PMKS Rayu Jangan Paksa Guna Gas Komersial, Kos Naik Lebih Dua Kali Ganda
Berdasarkan laporan, pengusaha dobi menggesa kerajaan menangguhkan Ops Gasak kerana bimbang kenaikan kos LPG komersial akan menjejaskan kelangsungan perniagaan kecil.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum mengetahui, penggunaan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di Malaysia adalah dikhususkan untuk isi rumah dan golongan yang layak, bukan untuk kegunaan komersial.
Namun, terdapat segelintir pengusaha industri kecil seperti dobi yang telah lama bergantung kepada gas bersubsidi bagi menampung kos operasi, terutamanya dalam suasana ekonomi yang mencabar.
Kini, apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan Ops Gasak, kebimbangan mula timbul dalam kalangan mereka yang merasakan pelaksanaan tergesa-gesa itu bakal memberi kesan besar kepada kelangsungan perniagaan mereka.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lori Tanker Didakwa Bawa Nitrogen Bocor, Jalan Tak Nampak Apa Bikin Debar
Baca Artikel Berkaitan: “New Fear Unlocked” – 2 Tong Gas Jatuh Dari Lori Bikin Ramai Seriau
Baca Artikel Berkaitan: Influencer Bengang, Penjual Ambil Kesempatan Jual ‘Kepala Gas’ Berharga RM377 Kepada Isterinya
Pengusaha Minta Penangguhan, Bimbang Kos Operasi Meningkat
Memetik laporan Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (Mula), Zarina Ismail memohon agar kerajaan menangguhkan Ops Gasak terhadap pengusaha dobi sehingga sesi libat urus diadakan.
Menurutnya, peralihan kepada penggunaan LPG komersial yang berharga sekitar RM65 hingga RM70 bagi silinder 14kg, berbanding RM27 hingga RM30 untuk gas subsidi, akan meningkatkan kos lebih dua setengah kali ganda.
“Pengusaha Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) berisiko gulung tikar kerana tidak mampu menampung peningkatan kos yang mendadak.
“Akhirnya, pengguna juga terkesan dengan kenaikan harga perkhidmatan,” katanya dalam sidang media bersama wakil persatuan dobi lain.
Ops Gasak Fokus Tangani Ketirisan Subsidi Gas
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali mengumumkan Ops Gasak akan dilaksanakan bermula 1 Mei bagi membanteras penyelewengan gas memasak bersubsidi.
Kerajaan memperuntukkan RM3 bilion setahun untuk subsidi LPG, dan jika tidak dikawal, jumlah itu dijangka meningkat kepada RM4 bilion akibat ketirisan termasuk penyalahgunaan dalam sektor komersial seperti dobi.
“Selain dobi, kita terima maklumat ada penyeludupan rentas sempadan, pemindahan LPG subsidi kepada sektor industri dan aduan mengenai kandungan sukatan gas,” kata beliau.
Tambah beliau, operasi akan dijalankan secara besar-besaran di seluruh negara dengan kerjasama PDRM, Kastam dan SPRM.
Pendekatan penguatkuasaan bersasar dan pendidikan pengguna akan dilaksanakan agar orang ramai lebih cakna dan bertanggungjawab.
Isu Penyelewengan LPG Subsidi Sudah Lama Berlaku

Isu ketirisan dan penyelewengan LPG subsidi bukan perkara baharu di Malaysia. Sejak bertahun-tahun, kerajaan menerima laporan mengenai penyalahgunaan gas bersubsidi yang sepatutnya hanya digunakan oleh isi rumah berpendapatan rendah.
Antara bentuk penyelewengan yang sering berlaku termasuk:
- Pemindahan LPG bersubsidi ke tong industri secara haram untuk dijual semula kepada sektor komersial seperti restoran dan dobi.
- Penyeludupan ke negara jiran seperti Thailand dan Indonesia kerana harga LPG subsidi di Malaysia jauh lebih murah.
- Penggunaan oleh premis komersial seperti hotel kecil, kedai makanan dan dobi yang sepatutnya menggunakan gas komersial.
Perkara ini bukan sahaja menyebabkan kerajaan menanggung kerugian besar dalam bentuk subsidi yang bocor, tetapi juga menjejaskan objektif asal bantuan subsidi iaitu untuk meringankan beban isi rumah yang layak.
Ketika kerajaan memperuntukkan lebih RM3 bilion setahun untuk subsidi LPG, sebarang ketirisan akan memberi impak besar terhadap perbelanjaan negara.
Inilah sebab utama Ops Gasak diperkenalkan sebagai tindakan tegas untuk memastikan gas bersubsidi tidak disalahguna secara berleluasa.
Baca Artikel Berkaitan: Singapura Naikkan Harga Servis, Didakwa Terkesan Subsidi Diesel Berkurang Di Malaysia Cetus Perdebatan
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Dipercayai Warga Singapura Guna Minyak Subsidi Raih Perhatian
Baca Artikel Berkaitan: Ini Sebab Mengapa Subsidi & Pelepasan Cukai Untuk Pemilikan Haiwan Boleh Kurangkan Beban
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.