Now Reading
Insiden MH17: Majlis Penerbangan PBB Putuskan Rusia Bertanggungjawab

Insiden MH17: Majlis Penerbangan PBB Putuskan Rusia Bertanggungjawab

Kerajaan Rusia menyifatkan keputusan itu sebagai ‘memalukan’ dan berkata tidak akan mengekstradisi warganegaranya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sudah lebih 10 tahun berlalu sejak berlakunya nahas membabitkan kapal terbang MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai 2014.

Tragedi yang meragut nyawa 283 mangsa dan 15 anak kapal dalam pesawat Boeing 777 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu semestinya masih segar dalam ingatan rata-rata rakyat negara, apatah lagi buat insan tersayang.

Lebih menghibakan lagi apabila kejadian itu berlaku pada tahun sama kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac yang tiada sebarang khabar sehingga ke hari ini.

Baca Artikel Berkaitan: Genap 9 Tahun Tragedi MH17, Malaysia Komited Cari Keadilan Buat Mangsa

Baca Artikel Berkaitan: Dalang Sebenar Tembak Jatuh Pesawat MH17 Akan Didedahkan

Majlis Penerbangan PBB Putuskan Rusia Bertanggungjawab Insiden Tembakan MH17

Dalam perkembangan terkini, Majlis Penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab ke atas insiden tembakan terbabit.

Menerusi kenyataan kerajaan Belanda, pampasan yang sewajarnya bagi nahas tersebut akan dipertimbangkan oleh Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam beberapa minggu akan datang.

Insiden yang berlaku pada 17 Julai 2014 itu terjadi apabila pesawat MH17 ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine ketika pertempuran sengit antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.

Sehubungan itu, hakim-hakim Belanda telah mensabit kesalahan dua lelaki Rusia dan seorang lelaki Ukraine tanpa kehadiran atas tuduhan membunuh dengan berperanan di dalam serangan tersebut.

Moscow Enggan Ekstradisi Warganegaranya

Sebagai maklum balas kepada keputusan itu, Moscow menyifatkannya sebagai ‘memalukan’ dan berkata warganegaranya tidak akan diekstradisi.

ICAO bagaimanapun tidak memberi respon segera terhadap permintaan untuk memberi ulasan berhubung kes yang dimulakan oleh Australia dan Belanda pada 2022 itu.

Dalam satu kenyataan lain, Menteri Luar Belanda Caspar Veldkamp, berkata keputusan itu merupakan salah satu langkah utama dalam menegakkan kebenaran.

Ia juga bagi mencapai keadilan serta akauntabiliti bagi semua mangsa yang terkorban dalam nahas penerbangan MH17, serta orang tersayang.

“Keputusan ini juga memberi mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa, iaitu sesebuah negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan tindakan,” ujarnya.

Australia Desak ICAO Segera Tentukan Remedi Bagi Mangsa Nahas MH17

Tambah Veldkamp, kerajaan Belanda dan Australia meminta ICAO agar mengarahkan Rusia untuk memulakan rundingan mengenai pampasan tersebut.

Menteri Luar Negeri Australia, Penny Wong, menegaskan bahawa kerajaannya mengalu-alukan keputusan tersebut dan mendesak ICAO untuk bertindak pantas dalam menentukan remedi.

“Kami meminta Rusia untuk akhirnya memegang tanggungjawab atas insiden keganasan yang mengerikan ini dan membuat pampasan bagi tingkah lakunya yang melampau, seperti yang tertakluk di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya.

Menurut laporan media, walaupun ICAO tiada kuasa kawal selia, namun ia mempunyai pengaruh modal dan bertanggungjawab dalam menetapkan piawaian penerbangan di tempat global yang diguna pakai sebahagian besarnya oleh 193 negara anggota.

Pesawat MH17 Ditembak Peluru Berpandu

Nahas pesawat MH17 yang berlaku pada 2014 sememangnya telah mengejutkan masyarakat dunia.

Penerbangan yang dijadualkan berlepas pada 10.31 pagi, 17 Julai 2014 dari Lapangan Terbang Schipol, Amsterdam dijangka mendarat sekitar 10.10 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pun begitu, hubungan dengan pesawat MH17 terputus apabila ia berada kira-kira 50 kilometer dari sempadan Rusia-Ukraine.

Media melaporkan bahawa penerbangan itu telah ditembak jatuh pada ketinggian 10,000 meter oleh peluru berpandu yang mengakibatkan pesawat terbabit terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Baca Artikel Berkaitan: Mengingati MH370: Hampir 9 Tahun Lenyap, Kepulangan Masih Dinanti-nanti


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd