Now Reading
Bekalan Makanan Tak Dibenarkan Masuk Ke Gaza, Penduduk Akan Terkorban Akibat Kebuluran

Bekalan Makanan Tak Dibenarkan Masuk Ke Gaza, Penduduk Akan Terkorban Akibat Kebuluran

Menurut laporan media antarabangsa, setiap keluarga hanya menerima satu periuk kecil makanan dari dapur umum setiap hari.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pembantaian rakyat Gaza di tanah suci Palestin seolah tiada kesudahan apabila keganasan itu telah berlangsung selama 19 bulan tanpa henti.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila penghantaran bantuan kemanusiaan termasuk makanan, minuman dan peralatan perubatan ke wilayah itu dilarang oleh rejim Zionis sejak dua bulan lalu.

Malah, Gaza juga berdepan ketiadaan bekalan makanan sehingga menyebabkan kebuluran dalam kalangan penduduknya.

Baca Artikel Berkaitan: “Israel Haramkan UNRWA Di Palestin Strategi Nafikan Hak Penduduk Pulang Ke Tanah Air” – Wisma Putra

Baca Artikel Berkaitan: Israel Rompak Hampir 100 Lori Bantuan Makanan Ke Gaza, Hanya 11 Sampai Ke Destinasi

Baca Artikel Berkaitan: “Zon Selamat Palsu & Mengelirukan” – UNRWA Dakwa Tiada Lagi Tempat Selamat Di Gaza

Amnesty International Maklumkan Tiada Lagi Bekalan Makanan Di Gaza

Dalam perkembangan terbaharu, organisasi bukan kerajaan (NGO) Amnesty International memaklumkan bahawa tiada lagi bekalan makanan di Gaza.

Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya Agnes Callamard, menggesa semua pihak antarabangsa terutamanya Kesatuan Eropah (EU) agar mengambil langkah tegas demi menghentikan genosid rejim Zionis ke atas Palestin.

Dalam masa sama, dia juga merayu agar pihak berkepentingan mendesak Israel agar makanan, air dan ubat-ubatan dibenarkan masuk ke Gaza.

Di samping itu, Callamard turut meminta agar pihak yang terbabit dalam genosid dan jenayah perang itu dibawa ke muka pengadilan.

“Kami tahu rakyat Gaza sedang berdepan kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan yang amat kritikal. Pertubuhan Makanan Dunia (WFP), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan semua agensi kemanusiaan serta badan PBB telah memberi amaran – Gaza kini benar-benar kehabisan bekalan makanan,” katanya.

Keadaan salah seorang kanak-kanak di Gaza yang mengalami kebuluran. (Sumber gambar: @MuhammadSmiry/ X)

Israel Larang Bantuan Masuk Ke Gaza Sejak 2 Mac Untuk Beri Tekanan Pada Hamas

Berdasarkan laporan media antarabangsa ABC News, kumpulan bantuan memaklumkan bahawa rakyat Gaza akan terkorban akibat kebuluran disebabkan oleh larangan Israel terhadap makanan dan bantuan lain ke wilayah itu sejak 2 Mac.

Difahamkan tindakan itu dilakukan oleh rejim Zionis bagi memberi tekanan ke atas kumpulan pejuang Hamas agar melepaskan penduduk Israel yang ditahan.

Sehubungan itu, dapur-dapur komuniti yang telah memberi makan kepada beratus ribu rakyat Gaza juga bakal ditutup kerana telah kehabisan bekalan.

Setiap Keluarga Hanya Dapat Satu Periuk Kecil Makanan Setiap Hari

Menurut laporan media, setiap keluarga hanya menerima satu periuk kecil makanan setiap hari dari dapur umum (soup kitchen).

Karima Suliman Subhi Abu Qmen merupakan salah seorang daripada ratusan penduduk Gaza yang beratur berjam-jam setiap hari di dapur umum di Gaza tengah, Mughraqa.

“Sudah tentu, kami nanti akan mati akibat kebuluran. Kami bergantung hanya kepada Tuhan dan dapur umum.

“Kami merupakan lima sekeluarga, jadi makanan itu tidak cukup. Ia cuma satu periuk dan mereka tidak beri lebih. Anak-anak saya tidur dalam keadaan lapar. Mereka menangis hingga tertidur,” kata ibu itu kepada ABC.

Selain Karima, bapa kepada empat anak, Tayseer Alaideh, juga beratur di dapur umum setiap pagi.

“Hidup kami bergantung pada dapur umum. Saya berada di sini setiap pagi hingga tengah hari, kerana tiada duit untuk membeli apa-apa dari pasar,” ujarnya.

WFP & Oxfam Kehabisan Bekalan Makanan

Berdasarkan ABC News, dapur umum menjadi lebih penting bulan lepas apabila Program Makanan Sedunia (WFP) menutup bakerinya kerana ketiadaan tepung.

Pun begitu, kebanyakan organisasi bantuan yang menyumbang makanan kepada rakyat Gaza berkata mereka sudah tiada lagi sebarang bekalan.

Penyelaras kemanusiaan serantau Oxfam bagi Timur Tengah dan Afrika Utara, Ruth James, berkata tiada makanan lagi di wilayah itu.

“WFP sudah kehabisan bekalan makanan sepenuhnya. Oxfam juga telah kehabisan makanan di gudangnya lebih sebulan lalu. Kami tidak dapat membawa masuk sebarang bantuan kemanusiaan sejak 1 Mac,” katanya.

Bekalan Makanan Yang Dilarang Bawa Masuk Ke Gaza Mencukupi Untuk 4 Bulan

Tambah James lagi, terdapat lebih 7,000 bungkusan makanan tersekat di gudang di Jordan tidak boleh dibawa masuk ke Gaza akibat larangan oleh Israel.

“Larangan oleh Israel itu menyebabkan setiap pintu masuk ke wilayah itu ditutup sepenuhnya dan menjadi bentuk hukuman kolektif yang sangat kejam yang dilakukan oleh Israel ke atas penduduk Gaza,” ujarnya.

WFP berkata 116,000 tan makanan yang terletak di luar Gaza itu cukup untuk memberi makan kepada seluruh populasi selama empat bulan.

Malah, harga makanan di Gaza juga telah meningkat sehingga 1,400% sejak gencatan senjata dihentikan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd