Penganiayaan Seksual Kanak-Kanak Dijana Guna Deepfake AI, Sebabkan Ketagihan Di Kalangan Remaja – PDRM
Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11), SAC Siti Kamsiah Hassan, berkata keadaan ini juga meningkatakan kes ‘sextortion’ terutamanya yang disasarkan kepada kanak-kanak bawah umur.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kes jenayah seksual dalam negara dilihat semakin menjadi-jadi, malah sehingga melibatkan kanak-kanak di bawah umur.
Seperti yang dilaporkan baru-baru ini, seorang pempengaruh telah ditahan atas dakwaan menghantar mesej lucah kepada remaja bawah umur.
Di samping itu, terdapat juga pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan teknologi kepintaran buatan (AI) dalam menghasilkan bahan penganiayaan seksual, termasuk yang membabitkan kanak-kanak.
Baca Artikel Berkaitan: “Fikir Dulu Sebelum Send!” – Peguam Dedah Hantar Mesej Lucah Boleh Dipenjara [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Kes Guru Hantar Link Lucah: KPM Tak Kompromi Dengan Salah Laku Seksual
CSAM Dijana Guna Deepfake AI, Sebabkan Ketagihan Dalam Kalangan Remaja
Satu laporan The Star menjelaskan bahawa terdapat peningkatan mendadak dalam bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) yang dijanakan menerusi teknik palsu tulen (deepfake) teknologi kepintaran buatan (AI).
Perkara ini seterusnya menyebabkan ketagihan terhadap kandungan sedemikian, lebih-lebih lagi dalam kalangan remaja bawah umur.
Menurut Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, AI semakin disalah gunakan bagi menjanakan hyper-realistik CSAM termasuk imej deepfake.
Katanya, keadaan ini menyukarkan pengesanan dan menjadi cabaran buat penguatkuasaan undang-undang untuk menangkap pihak yang menjalankan salah laku itu.
Tambahnya lagi, pelaku juga mengeksploitasi aplikasi mesej yang disulitkan (encrypted) dan forum ‘dark web’ untuk berkongsi CSAM dan berkomunikasi tanpa nama.
Kes Ugutan Sektorsi Meningkat Sehingga Kebanyakan Mangsa Terdorong Untuk Bunuh Diri
Siti Kamsiah menjelaskan penyalahgunaan sedemikian juga telah meningkatkan kes sektorsi (ugutan menggunakan bukti aktiviti seksual), lebih-lebih lagi yang disasarkan kepada kanak-kanak bawah umur dan menerusi platform media sosial.
“Kebanyakan mangsa menerima ugutan yang menyebabkan mereka menjadi amat trauma dan mendorong mereka untuk membunuh diri.
“Dapatan terbaharu kami berdasarkan kes-kes dalam siasatan mendapati peningkatan dalam kalangan pelaku bawah umur atau remaja yang telah menjadi ketagih terhadap pornografi.
“Ramai ditemukan telah memuat turun dan menyimpan CSAM dalam storan awan (cloud storage) atau akaun emel,” katanya dipetik The Star.
Lebih 30% Kes Seksual Kanak-Kanak Babitkan ‘Influencer’
Dalam pada itu, pengantunan seksual kanak-kanak menerusi internet yang membabitkan pempengaruh semakin menjadi-jadi, kata Siti Kamsiah semalam (25 Mei).
Dia menerangkan lebih 30% kes seksual kanak-kanak diterima oleh pihaknya membabitkan pempengaruh atau pelaku yang dianggap sebagai idola, yang menggunakan populariti mereka bagi mendekati dan mendapatkan kepercayaan mangsa.
“Kes sedemikian meningkat kerana semakin ramai figura yang kononnya idola atau pempengaruh ini di platform media sosial berbanding sebelum ini.
“Kes pengantunan kanak-kanak semakin menjadi-jadi dan lebih senang dilakukan menerusi platform media sosial,” katanya.
Seperti dalam kes baru-baru ini, seorang pempengaruh yang dikenali sebagai CEO Batu telah ditahan pihak berkuasa kerana didakwa menghantar mesej lucah kepada remaja perempuan berusia 14 tahun.
Baca Artikel Berkaitan: CEO Batu Ditahan Polis Selepas Tular Dakwaan Hantar Mesej Lucah Kepada Remaja Bawah Umur
Pertemuan D11, Unit CID & Pihak Berkuasa Belanda Bincangkan Strategi Memerangi CSAM
Pada awal bulan ini, Siti Kamsiah telah mengetuai satu kumpulan dari D11 di samping unit-unit CID lain dalam satu usaha kerjasama dengan pihak berkuasa Belanda bagi saling berkongsi strategi lanjut dalam memerangi CSAM dan mengenal pasti pesalah.
Dia menjelaskan bahawa pertemuan itu membolehkan kedua-dua negara untuk menjalankan diskusi penting dalam menghadapi cabaran teknikal dan perundangan.
“Kita dapat melihat bagaimana satu Laporan CyberTipline yang disalurkan menerusi Pusat Kebangsaan bagi Kanak-kanak Hilang & Dieksploitasi (NCMEC) boleh menjadi dokumen untuk dibentangkan di dalam mahkamah, walaupun tanpa ‘mutual legal assistance treaty’ (MLAT), atau sebagai bukti sekiranya tiada bukti lain yang tersedia buat pesalah.
“Kami juga membincangkan kesahihan dalam meratifikasikan penerimaan bukti data yang diperoleh oleh pihak polis menerusi penggodaman ke atas komputer pesalah.
“Perkongsian pengetahuan dan maklumat yang tidak ternilai dalam mesyuarat itu sangat bermanfaat bagi pasukan polis kita, terutamanya untuk D11. Ia pasti akan membantu kita menjadi satu unit yang bersatu, berkemampuan dan responsif dalam melawan ancaman jenayah seksual terhadap kanak-kanak di alam maya,” ujarnya.
Wakil-wakil pihak berkuasa Belanda yang terlibat dalam pertemuan terbabit terdiri daripada Attache Polis Belanda Eddy Assens, Pengurus Program Pusat Kepakaran Penganiayaan Seksual Kanak-kanak Transnasional Jan van der Helm serta Pegawai Perkhidmatan Pendakwaan Awam Belanda Linda van den Oever, Nicole Smits dan Meike Willebrands.
Baca Artikel Berkaitan: Uyaina Kongsi Pengalaman Individu Kena Gangguan Seksual, Seawal 4 & 5 Tahun
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pakar Kongsi Cara Didik Anak Lelaki Kawal Nafsu Termasuk Keinginan Seksual
Baca Artikel Berkaitan: “Terdedah Konten Seksual” – Pakar Anggap Telefon Bukan Satu Keperluan Untuk Pelajar Sekolah
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



