Now Reading
Konflik India & Pakistan: Rakyat Malaysia Diminta Tangguh Perjalanan Tidak Berkepentingan

Konflik India & Pakistan: Rakyat Malaysia Diminta Tangguh Perjalanan Tidak Berkepentingan

Konflik antara India dan Pakistan yang berlanjutan berdekad lamanya telah tercetus semula dengan satu serangan keganasan di Kashmir.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah menggesa semua rakyat Malaysia untuk menangguh sebarang perjalanan tidak penting ke negeri-negeri di India yang bersempadan dengan Pakistan.

Menurut laporan media, kenyataan oleh Suruhanjaya Tinggi berkata ini termasuklah perjalanan untuk percutian atau atas sebab-sebab tidak penting.

“Disebabkan oleh ketegangan baru-baru ini antara India dan Pakistan, di mana India melancarkan Operasi Sindoor ke atas Pakistan pada 7 Mei, Suruhanjaya Tinggi amat menasihati penangguhan segera bagi kesemua perjalanan tidak berkepentingan,” katanya.

Pergaduhan Tercetus Apabila Sekumpulan Pelancong Diserang Kumpulan Militan Pakistan

Keadaan ini pasti menimbulkan tanda tanya tentang mengapakah terjadinya konflik antara kedua-dua negara itu.

Pergaduhan yang bermula pada 22 April lalu tercetus apabila kumpulan militan menyerang sekumpulan pelancong di Lembah Baisaran berhampiran Pahalgam, iaitu di wilayah Jammu dan Kashmir yang terletak di bawah pentadbiran India .

Sumber: Google Maps

Beberapa media melaporkan bahawa serangan terbabit telah meragut 27 nyawa, termasuk 25 pelancong beragama Hindu, seorang pelancong Kristian dan seorang Muslim tempatan.

Satu kumpulan bersenjata yang digelar sebagai The Resistance Front (TRF) telah mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan terbabit. TRF dilaporkan sebagai salah satu cawangan organisasi militan jihad Pakistan, Lashkar e-Taiba.

Dalam serangan ke atas kumpulan tidak bersenjata yang dilabelkan sebagai tindakan keganasan itu, TRF dipercayai melakukan sedemikian atas dasar menuntut kemerdekaan bagi Kashmir.

India sebelum ini telah menuduh Pakistan memberi sokongan terhadap kumpulan itu, tetapi dakwaan itu telah dinafikan.

India Lancarkan ‘Operation Sindoor’ Ke Atas Pakistan

Sebagai serangan balas, India semalam (7 Mei) telah melancarkan ‘Operation Sindoor’ iaitu beberapa siri serangan peluru berpandu yang dikatakan disasarkan terhadap ‘infrastruktur pengganas’ di Pakistan.

Serangan itu telah mengenai sembilan tapak termasuk beberapa lokasi di Bahawalpur, Muridke, dan Muzaffarabad.

Sehubungan itu, Pakistan berjanji akan membalas dendam, mengutuk serangan udara itu serta menuduh India menyasarkan lokasi orang awam yang menyebabkan 31 maut dan 47 tercedera.

Sebagai maklum balas, Pakistan turut mendakwa telah menumpaskan lima jet pejuang India baru-baru ini dan memulakan tembakan di Line of Control (LoC), iaitu garisan yang dikawal oleh tentera di antara Kashmir di bawah India dan di bawah Pakistan.

Sumber gambar: Sky News

Pelbagai Kesan Diplomatik Akibat Serangan Antara India & Pakistan

Pengeboman dan pembunuhan yang berlaku menyebabkan kedua-dua negara mengambil tindakan yang menjejaskan hubungan diplomatik mereka.

India telah mengusir para diplomat Pakistan, menggantung visa bagi warga Pakistan, menutup sempadan dan menarik diri dari Perjanjian Perairan Indus (IWT) 1960.

Untuk info, IWT merupakan satu perjanjian pengagihan air antara India dan Pakistan yang diaturkan dan dirunding oleh Bank Dunia bagi menggunakan air dari Sungai Indus dan anak sungainya.

Dengan penggantungan perjanjian tersebut, Pakistan mendakwa India telah menahan sebanyak 90% bekalan air ke negaranya.

Satu imej satelit didakwa menunjukkan keadaan sungai Chenab yang mengalir ke Pakistan, telah kering sehingga dasar sungai dapat dilihat.

Sebaliknya, Pakistan pula telah menangguhkan perjanjian Shimla 1972, satu perjanjian keamanan antara kedua-dua negara itu selepas Perang Indo-Pak ketiga pada 1971.

Menurut laporan Times of India, Pakistan turut mengenakan sekatan perdagangan ke atas India yang melarang semua bentuk import sama ada secara terus atau menerusi negara pengantara, serta perkhidmatan pos dan penghantaran bungkusan.

Konflik Antara India & Pakistan Tercetus Sejak Pemisahan Pada 1947

Konflik antara India dan Pakistan itu bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi telah berakar sejak pemisahan mereka pada 1947, apabila India di bawah Britain dibahagikan kepada dua negara mengikut agama.

India membentuk negara sekular dengan majoriti penganut agama Hindu, manakala Pakistan pula ditubuhkan sebagai tanah air buat golongan Muslim.

Pemecahan dua negara itu telah menyebabkan keganasan komunal yang teruk dan salah satu penghijrahan manusia terbesar dalam sejarah, menanamkan permusuhan sejak berdekad lamanya.

Pemisahan itu juga telah mewujudkan titik perselisihan yang paling penting dan berlanjutan antara kedua-dua negara Asia terbabit iaitu negeri Jammu dan Kashmir.

Apabila pemimpin beragama Hindu di wilayah majoriti Muslim itu memilih untuk menyertai India semasa pembahagian yang kelam-kabut dahulu, Pakistan membantah sekaligus menyebabkan perang pertama antara kedua-dua negara pada tahun 1947 dan 1948.

Perang berakhir apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengetengahkan gencatan senjata dan pembahagian de facto Kashmir, namun ia bukanlah satu penyelesaian.

Pertikaian yang masih belum diselesaikan ini telah mencetuskan banyak peperangan dan pertempuran.

Pada tahun 1965, Pakistan telah cuba memulakan pemberontakan di Kashmir di bawah India, menyebabkan berlakunya peperangan kedua yang bertemu jalan buntu.

Pada 1971 pula, kedua-dua negara itu bertempur lagi, kali ini disebabkan oleh gerakan kemerdekaan di Pakistan Timur yang mendapat sokongan India. Peperangan itu berakhir dengan kemenangan India dan penubuhan sebuah negara baharu iaitu Bangladesh.

Pada 1999, berlakunya konflik Kargil setelah tentera dan militan Pakistan menyelusup masuk ke jajahan India di Kashmir. India berjaya menghalang mereka dan tekanan antarabangsa memaksa Pakistan untuk menarik diri.

Pun begitu, ketegangan antara kedua-dua negara itu berterusan dalam bentuk konflik proksi, pertempuran di sempadan dan keganasan terutamanya.

India telah berkali-kali menuduh Pakistan kerana melindungi dan menyokong kumpulan keganasan yang bertanggungjawab ke atas beberapa serangan utama termasuklah serangan Parlimen India 2001, serangan Mumbai 2008 dan pengeboman Pulwama 2019.

Insiden-insiden terbabit juga menyebabkan India mengatur serang balas ke atas jajahan Pakistan seperti serangan udara pada 2018 dan 2019 dan konflik terbaharu pada tahun ini.

Amat menggusarkan lagi apabila kedua-dua negara itu turut memiliki senjata nuklear.

Meta ‘Ban’ Akaun Media Terkenal Muslim Di India

Dalam perkembangan terkait konflik antara India dan Pakistan, Meta telah melarang satu akaun Instagram media ‘Muslim’ di India atas permintaan kerajaan negara itu.

Semalam (7 Mei), pengasas akaun itu menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk ‘tapisan’ sementara keganasan semakin meningkat antara kedua-dua negara tersebut.

Pengguna Instagram di India yang cuba mengakses hantaran oleh akaun @Muslim akan dipaparkan mesej yang menyatakan, “Akaun tidak tersedia di India. Ini kerana kami mematuhi satu permintaan undang-undang untuk mengehadkan kandungan ini.”

Sekadar info, akaun terbabit mempunyai sebanyak 6.7 juta pengikut.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd