Now Reading
PDRM Tumpaskan Sindiket Jual Minyak Enjin Kenderaan Palsu Di 3 Premis Sekitar Selangor

PDRM Tumpaskan Sindiket Jual Minyak Enjin Kenderaan Palsu Di 3 Premis Sekitar Selangor

Operasi memalsukan minyak enjin itu dipercayai berlangsung sejak dua ke tiga tahun lepas dengan menggunakan taktik menyamar sebagai pengeluar sah walaupun tanpa pengiktirafan rasmi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Orang ramai pasti akan memilih barangan asli agar memastikan kualitinya terjamin serta mengelakkan daripada sebarang kemalangan atau kecederaan membabitkan produk tersebut.

Pun begitu, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak memalsukan sesuatu barang demi mengaut keuntungan atas angin.

Maka menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk membongkar segala kegiatan menjual barangan tiruan agar masyarakat tidak menjadi mangsa penipuan.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Dakwa Tak Ada Stok Minyak Masak Paket, Rupanya Peniaga Sorok Dalam Tong Sampah

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Dipercayai Warga Singapura Guna Minyak Subsidi Raih Perhatian

Baca Artikel Berkaitan: Produk China Didakwa Dipalsukan Sebagai Buatan Malaysia Bagi Elak Tarif AS Tinggi

PDRM Bersama KPDN Serbu Kegiatan Membotolkan Minyak Enjin Palsu

Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan kegiatan minyak enjin kenderaan disyaki palsu dibotolkan semula menggunakan label terkenal.

Dalam operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), semalam (29 April), modus operandi sindiket itu dikesan beroperasi di tiga premis perniagaan di Ara Damansara, Subang dan Kepong.

Minyak enjin itu kemudiannya dijual menerusi platform media sosial dan bengkel kenderaan yang terletak di sekitar Lembah Klang sehingga didakwa mengaut berjuta ringgit keuntungan.

Menerusi laporan Kosmo, tinjauan di premis terlibat di Ara Damansara mendapati botol minyak enjin berkapasiti satu hingga empat liter memenuhi premis terbabit.

Terdapat juga tangki dan mesin dipercayai digunakan bagi menyimpan dan membotolkan semula minyak enjin itu.

13 Individu Ditahan Termasuk 7 Warga Asing

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Biro Jenayah Hidupan Liar/ Perisikan dan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, operasi dijalankan setelah risikan dilakukan selama dua bulan.

Dalam operasi bermula 11.30 pagi itu, pihak polis telah menahan 13 individu yang berkerja di premis berkenaan.

“Dalam serbuan di dua premis di Ara Damansara, pasukan menahan empat individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Sri Lanka.

“Manakala serbuan di Kepong pula menahan seramai sembilan individu membabitkan tiga lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan empat lelaki warga Bangladesh,” kata Mohammad Azlin.

Barangan Rampasan Dianggar Cecah Jutaan Ringgit

Tambah Mohammad Azlin, pihaknya telah merampas minyak enjin, botol kosong serta tangki berisi cecair termasuk label jenama palsu, dengan anggaran nilai jutaan ringgit.

“Hasil siasatan, dua premis didapati berfungsi sebagai gudang untuk menyimpan minyak yang sudah dibotolkan manakala sebuah lagi digunakan untuk aktiviti membotolkan minyak berkenaan.

“Minyak enjin itu disyaki dijual lebih murah daripada harga pasaran, antaranya melalui platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram, selain diedarkan terus ke bengkel,” katanya dipetik Kosmo.

Operasi terbabit diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah, WCB/PSK KDNKA Bukit Aman, Asisten Komisioner Zulkarnain Samsudin dan Pegawai Penguat Kuasa KPDN Putrajaya, Ahlami Idris Abdul Rashid.

Botol Minyak Enjin Palsu Guna Label Hampir Serupa Jenama Terkenal

Mohammad Azlin berkata, minyak enjin kenderaan palsu dibotolkan menggunakan label hampir menyerupai jenama terkenal bertujuan untuk memperdaya pengguna.

Dia menerangkan bahawa operasi tersebut dipercayai berlangsung sejak dua ke tiga tahun lepas dengan menggunakan taktik menyamar sebagai pengeluar sah walaupun tanpa pengiktirafan rasmi.

“Pihak KPDN akan menjalankan analisis terhadap sampel minyak enjin dengan kerjasama Jabatan Kimia bagi mengesahkan kandungannya, sama ada selamat atau tidak untuk digunakan.

“Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 serta Akta Perihal Dagangan 2011 termasuk tindakan mengikut Akta Imigresen kerana menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah,” jelasnya.

Boleh Didenda RM10,000 Bagi Setiap Barangan Tiruan

Sekadar info, menjual barangan tiruan merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang.

Berdasarkan Akta Perihal Dagangan 2011, individu yang melakukan kesalahan terbabit boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, Akta Cap Dagangan 1976 pula melindungi hak proprietari terhadap cap dagangan yang berdaftar.

Oleh itu, produk dengan cap dagangan akan dilindungi dan sebarang penjualan barang tiruan produk terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh pemilik cap dagangan yang sah.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Gelagat Aunty Dapat ‘Full Mark’ Sewaktu Kedai Runcit Digempur KPDN Melaka Cetus Gelak Tawa Ramai

Baca Artikel Berkaitan: Harga Bayar Tidak Sama Dengan Yang Dipamerkan? Lakukan Aduan Menerusi ezAdu KPDN

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pelanggan Berang Dakwa Pekerja Kedai Runcit Sorok Minyak Masak Paket


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd