Now Reading
Kebakaran Putra Heights: Kerajaan Peruntuk RM40 Juta Untuk Baik Pulih Rumah Terjejas

Kebakaran Putra Heights: Kerajaan Peruntuk RM40 Juta Untuk Baik Pulih Rumah Terjejas

Dana RM40 juta tersebut merupakan peruntukan bersama kerajaan Persekutuan melalui penubuhan Tabung Perumahan Bantuan Bencana Nasional.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights awal April lalu, pelbagai pihak tampil membantu mangsa yang terjejas. Bantuan awal merangkumi wang tunai, penempatan sementara dan barangan keperluan.

Walaupun pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan, ramai penduduk masih menanti penyelesaian jangka panjang berkaitan tempat tinggal mereka. Rumah yang rosak tidak boleh diduduki dan kebanyakan mereka bergantung sepenuhnya kepada keputusan pihak berkuasa.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan langkah menyeluruh yang memberi kelegaan apabila peruntukan RM40 juta disalurkan untuk kerja baik pulih rumah mangsa terlibat.

Baca Artikel Berkaitan: Paip Gas Yang Meletup Telah Ditemui, Siasatan Punca Kebakaran Di Putra Heights Hampir Selesai

Baca Artikel Berkaitan: Letupan Gas Putra Heights – Harga Bidaan Rumah Mewah RM6.7 Juta Berdekatan Lokasi Dibuka Bermula RM3.33 Juta

Baca Artikel Berkaitan: Polis Siasat Dakwaan Kerja Korek Tanah Sebabkan Kebakaran Saluran Paip Gas Putra Heights

Penduduk Tarik Nafas Lega, RM40 Juta Tanggung Kos Baik Pulih

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Besar Selangor iaitu Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja baik pulih akan bermula seawal minggu ini.

Dana RM40 juta tersebut merupakan peruntukan bersama kerajaan Persekutuan melalui penubuhan Tabung Perumahan Bantuan Bencana Nasional, dengan kerjasama sektor swasta.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, projek ini merupakan antara kerja baik pulih dan pembinaan semula paling menyeluruh pernah dilaksanakan. Ia melibatkan tiga kategori kerosakan rumah seperti berikut:

  • Kerosakan melebihi 40 peratus dan perlu dibina semula – Had pembiayaan RM300,000
  • Kerosakan melebihi 40 peratus tetapi tidak perlu dibina semula – Had pembiayaan RM150,000
  • Kerosakan kurang 40 peratus – Had pembiayaan RM30,000

Bagi kerosakan kecil, penduduk boleh membaiki rumah masing-masing dan membuat tuntutan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui Persatuan Penduduk dan Ketua Kampung.

Bagi kerosakan besar, dua pendekatan diambil. Di Putra Heights, Sime Darby Property akan melaksanakan kerja pembaikan.

Manakala di Kampung Sungai Baharu, tanggungjawab diberikan kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Kerja baik pulih dijadual bermula esok, dimulakan di kawasan dalam radius 100 meter dari lokasi kebakaran. Tempoh pembinaan dijangka mengambil masa 24 bulan.

Kerajaan turut memperuntukkan RM6 juta tambahan untuk kerja baik pulih jalan dan prasarana sekitar melalui Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Jabatan Landskap Negara.

Lebih 150 Mangsa Sudah Terima Bantuan Khas RM2,000 Sebulan Sejak April

Sebelum ini, kerajaan negeri telah memperkenalkan bantuan sewaan khas sebanyak RM2,000 sebulan kepada mangsa terjejas. Bantuan itu disalurkan melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan dimasukkan terus ke akaun penerima.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah memaklumkan bahawa arahan telah diberikan oleh Menteri Besar agar bantuan bagi tiga bulan pertama dimasukkan sekaligus, menjadikan jumlah keseluruhan RM6,000.

Setakat ini, lebih 150 ketua isi rumah telah menerima bantuan tersebut dan jumlah itu dijangka terus meningkat bergantung kepada siasatan dan pengesahan kes. Seramai 396 ketua isi rumah dilaporkan layak menerima bantuan sewa selama enam bulan.

Kerajaan negeri juga sedang meneliti bentuk bantuan tambahan untuk pembinaan semula rumah. Ia bergantung kepada tahap kerosakan sama ada rumah musnah sepenuhnya atau hanya mengalami kerosakan ringan.

Perbincangan sedang berlangsung bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta agensi berkaitan.

Insiden letupan pada 1 April lalu yang berlaku jam 8.10 pagi telah memusnahkan 219 rumah secara keseluruhan, dengan 81 daripadanya musnah sepenuhnya dan 138 lagi mengalami kerosakan besar.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar 3.45 petang hari sama, yang juga merupakan hari kedua Aidilfitri. Sejumlah 455 mangsa dikenal pasti terlibat dalam tragedi ini.

Baca Artikel Berkaitan: Kebakaran Putra Heights: Lebih 150 Mangsa Sudah Terima Bantuan Bayaran Sewa

Baca Artikel Berkaitan: Chery Malaysia Bekalkan 50 Kereta Untuk Kegunaan Sementara Mangsa Kebakaran Putra Heights

Baca Artikel Berkaitan: Kebakaran Putra Heights: Seluruh Rumah Hampir Musnah, Ramai Terpegun Bilik Solat Seolah Tak ‘Tersentuh’


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd