Now Reading
MH17: Anwar Ibrahim Bangkitkan Isu Keputusan ICAO Semasa Bertemu Putin

MH17: Anwar Ibrahim Bangkitkan Isu Keputusan ICAO Semasa Bertemu Putin

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu tersebut dibangkitkan dalam pertemuan dua hala dengan Putin bagi mendapatkan penjelasan terus daripada Rusia mengenai keputusan ICAO.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru sahaja tiba di Moscow, Rusia pada 13 Mei bagi lawatan rasmi selama empat hari.

Beliau yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo-2, Moscow pada jam 6.26 petang waktu tempatan telah diberi kawalan kehormat.

Ini menjadikan Anwar Perdana Menteri pertama negara menerima sambutan sedemikian sejak kali terakhir diterima oleh Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007.

Namun, keberadaan Anwar di sana pastinya mencuri tumpuan memandangkan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah majlis penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru sahaja memutuskan bahawa Rusia yang bertanggungjawab ke atas nahas pesawat MH17.

Baca Artikel Berkaitan: Insiden MH17: Majlis Penerbangan PBB Putuskan Rusia Bertanggungjawab

Anwar Bangkitkan Isu Rusia Bertanggungjawab Nahas MH17

Memandangkan Anwar telah bertemu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Kremlin bagi rundingan dua hala, pasti ramai yang mahu apakah intipati perbincangan antara dua pemimpin negara itu.

Salah satu perkara yang dibangkitkan oleh Anwar adalah mengenai nahas penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada tahun 2014 dan dipertanggungjawab ke atas Rusia.

Beliau berkata isu yang dibangkitkan ketika pertemuan itu adalah sebagai mewakili keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines MH17.

“Tentunya saya sebagai mewakili rakyat Malaysia, terutama keluarga mangsa, mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu tersebut kepada Presiden Vladimir Putin semasa mengadakan rundingan dua hala,” ujarnya kepada media Malaysia rasmi bagi lawatan tersebut.

Anwar berkata Presiden Rusia itu mendengar dengan teliti isu yang dibangkitkan berkenaan pesawat terbabit yang ditembak jatuh ketika berlakunya pertempuran antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.

Putin turut menzahirkan rasa simpati dan mengucap takziah buat keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas berkenaan.

Sumber gambar: Pejabat Perdana Menteri

Baca Artikel Berkaitan: Genap 9 Tahun Tragedi MH17, Malaysia Komited Cari Keadilan Buat Mangsa

Rusia Sedia Beri Kerjasama Siasatan Nahas MH17

Tambah Anwar lagi, Putin menegaskan bahawa satu siasatan rapi dan menyeluruh ke atas insiden itu telah dituntut oleh pihaknya, di samping menggesa agar isu terbabit tidak dipolitikkan.

Kata Presiden Rusia itu, Moscow sejak awal memohon agar siasatan yang dijalankan bersifat bebas dan teliti. Beliau turut menegaskan bahawa Rusia sedia memberikan kerjasama bagi memastikan laporan yang lebih berwibawa.

Dalam pada itu, Anwar akan menjelaskan maklum balas oleh Putin kepada keluarga mangsa pesawat MH17 yang terkorban lebih 10 tahun lalu.

“Cuma yang saya dapat pastikan ialah beliau kata tidak benar kalau beliau tidak sedia untuk memberikan kerjasama tetapi beliau tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana badan yang beliau atau Rusia anggap sebagai tidak bebas,” katanya.

Malaysia Tuntut Keadilan Bagi Mangsa Korban Pesawat MH17

Perkara sama turut dikongsikan Anwar di media sosial yang menyifatkan rundingan tersebut adalah ruang penting bagi mendapatkan penjelasan terus daripada Rusia mengenai keputusan ICAO.

“Malaysia kekal dengan pendirian bahawa kebenaran dan keadilan harus terus diperjuangkan dengan menuntut kerjasama semua pihak dalam memastikan siasatan serta proses yang bebas dan adil.

“Malaysia akan terus bersuara secara berprinsip dan tegas demi memastikan keadilan buat mangsa dan keluarga mereka yang terkesan dengan insiden pilu ini,” katanya.

Moscow Tidak Mahu Warganegaranya Diekstradisi

Majlis Penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin (12 Mei) telah memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab ke atas insiden tembakan pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014 lalu.

ICAO melaporkan bahawa pesawat yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur itu telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia semasa terbang melintasi timur Ukraine.

Moscow bagaimanapun menyifatkan keputusan itu sebagai ‘memalukan’ dan tidak mahu warganegaranya diekstradisi.

Kes ke atas insiden yang membabitkan pesawat MH17 itu telah dimulakan oleh kerajaan Australia dan Belanda pada tahun 2022.

Kerajaan Belanda memaklumkan bahawa ICAO akan mempertimbangkan pampasan yang sewajarnya bagi nahas tersebut dalam beberapa minggu mendatang.

Sebelum ini, hakim-hakim Belanda telah mensabit kesalahan dua lelaki Rusia dan seorang lelaki Ukraine tanpa kehadiran atas tuduhan membunuh dengan berperanan di dalam serangan tersebut.

Pesawat MH17 Ditembak Peluru Berpandu Pada Ketinggian 10,000 Meter

Insiden yang berlaku di sebalik pertempuran antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine itu sememangnya mengejut masyarakat global.

Penerbangan yang dijadualkan berlepas pada 10.31 pagi, 17 Julai 2014 dari Lapangan Terbang Schipol, Amsterdam dijangka mendarat sekitar 10.10 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Namun, hubungan dengan pesawat terbabit terputus apabila ia berada kira-kira 50 kilometer dari sempadan Rusia-Ukraine.

Media melaporkan bahawa penerbangan itu telah ditembak jatuh pada ketinggian 10,000 meter oleh peluru berpandu yang mengakibatkan pesawat terbabit terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Kesemua 298 penumpang dan kru kapal terbang terkorban dalam insiden pesawat MH17 dengan pecahan kewarganegaraan seperti di bawah:

  • Belanda (193 orang)
  • Malaysia (43 orang)
  • Australia (27 orang)
  • Indonesia (12 orang)
  • United Kingdom (10 orang)
  • Jerman (4 orang)
  • Belgium (4 orang)
  • Filipina (3 orang)
  • Kanada (1 orang)
  • New Zealand (1 orang)

Malah difahamkan bahawa nenek tiri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Siti Amirah Kusuma juga antara korban dalam nahas tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: Dalang Sebenar Tembak Jatuh Pesawat MH17 Akan Didedahkan

Baca Artikel Berkaitan: Mengingati MH370: Hampir 9 Tahun Lenyap, Kepulangan Masih Dinanti-nanti


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd