Selepas Terengganu, Kerajaan Kedah & Selangor Kini Pertimbang Haramkan Penjualan Vape
Kedua-dua negeri akan lakukan perbincangan menyeluruh bagi menyempurnakan hasrat masing-masing untuk membendung penjualan vape dalam kalangan masyarakat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Usaha pengharaman rokok elektronik ataupun vape semakin mendapat perhatian kerajaan negeri. Langkah pengharaman baru-baru ini yang dilakukan oleh Terengganu memberi kesedaran baharu terhadap bahaya penggunaan vape dalam kalangan masyarakat.
Baru-baru ini, kerajaan negeri Kedah memaklumkan kesediaan untuk mengikut jejak Terengganu, manakala Selangor pula sedang meneliti secara menyeluruh langkah mengharamkan penjualan vape di negeri itu.
Kedua-dua negeri ini dilihat mengambil langkah lebih proaktif selepas beberapa laporan membangkitkan kebimbangan tentang kandungan berbahaya dalam produk vape.
Baca Artikel Berkaitan: Terengganu Henti Jualan Vape, Berkuatkuasa 1 Ogos
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Bonda Rozita Kongsi Keadaan Lelaki Alami Halusinasi Akibat Hisap Vape Perisa Mushroom
Baca Artikel Berkaitan: Akibat Hisap Vape ‘Magic Mushroom’ Berlebihan, Pelajar 16 Tahun Alami Sawan Kritikal
Kedah Sedia Bincang Larangan Vape Dalam Mesyuarat EXCO
Memetik laporan Berita Harian, Kedah sedia mengikuti jejak langkah Terengganu yang sebelum ini memutuskan untuk menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik (vape) di semua premis seluruh negeri itu bermula 1 Ogos depan.
Untuk itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata kerajaan negeri akan membincangkan saranan mengharamkan penjualan vape dalam mesyuarat EXCO minggu depan.
Beliau berkata, perkara itu diambil serius selepas menerima maklumat mengenai bahaya vape yang didakwa lebih buruk berbanding rokok, termasuk dakwaan ia mengandungi bahan kimia berbahaya dan dadah jenis ‘mushroom’.
“Kalau boleh kita pun nak ikut macam Terengganu. Mereka kata vape ini sangat bahaya, lebih bahaya daripada rokok.
“Banyak bahan kimia dalam vape, malah ada yang campur dadah ‘mushroom’… sangat bahaya,” katanya.
Sanusi menegaskan kerajaan negeri akan mencari jalan terbaik menangani isu berkaitan vape demi melindungi kesejahteraan generasi muda.
Selangor Tumpu Perbincangan Menyeluruh Sebelum Buat Keputusan
Memetik laporan MalayMail pula, satu mesyuarat bersepadu melibatkan Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Pejabat Menteri Besar dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan diadakan tidak lama lagi untuk mengkaji keperluan mengharamkan penjualan rokok elektronik di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa, Jamaliah Jamaluddin berkata, perbincangan itu turut melibatkan pelbagai pihak berkepentingan seperti kementerian, agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ia bertujuan mendapatkan gambaran lebih komprehensif tentang aspek penguatkuasaan, undang-undang serta kesan sosioekonomi.
Menurut Jamaliah, sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan kajian terperinci dengan mengambil kira kepentingan kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menghargai cadangan yang dikemukakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, yang menyarankan agar larangan vape dikaji semula.
Vape Undang Ketagihan & Risiko Dadah
Sebelum ini, Pensyarah Kanan di Jabatan Perubatan Penjagaan Primer, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Nur Amani Natasha Ahmad Tajuddin berkata, penggunaan vape mengundang pelbagai masalah kesihatan serius.
Ini termasuk masalah paru-paru, gangguan jantung dan kesan neurologi terutama kepada golongan muda.
“Dalam konteks kesihatan awam, langkah pengharaman penjualan vape penting bagi melindungi generasi muda dan mengawal penularan tabiat ini yang boleh menjadi lebih serius daripada rokok konvensional.
“Ia juga salah satu cara pembaziran duit yang menjejas ekonomi individu dan keluarga penghisap vape secara langsung. Jika tidak dikawal, ia boleh mencetuskan krisis kesihatan awam yang baharu.
“Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 2015 memutuskan penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram kerana memudaratkan kesihatan.
Oleh itu tidak patut lagi timbul isu pengharaman di peringkat negeri kerana ia sepatutnya di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada Harian Metro.
Dr Nur Amani Natasha berkata, lebih membimbangkan, vape umpama ‘pintu’ kepada penyalahgunaan dadah seperti ketamine, heroin, methamphetamine dan etomidate.
Baca Artikel Berkaitan: Pensyarah UM Gesa Kerajaan Negeri Haramkan Penjualan Vape, Mahu Lindungi Generasi Muda
Baca Artikel Berkaitan: “Haramkan Penggunaan Vape Secara Total”- Sultan Pahang
Baca Artikel Berkaitan: Murid Kantoi Bawa Vape & Telefon Ke Sekolah, Orang Ramai Puji Ibu Benarkan Pengetua Ambil Tindakan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



