Pos Laju Tawar Khidmat Hantar Barang Jemaah Haji 2025 Terus Ke Pintu Rumah
Jemaah haji boleh menghantar bungkusan dan bagasi mereka di kaunter Pos Laju yang terdapat di hotel-hotel penginapan ditetapkan di Mekah dan Madinah.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Buat umat Islam yang mempunyai rezeki lebih, sudah tentu mereka mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam yang ke- 5 iaitu mengerjakan ibadah haji.
Untuk info, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia bagi musim 1446 Hijrah/2025 Masihi yang terdiri daripada 284 jemaah, termasuk 31 petugas telah tiba di Madinah pada 29 April lalu.
Selepas lebih kurang 45 hari mengerjakan haji nanti, pasti ada para jemaah yang akan membawa cenderamata untuk dibawa balik ke Malaysia sebagai contoh stok air zam-zam.
Namun segelintir individu mungkin khuatir dengan bungkusan tersebut sama ada ia dikendali dengan baik atau tidak oleh pihak bertanggungjawab.
Pos Laju Tawar Khidmat Bagasi Haji Untuk Kemudahan Para Jemaah
Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), melalui perkhidmatan kuriernya, Pos Laju dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji kembali menawarkan perkhidmatan Bagasi Haji bagi menyokong keperluan logistik para jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan ibadah di Tanah Suci Mekah dan Madinah pada tahun ini.
“Perkhidmatan Bagasi Haji kami dirangka dengan penuh teliti bagi memberikan ketenangan fikiran kepada para jemaah, agar mereka dapat menumpukan sepenuhnya kepada ibadah tanpa kebimbangan terhadap barangan peribadi mereka.
“Dengan anggaran lebih 250 tan bagasi dan barangan akan dihantar ke seluruh negara, kami komited untuk memastikan setiap penghantaran dikendalikan dengan selamat, berhati-hati dan tiba tepat pada masanya.
“Ini sejajar dengan tonggak strategik kami untuk menyampaikan perkhidmatan berkualiti dan menggembirakan pelanggan,” kata Ketua Pegawai Operasi Pos Malaysia, Haji Zaini Yahman.

Penghantaran Bungkusan Barang Ambil Masa Minimum 7 Hari Bekerja
Untuk info, perkhidmatan Bagasi Haji menawarkan penghantaran bagasi dan bungkusan dari Tanah Suci ke Malaysia dan beberapa negara-negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia, Singapura serta Brunei.
Jemaah haji boleh menghantar bungkusan dan bagasi mereka di kaunter Pos Laju yang terdapat di hotel-hotel penginapan ditetapkan.

Jemaah juga boleh menghantar naskah al-Quran dan setiap pembungkusan akan dilekatkan dengan pelekat khas selain dikendalikan secara khas bagimemastikan naskah al-Quran sampai dengan selamat serta terpelihara.
Bagi memudahkan jemaah mengirim barangan dan tidak bersusah payah mencari kotak, kotak-kotak pembungkusan khas Pos Laju boleh dibeli dalam tiga saiz iaitu kecil, sederhana dan besar di kaunter Pos Laju.
Barangan yang telah dibungkus dengan rapi pula akan dihantar ke alamat jemaah di Malaysia dalam anggaran masa antara 7 ke 14 hari bekerja.
Pembayaran boleh dibuat secara tunai dalam matawang Arab Saudi Riyal (SAR) atau melalui pilihan Bayar Waktu Terima (COD) apabila penghantaran tiba di Malaysia.
Kos penghantaran ke Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak adalah masing-masing sebanyak 18 SAR dan 23 SAR bagi sekilogram.

Berikut kami sertakan saiz kotak bersama harganya bagi setiap satu:
- Kotak kecil: 8 SAR (RM9.04)
- Kotak sederhana: 10 SAR (RM11.30)
- Kotak besar: 12 SAR (RM13.56)
Pada tahun ini, kaunter Pos Laju akan beroperasi jam 7.30 pagi hingga 11 malam di dua lokasi iaitu:
- Land Premium Hotel, Mekah
- Saja Al Madinah Hotel, Madinah
NOTA: Kaunter akan ditutup selama 45 minit semasa solat fardu.

Untuk sebarang pertanyaan, para jemaah boleh menghubungi Pos Malaysia melalui AskPos di laman web rasmi [DI SINI] atau talian khas di+603-55653267/3260.
Jemaah di Tanah Suci juga boleh menghubungi talian Pos Laju di Mekah +966-535670645 atau Madinah +966-536447852 untuk sebarang pertanyaan.
Checklist Minit Terakhir Buat Bakal Jemaah Haji
Bakal jemaah haji 2025 sudah tentu tidak sabar menjejakkan kaki ke Mekah sebagai tetamu Allah SWT. Pastinya ramai juga sudah mula membuat persiapan barangan untuk ke sana.
Buat mereka yang mahu melakukan persiapan akhir, di sini kami kongsikan sedikit sebanyak senarai barang keperluan buat jemaah haji untuk melakukan ibadah Tanah Suci nanti. Antaranya:

- Beg besar 28-30 kilogram
- Tag beg
- Marker pen
- Penimbang beg
- Lima pasang jubah labuh (wanita atau lelaki)
- Seluar atau skirt untuk dipakai di dalam jubah (wanita)
- Telekung mini
- Tudung labuh
- Tuala
- Stoking
- Handsock
- Tuala
- Kasut selesa
- Kasut tawaf
- Al-Quran
- Buku panduan haji
- Botol spray wuduk
- Sejadah
- Beg kasut
- Ubat-ubatan
- Pelitup muka
- Peralatan mandian
- Tali ampaian
- Berus basuh baju
- Penyangkut baju jenis lipat
- Plastik sampah
- Plastik ziplock
- Powerbank
- Passport
- Bukti vaksin
- Wang Riyal Saudi
- Tiket perjalanan yang sah
- Kain ihram
Malaysia Diberi Kebenaran Edar Kad Nusuk
Malaysia berjaya menjadi negara pertama di dunia diberi kebenaran oleh Kerajaan Arab Saudi untuk mengedar kad Nusuk dalam negara ini kepada Jemaah Haji sebelum mereka berlepas ke Tanah Suci.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia merupakan satu pengiktirafan yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi kerana kecekapan sistem pengurusan jemaah haji Malaysia.
Dalam pada itu, Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas kecepakan dalam pengeluaran visa serta penambahbaikan sistem kad Nusuk berkenaan.

Sekadar info, kad Nusuk merupakan kad pengenalan rasmi yang diperkenalkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MOHU) bagi semua jemaah haji dari seluruh dunia.
Inovasi kad Nusuk ini dapat meningkatkan tahap keselamatan jemaah haji sekali gus mengatasi masalah jemaah ‘hilang’ atau tersesat.
Baca Artikel Berkaitan: “Jangan Jadi Wartawan” – Jemaah Dinasihat Jangan Leka Buat Konten Ketika Tunai Haji
Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Jadi Negara Pertama Di Dunia Diberi Kebenaran Edar Kad Nusuk Kepada Jemaah Haji
Baca Artikel Berkaitan: Nak Tunai Haji 2025, 2 Lelaki Mula Jalan Kaki Dari Perak Ke Mekah [Video]
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.