Now Reading
“Jangan Jadi Wartawan” – Jemaah Dinasihat Jangan Leka Buat Konten Ketika Tunai Haji

“Jangan Jadi Wartawan” – Jemaah Dinasihat Jangan Leka Buat Konten Ketika Tunai Haji

Pengurus Ibadat Haji Madinah, Mohamad Zahir Hussin menasihati orang ramai untuk beribadah sepenuh hati terutamanya di tempat mustajab seperti Raudah di Masjid Nabawi, Madinah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum mengetahui tidak lama lagi umat Islam sekali lagi akan bertemu dengan bulan Haji penuh barakah. Kalau anda nak tahu, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang terdiri daripada 284 jemaah, termasuk 31 petugas sudah tiba di Madinah pagi ini (29 April).

Buat mereka yang mendapat peluang keemasan ini, sudah tentu mereka mahu melakukan yang terbaik bagi menunaikan sebanyak ibadah yang boleh sepanjang berada di Mekah dan Madinah.

Namun ada juga segelintir jemaah terikut-ikut dengan trend terkini yang mana ada yang lebih mengutamakan hantaran di media sosial berbanding menghayati ibadah itu sendiri.

Jemaah Perlu Manfaatkan Masa Untuk Beribadah Ketika Tunai Haji

Baru-baru ini, Pengurus Ibadat Haji Madinah, Mohamad Zahir Hussin menasihati jemaah haji pada tahun ini untuk fokus mengerjakan ibadah dan bukannya leka merakam video atau selfie, akibat terikut-ikut dengan trend di media sosial.

“Jemaah jangan jadi wartawan,” itulah kata-kata yang ditegaskan oleh Zahir.

Menurutnya, jemaah sewajarnya mengambil kesempatan yang ada untuk beribadah sepenuh hati terutamanya di tempat mustajab seperti Raudah di Masjid Nabawi, Madinah.

Sumber: Pexels

Menurut Zahir, waktu di sana dianggap emas yang mana terdapat banyak cabaran untuk seseorang menjadi tetamu Allah SWT sebagai contoh masa, mental, fizikal dan kewangan dari setiap jemaah.

“Ini dia masuk dalam Raudah tu dia lebih lagi pada wartawan, mengalahkan wartawan. Ambil video, lepas tu bila orang suruh keluar baru dia kelam kabut jadi saya rasa telefon itu terbaik bila masuk dalam Masjid Nabawi kita simpanlah.

“Ambillah peluang apabila kita diberi peluang masuk dalam Raudah itu mengambil peluang sebagaimana yang saya sebutkan tadi sekurang-kurangnya dua rakaat solat hajat atau dua rakaat solat tahiyatul masjid dan doa kita titipkanlah ketika mana kita berada di Raudah,” jelasnya.

Jemaah Boleh Habiskan Masa Maksimum 15 Minit Dalam Raudah

Dalam pada itu, kerajaan Arab Saudi turut mewajibkan setiap jemaah haji untuk mendaftar di aplikasi nuzuk buat mereka yang ingin memasuki Raudah atau taman syurga itu.

Jika lulus, mereka diberikan tempoh kira-kira 10 hingga 15 minit iaitu sekadar melakukan solat dua rakaat dan berdoa sahaja dan bukannya untuk merakam konten.

Foto: Raudah

Sekadar info, jadual mengunjungi Raudah diuruskan oleh Tabung Haji dan jemaah diingatkan agar sentiasa peka terhadap waktu ditetapkan.

“Kita jagalah tutur kata kita, jadi sudah tentu janganlah kita bertolak-tolak ketika diberi peluang, kita lihat itu bila masuk dalam Raudah tu masing-masing berlari-lari, berlari tu okay lagi tapi jangan menolak orang lain, pastikan jemaah haji Malaysia menjaga adab,” jelas Zahir.

Amin Idris Tegur Influencer Buat Konten Di Mekah

Tahun lalu, pengacara televisyen serta penceramah bebas Amin Idris telah menegur seorang influencer yang merakam aksinya bersama pasukan semasa mahu mencium batu Hajar Aswad di Tanah Haram.

Dalam rakaman video tular, kelihatan pakaian ihramnya telah terlondeh hingga menampakkan bahagian badan di khalayak ramai ketika sedang gigih menuju ke batu tersebut.

Sumber: TikTok (@iamaminidris)

Amin berkata niat awal usahawan tersebut adalah baik kerana mahu menolong para wanita daripada pasukannya termasuklah si isteri untuk mencium batu Hajar Aswad.

Namun begitu, tindakan berkenaan dikatakan tidak wajar kerana jumlah jemaah umrah yang cukup ramai pada waktu tersebut.

Jelas Amin, sekiranya seseorang itu berpeluang untuk ke Mekah atau Madinah, mereka haruslah mengambil kesempatan berkenaan bagi menunaikan ibadah dengan sebaiknya. Hal ini kerana, bukan semua di kalangan umat Islam yang berpeluang menjejakkan kaki ke Mekah.

Baca Artikel Berkaitan: “Beribadah Dengan Ilmu” – Amin Idris Tegur Influencer Tentang Isu Konten Hajar Aswad

Baca Artikel Berkaitan: “Niat Nak Buat Konten?” – 3 Individu Silat Depan Masjid Nabawi Cetus Perdebatan

Baca Artikel Berkaitan: “Niat Saya Bukan Kerana Konten” – Hafiz Mahamad Padam Video Cium Hajar Aswad, Tampil Beri Penjelasan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd