Now Reading
Raih 12 A Dalam SPM 2024, Cikgu Tusyen Ini Mahu Duduki Peperiksaan Sekali Lagi

Raih 12 A Dalam SPM 2024, Cikgu Tusyen Ini Mahu Duduki Peperiksaan Sekali Lagi

Subash Abdullah yang pertama kali menduduki SPM pada tahun 1987 telah mengambil semula peperiksaan itu sebanyak tujuh edisi SPM.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada minggu lalu, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru sahaja menerima keputusan bagi peperiksaan tersebut.

Tidak kira keputusan yang diterima, setiap pelajar pasti berasa lega kerana telah menamatkan sesi persekolahan dan pastinya tidak mahu mengulangi exam SPM sekali lagi.

Namun lain pula buat seorang pendidik apabila dia yang baru sahaja menerima keputusan cemerlang baru-baru ini, bercadang untuk menduduki SPM semula tahun hadapan.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Anak Cemerlang SPM 2024, Ramai Teruja Lihat Ibu Hadiahkan RM100 Setiap Satu A

Baca Artikel Berkaitan: 900 Pelajar Johor Tak Ambil SPM Kerana Mahu Kerja Di Singapura

Baca Artikel Berkaitan: Ramai Terkejut Lihat Sekolah Beri Makanan Percuma Untuk Calon SPM

Cikgu Tusyen Ambil Semula SPM Selama 7 Tahun

Itulah yang dirancang oleh seorang guru tusyen Subash Abdullah, 55, walhal dia baru sahaja menerima keputusan cemerlang bagi SPM 2024.

Walaupun sudah menghampiri usia emas, Subash membuktikan bahawa umur bukanlah halangan bagi seseorang untuk meneruskan pendidikannya walaupun di peringkat SPM.

Lebih mengagumkan lagi apabila pendidik hebat itu sebenarnya telah mengambil semula peperiksaan SPM selama tujuh tahun, termasuklah satu SPM Ulangan (SPMU) pada Julai tahun lepas.

Menurut Says, Subash pertama kali menduduki peperiksaan itu pada tahun 1987.

Ambil Semula SPM Untuk Faham Skema Pemarkahan & Teknik Menjawab Dengan Betul

Dia yang berasal dari Cheras Perdana berkata, keputusan itu diambil olehnya bukanlah untuk memperbaiki keputusan lalunya atau menunjuk-nunjuk, sebaliknya demi berkongsi motivasi dengan para pelajarnya yang bakal menduduki SPM.

“Sebab saya menduduki peperiksaan SPM adalah untuk memahami skema pemarkahan, dan cara terbaik melakukannya adalah dengan menjadi calon pelajar.

“Malah, sebagai guru tusyen bagi Matematik, Matematik Tambahan serta subjek Sains termasuk Fizik, Kimia dan Biologi, saya perlu mendidik anak murid teknik menjawab soalan dengan betul supaya mereka dapat lebih memahami pengalaman peperiksaan tersebut,” katanya dipetik NST.

Tambahnya lagi, tindakan itu secara tidak langsung dapat memberi inspirasi kepada pelajar SPM yang dididik olehnya agar berlajar bersama-sama dan menyasarkan keputusan cemerlang.

Bekas pengarah filem itu berkata salah satu kegembiraan utamanya adalah duduk di samping para pelajar di dalam dewan peperiksaan.

“Ia amat menyeronokkan dan terasa seperti di usia 17 sekali lagi. Tetapi kegemuruhan itu masih ada dan saya rasa ia biasa setiap kali anda bakal menduduki peperiksaan,” ujarnya.

Subash meraikan keputusan SPM 2024 bersama para pelajarnya. (Sumber gambar: Subash Abdullah/ MalayMail)

Subash Terima ‘Straight As’ Dalam SPM, Siap Ambil Subjek Tasawwur Islam

Subash yang baru memeluk agama Islam kira-kira tujuh tahun lalu juga telah menduduki peperiksaan Tasawwur Islam dalam SPM.

Walaupun dirasakan sebagai subjek paling susah, dia tetap berjaya mendapat keputusan A.

Subash yang telah menjalankan pusat tusyen selama 10 tahun berkata dia bakal menduduki SPM lagi bagi tahun ini, dengan 12 subjek keseluruhan.

Untuk info, 12 subjek yang diambil olehnya bagi SPM 2024 serta keputusannya adalah seperti berikut:

  • Bahasa Melayu – A
  • Bahasa Inggeris – A+
  • Pendidikan Moral – A
  • Sejarah – A+
  • Matematik – A+
  • Geografi – A-
  • Matematik Tambahan – A
  • Ekonomi – A
  • Fizik – A
  • Kimia – A
  • Biologi – A
  • Tasawwur Islam – A

Ibu Bapa Juga Boleh Ambil SPM Bersama Anak-Anak

Bercakap kepada NST, dia berharap agar usahanya bukan hanya memberi ilham pada pelajar tetapi juga masyarakat umum tidak kira usia agar menduduki peperiksaan SPM.

“Saya menggalakkan sesiapa dengan keinginan untuk menduduki peperiksaan SPM agar melakukannya. Tiada had umur bagi SPM, tetapi ramai yang tidak tahu dan amat kecewa apabila lebih 8,000 calon tidak hadir ke peperiksaan bertulis,” katanya.

Subash turut menjelaskan bahawa ibu bapa juga boleh menduduki peperiksaan tersebut di samping anak-anaknya yang pasti dapat meningkatkan motivasi mereka.

“Bayangkan satu keluarga mengambil SPM pada tahun sama, itu adalah sesuatu yang amat istimewa dan dapat merapatkan ikatan kekeluargaan,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: 8,076 Calon SPM 2024 Tak Hadir Peperiksaan Bertulis, Masalah Keluarga Antara Punca Utama

Subash berkata dia mahu menjadi seseorang yang terlibat dalam perjalanan dilalui oleh anak-anak muridnya dan bukan hanya sekadar mengajar. (Sumber gambar: Subash Abdullah/ MalayMail)

Subjek Sains Bukan Aliran ‘Elit’ Untuk Budak ‘Pandai’ Sahaja

Subash sebelum ini berkata subjek sains tidak sepatutnya dilayan sebagai aliran ‘elit’ yang hanya dikhaskan untuk mereka yang mempunyai bakat akademik.

“Ia bukan tentang menjadi pandai. Ia juga tentang strategi, motivasi dan mencari kaedah yang betul. Pelajar perlukan sokongan, bukan ditakutkan dengan kegagalan. Dan guru seharusnya memberi cara yang lebih bagus bagi membantu mereka mencapai yang terbaik,” katanya pada MalayMail.

Pendidik itu juga menceritakan bagaimana pendidikan yang membantu dia meneruskan kehidupan setelah pemergian ibunda tersayang.

“Kadangkala, saya dapat peluang untuk mengubah hala tuju hidup seseorang, dan saya sangat bersyukur kepada ibu saya kerana menyedari perkara itu pada diri saya,” ujarnya.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Cikgu Gigih Masak Sarapan Buat Calon SPM & STPM Sebelum Mula Exam Curi Perhatian

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Cikgu Buktikan Pelajar Cemerlang Peperiksaan Selepas Buat Pelbagai Aktiviti Dalam Kelas


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd