
- Takut yang disebabkan tiupan angin pada muka
- Halusinasi
- Insomnia
- Separa lumpuh
![[Video] Kanak-kanak Alami Gejala 'Takut Air' Selepas Digigit Anjing Pembawa Rabies](https://www.therakyatpost.com/wp-content/uploads/2023/06/Video-Kanak-kanak-Alami-Gejala-Takut-Air-Selepas-Digigit-Anjing-Pembawa-Rabies.jpg)
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berkongsi langkah-langkah pencegahan yang perlu dilakukan bagi mengelakkan jangkitan penyakit rabies seperti berikut:
- Cuci bahagian tubuh yang digigit dengan sabun dan air mengalir bagi menghilang kesan air liur.
- Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika telah digigit haiwan seperti anjing atau kucing peliharaan yang agresif atau anjing liar.
- Pastikan anjing atau kucing peliharaan telah mendapatkan suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak bersama haiwan atau anjing liar.
- Jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar setempat.
- Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal.
- Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing peliharaan.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Kanak-kanak Maut Selepas Terkena Gigitan Anjing Pembawa Penyakit Rabies, Badan Alami Gejala ‘Takut Air’
Baca Artikel Berkaitan: Elak Terdedah Di Kawasan Bakteria Tercemar, Ini Info Tentang Penyakit Melioidosis Yang Anda Perlu Tahu
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.