Now Reading
UTP Cipta Sejarah, Jadi IPT Malaysia Pertama Dalam Top 50 Universiti Terbaik Asia

UTP Cipta Sejarah, Jadi IPT Malaysia Pertama Dalam Top 50 Universiti Terbaik Asia

UTP telah melonjak dari kedudukan ke 43 pada 2025 berbanding tangga ke-52 tahun lalu bagi universiti terbaik di Asia oleh Times Higher Education (THE).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum mengetahui Malaysia terdiri dengan pelbagai pilihan institusi pengajian tinggi yang berkualiti dan berprestij bagi melahirkan generasi anak muda yang berkualiti untuk masa hadapan.

Banyak juga di antara IPT ini telah merangkul anugerah bertaraf antarabangsa dan diiktiraf negara luar.

Terbaharu, Universiti Teknologi Petronas (UTP) melakar sejarah apabila menjadi universiti pertama di Malaysia yang tersenarai dalam kedudukan 50 universiti terbaik di Asia oleh Times Higher Education (THE).

UTP berjaya melonjak naik ke kedudukan 43 pada edisi 2025, berbanding tangga ke-52 pada tahun lalu. Selain mengekalkan gelaran sebagai universiti nombor satu di Malaysia, UTP juga dinobatkan universiti swasta terbaik di ASEAN.

“Bukan sahaja UTP secara rasminya telah menembusi 50 universiti Terbaik di Asia, tetapi kami juga dengan bangganya mengekalkan kedudukan sebagai universiti nombor satu di Malaysia!” ujar UTP.

Sumber: Facebook Universiti Teknologi PETRONAS

Kedudukan UTP Di ASEAN Melonjak Ketara Sejak Tahun 2016

Insititut pengajian tinggi (IPT) itu dalam kenyataan sama turut berkongsi perjalanan dalam ranking THE sebelum ini bermula pada tahun 2016 iaitu di kedudukan ke- 150.

“Daripada (kedudukan) #150 pada 2016 kepada #43 pada 2025. Kemajuan luar biasa ini mencerminkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap pengajaran, kecemerlangan penyelidikan, impak industri dan kerjasama global.

“Pencapaian ini tidak akan tercapai tanpa sokongan luar biasa PETRONAS, rakan kongsi akademik dan industri kami yang dihargai, serta dedikasi fakulti, kakitangan, pelajar, alumni dan penaja kami. Terima kasih kerana membantu kami merealisasikannya,” kata UTP menerusi kenyataan itu.

Sumber: Facebook Universiti Teknologi PETRONAS

Sementara itu, UTP berharap agar unversiti berkenaan akan meneruskan kecemerlangan dengan memperoleh anugerah dan kedudukan berprestij lain pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak UTP bagi menggapai kedudukan membanggakan itu.

“Kami amat berbangga mewakili Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa,” kata beliau.

Kedudukan Universiti Terbaik Dinilai Daripada 5 Aspek

Memetik Harian Metro, penarafan kedudukan tersebut dinilai melalui lima petunjuk utama iaitu:

  • Pengajaran
  • Persekitaran penyelidikan
  • Kualiti penyelidikan
  • Pemindahan ilmu
  • Pandangan antarabangsa

Mohamed Ibrahim memaklumkan bahawa mereka akan menumpukan kepada penyelesaian cabaran dunia sebenar melalui kerjasama lebih mendalam bersama institusi global, industri dan kerajaan.

“Kami sedang melabur dalam penyelidikan termaju, program rentas disiplin dan pengalaman pembelajaran berasaskan digital untuk memastikan siswazah kami bersedia menghadapi dunia yang berubah dengan pantas,” jelas Mohamed Ibrahim.

UTP Bakal Perkenal Program Ijazah Baharu

UTP turut memaklumkan antara inisiatif masa depan lain termasuklah pengenalan program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bersepadu dengan Kepujian, yang dijadual bermula September ini.

Sumber: Facebook Universiti Teknologi PETRONAS

“Program perintis ini menggabungkan bidang kejuruteraan, teknologi dan reka bentuk berteraskan manusia untuk melengkapkan mahasiswa dengan kemahiran masa depan. Ia mewakili model pendidikan baharu yang melangkaui sempadan disiplin serta memupuk inovasi dan pembelajaran berasaskan tujuan.

“Selaras dengan peluasan kerjasama global dan pelaburan dalam penyelidikan termaju, UTP kekal komited terhadap misi jangka panjangnya untuk membentuk industri, mentransformasi masyarakat dan terus berada di hadapan arus perubahan,” tambah Mohamed Ibrahim lagi.

Fakta Anda Perlu Tahu Tentang UTP

Untuk pengetahuan semua, UTP telah ditubuhkan sejak 10 Januari 1997. Pada awalnya, ia terletak di kawasan PERMATA di Bangi, Selangor sebelum berpindah ke Bandar Seri Iskandar, Perak.

Universiti ini merupakan anak syarikat milik penuh PETRONAS. UTP menawarkan pelbagai program kejuruteraan, sains dan teknologi yang berkaitan dengan industri di peringkat sarjana muda dan pasca siswazah.

Selari dengan visinya, UTP telah melahirkan lebih 24,000 graduan. Ia kini mempunyai pendaftaran melebihi 1000 pelajar asasi dan lebih 4,000 mahasiswa dari seluruh dunia.

Sumber: Facebook Universiti Teknologi PETRONAS

Di UTP, mereka menekankan aktiviti penyelidikan yang meluas dengan kerjasama PETRONAS dan institusi serta industri lain di dalam dan luar negara.

UTP juga dikenali dengan keunikan bangunan akademiknya terutamanya kompleks canselor yang mendapat pengiktirafan dunia iaitu Anugerah Aga Khan pada tahun 2007.

Sumber: Facebook Universiti Teknologi PETRONAS

    Baca Artikel Berkaitan: Graduan UTP Lompat Kerja 4 Kali Dalam 7 Tahun, Berjaya Naik Gaji Dari RM3,500 Ke RM15,000

    Baca Artikel Berkaitan: Pensyarah UTP, Dr Tang Tong Boon Jadi Rakyat Malaysia Pertama Raih Mountbatten Medal


    Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

    Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

    © 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd