Now Reading
Terengganu Henti Jualan Vape, Berkuatkuasa 1 Ogos

Terengganu Henti Jualan Vape, Berkuatkuasa 1 Ogos

Datuk Wan Sukairi berkata kerajaan negeri juga akan mengekalkan dasar sedia ada dengan tidak meluluskan lesen kepada mana-mana premis yang menjual produk vape.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Vape ataupun rokok elektronik untuk beberapa tahun yang lepas mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Meskipun dilihat sebagai alternatif kepada rokok biasa, namun realitinya kini ia bertentangan tujuan asal.

Hal ini demikian kerana kandungan bahan kimia di dalam vape sukar dikawal. Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila pengguna sendiri mula mencampuri bahan perasa dan cecair dalam peranti tersebut.

Terbaru, kerajaan negeri Terengganu mengorak langkah drastik dengan memperkenalkan larangan menyeluruh terhadap penjualan vape di negeri itu.

Baca Artikel Berkaitan: [Foto] Design Vape Seakan Marker Pen Bikin Ramai Keliru & Cetus Kebimbangan

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Bonda Rozita Kongsi Keadaan Lelaki Alami Halusinasi Akibat Hisap Vape Perisa Mushroom

Baca Artikel Berkaitan: Akibat Hisap Vape ‘Magic Mushroom’ Berlebihan, Pelajar 16 Tahun Alami Sawan Kritikal

Larangan Penjualan Vape Bermula 1 Ogos

Memetik laporan Bernama, kerajaan Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik (vape) di semua premis seluruh negeri mulai 1 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Exco Negeri dan merupakan langkah proaktif membendung kesan negatif produk vape terhadap kesihatan rakyat, terutama generasi muda.

Katanya, kerajaan negeri juga akan mengekalkan dasar sedia ada dengan tidak meluluskan lesen kepada mana-mana premis yang menjual produk vape, dan syarat lesen perniagaan akan diperkemas bagi memastikan larangan ini dikuatkuasakan sepenuhnya.

Tindakan Tegas, Tiada Lagi Tajaan Berkaitan Vape

Wan Sukairi turut menjelaskan, mana-mana pengusaha yang ingkar akan dikenakan tindakan tegas seperti kompaun, sita dan pendakwaan di mahkamah mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Kerajaan negeri juga menegaskan tidak akan menerima sebarang tajaan daripada pengeluar atau pengedar vape untuk sebarang acara rasmi.

Tempoh lanjutan selama tiga bulan diberikan bermula 1 Mei hingga 31 Julai sebelum larangan sepenuhnya bermula 1 Ogos ini, termasuk tindakan terhadap papan iklan berkaitan vape.

Usahawan Vape Ditawarkan Jalan Alternatif

Sebagai usaha membantu pengusaha vape yang terjejas, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan menawarkan penyertaan dalam kursus keusahawanan serta peluang perniagaan lain yang lebih mampan dan selamat.

Langkah ini dilihat sebagai pendekatan menyeluruh kerajaan negeri bukan sahaja dalam mengekang bahaya vape, tetapi juga dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan pendapatan golongan usahawan terlibat.

Vape Undang Ketagihan & Risiko Dadah

Sebelum ini, Pensyarah Kanan di Jabatan Perubatan Penjagaan Primer, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Nur Amani Natasha Ahmad Tajuddin berkata, penggunaan vape mengundang pelbagai masalah kesihatan serius.

Ini termasuk masalah paru-paru, gangguan jantung dan kesan neurologi terutama kepada golongan muda.

“Dalam konteks kesihatan awam, langkah pengharaman penjualan vape penting bagi melindungi generasi muda dan mengawal penularan tabiat ini yang boleh menjadi lebih serius daripada rokok konvensional.

“Ia juga salah satu cara pembaziran duit yang menjejas ekonomi individu dan keluarga penghisap vape secara langsung. Jika tidak dikawal, ia boleh mencetuskan krisis kesihatan awam yang baharu.

“Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 2015 memutuskan penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram kerana memudaratkan kesihatan.

Oleh itu tidak patut lagi timbul isu pengharaman di peringkat negeri kerana ia sepatutnya di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Nur Amani Natasha berkata, lebih membimbangkan, vape umpama ‘pintu’ kepada penyalahgunaan dadah seperti ketamine, heroin, methamphetamine dan etomidate.

Baca Artikel Berkaitan: Pensyarah UM Gesa Kerajaan Negeri Haramkan Penjualan Vape, Mahu Lindungi Generasi Muda

Baca Artikel Berkaitan: “Haramkan Penggunaan Vape Secara Total”- Sultan Pahang

Baca Artikel Berkaitan: Murid Kantoi Bawa Vape & Telefon Ke Sekolah, Orang Ramai Puji Ibu Benarkan Pengetua Ambil Tindakan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd