Now Reading
[Video] Samun & Menyamar Jadi Polis, PDRM Buru Lima Suspek Ceroboh Rumah Pesara Di Semenyih

[Video] Samun & Menyamar Jadi Polis, PDRM Buru Lima Suspek Ceroboh Rumah Pesara Di Semenyih

Berdasarkan rakaman CCTV yang tular, lima suspek memakai pelitup muka dan vest polis sebelum menceroboh masuk ke dalam rumah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum mengetahui bahawa perbuatan menyamar sebagai penjawat awam atau pihak berkuasa merupakan satu kesalahan yang serius di sisi undang-undang.

Ini kerana ia boleh disalahgunakan bagi tujuan jenayah. Lebih menggerunkan apabila penjenayah menyamar menjadi polis untuk memudahkan kegiatan jenayah mereka.

Baru-baru ini, sebuah kejadian samun melibatkan lima suspek yang menyamar sebagai anggota polis telah tular di media sosial selepas rakaman CCTV menunjukkan detik mereka memecah masuk ke sebuah rumah di Semenyih, Kajang.

Baca Artikel Berkaitan: PDRM Siasat Dakwaan Datin Dilarikan Individu Menyamar Polis Ketika Dalam Perjalanan Ke SPRM

Baca Artikel Berkaitan: Influencer Cayson Goh Nafi Hina Agong, Dakwa Ada Pihak Menyamar Guna Akaun FB Palsu

Pakai Vest & Pelitup Muka, Suspek Tendang Pintu Rumah Sebelum Samun

Memetik laporan Harian Metro, pihak polis kini sedang mengesan lima lelaki yang terlibat dalam kes samun di sebuah kediaman milik seorang pesara berusia 55 tahun yang ketika itu berada di rumah bersama tiga ahli keluarganya. Kejadian berlaku sekitar jam 5.02 pagi, Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, rakaman CCTV menunjukkan kesemua suspek memakai pelitup muka, manakala dua daripada mereka lengkap dengan vest polis.

Mereka dilihat memecah pintu hadapan sebelum melarikan dua buah telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM500. Nilai keseluruhan kerugian dianggarkan berjumlah RM9,000.

Rakaman itu tular di media sosial apabila netizen berkongsi klip yang menunjukkan salah seorang daripada suspek menendang pintu kediaman berkenaan.

Mengulas lanjut, Naazron memaklumkan bahawa satu operasi khas telah dilancarkan untuk menjejak kelima-lima suspek terbabit.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan dan Seksyen 170 kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau terus kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758.

Tonton video penuh [DI SINI].

Menyamar Sebagai Penjawat Awam Adalah Satu Kesalahan Undang-Undang

Menurut garis panduan yang dikongsikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), perbuatan menyamar sebagai penjawat awam boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

Ia bukan sahaja menjejaskan kredibiliti institusi kerajaan, malah boleh membahayakan keselamatan awam sekiranya digunakan untuk tujuan jahat.

Kesalahan menyamar sebagai penjawat awam diperuntukkan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua (2) tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Memiliki Peralatan Polis Boleh Dipenjara 6 Bulan

Bagi kesalahan memiliki peralatan polis tanpa kebenaran pula, pesalah boleh didakwa mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi enam (6) bulan, atau kedua-duanya.

Orang ramai diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya menyamar sebagai anggota keselamatan atau penjawat awam, kerana tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam kepercayaan dan keselamatan masyarakat.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wanita Menyamar Sebagai Tetamu, Bawa Lari RM2,500 Ketika Majlis Kenduri

Baca Artikel Berkaitan: SPRM Tahan 45 Pegawai & Anggota PDRM Dari Januari Hingga September 2024


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd