Now Reading
Risiko Cedera Pakai Lencana Pin Jalur Gemilang, Ramai Gesa KPM Tukar Kepada Jenis Sulam

Risiko Cedera Pakai Lencana Pin Jalur Gemilang, Ramai Gesa KPM Tukar Kepada Jenis Sulam

Ibu bapa menerusi platform media sosial membuat aduan bahawa pemakaian lencana pin Jalur Gemilang itu berisiko tercucuk pada anak.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bagi menanam semangat patriotisme di kalangan pelajar, terdapat banyak langkah diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuklah pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan bawah kelolaannya.

Pelaksanaan lencana itu sudah pun berkuat kuasa sejak 21 April lalu secara berperingkat. KPM juga membekalkan dua unit lencana Jalur Gemilang itu secara percuma kepada semua murid bagi sesi persekolahan 2025/2026.

Antara objektif lain lencana ini adalah bagi menyemai perpaduan, menonjolkan identiti kebangsaan, mewujudkan sikap tanggungjawab dan disiplin serta tanda penghormatan kepada negara.

Meskipun ramai yang teruja dengan inisiatif ini, segelintir pihak berpendapat penggunaan lencana jenis pin ini adalah tidak sesuai.

Baca Artikel Berkaitan: Ini Garis Panduan Penggunaan Jalur Gemilang Yang Rakyat Malaysia Wajib Tahu

Baca Artikel Berkaitan: KPM Wajibkan Murid Pakai Lencana Jalur Gemilang Pada Baju Seragam, Ini Panduan Pemakaiannya

Lencana Jalur Gemilang Jenis Pin Berisiko Mencederakan Murid

Terbaharu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perunding Pendidikan MCA, Felicia Wong Yin Ting berkata lencana baharu Jalur Gemilang yang ditetapkan penggunaannya oleh KPM berisiko mencederakan para pelajar.

Hal ini kerana, murid-murid berkemungkinan tidak mahir lagi bagi mengendali objek tajam. Tambah beliau, murid juga terdedah dengan kecederaan sekiranya terpijak atau terduduk atas pin bendera yang tercabut dan tercicir.

Sumber: Facebook Anuar Ahmad

Perlu Ambil Kira Isu Keselamatan Murid Dalam Menggunakan Lencana Jenis Pin

Dalam pada itu Felicia berkata, memupuk perasaan cinta terhadap negara dalam diri anak-anak adalah penting, namun pihak berkuasa tidak boleh mengabaikan keselamatan murid.

“Dalam kita berusaha untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan para pelajar, keselamatan mereka tidak seharusnya dikorbankan.

“Apa yang tidak sedap didengar adalah baru beberapa hari ia dilaksanakan, ibu bapa sudah mula melahirkan kebimbangan keselamatan anak mereka melalui media sosial berhubung pin lencana yang tajam yang boleh mendatangkan kecederaan.

“Walaupun lencana itu dibekalkan secara percuma, namun turut mendapat kebimbangan ibu bapa sekiranya lencana itu pecah atau rosak, mereka perlu mengeluarkan modal untuk membeli lencana yang baharu,” jelas Felicia menerusi satu kenyataan di laman Facebook MCA.

Para Ibu Kongsi Keadaan Baju Anak Selepas Pakai Lencana Pin Jalur Gemilang

Ulas beliau lagi tidak sampai beberapa hari pemakaian lencana Jalur Gemilang itu dilaksanakan, banyak aduan sudah mula diterima daripada ibu bapa di platform media sosial.

“Saya faham, kecederaan melibatkan pin lencana Jalur Gemilang ini mungkin tidak begitu banyak, tetapi kan lebih baik mencegah dari mengubati?” ujar Felicia.

Seorang ibu dikenali sebagai Nur Amalia berkata lencana tersebut menyebabkan pakaian seragam mempunyai kesan lubang yang banyak. Bukan itu sahaja, si kecil juga dikatakan tidak mahir untuk pin semula lencana yang sudah tercicir.

“Baru dua hari pelancaran pemakaian lencana Jalur Gemilang, ini dia hasilnya. Rosak habis seragam sekolah hasil main cucuk cucuk jarum. Balik sekolah baru perasan lencana ni jatuh, terselit dekat beg.

“Rupanya anak aku ni nak pakai balik lencana tapi tak masuk dalam lubangnya. Tak ke bahaya mujur tak tercucuk dekat badan dia. Memang lepas ni tak boleh pakai dah lencana berjarum ni, sangat tak sesuai untuk budak kecil ya walaupun darjah satu,” luah si ibu.

Seorang lagi wanita dikenali sebagai Krescellia khuatir selepas rakan sekelas didakwa sengaja menolak anak perempuannya sehingga menyebabkan bahagian baju seragam yang dipin dengan lencana Jalur Gemilang itu terkoyak.

Dalam pada itu, Felicia berkata, MCA mencadang agar menggunakan lencana Jalur Gemilang bersulam atau yang boleh ditampal bagi mengelak berlakunya sebarang kecederaan terhadap murid, selain mengelak kes kecurian atau kehilangan.

PAGE Gesa KPM Guna Lencana Jalur Gemilang Jenis Berjahit

Lencana Jalur Gemilang jenis berpin ini juga mendapat perhatian Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) yang berpendapat bahawa ibu bapa sepatutnya diberi pilihan menggunakan lencana jenis jahitan pada baju seragam anak.

Pengerusi PAGE Noor Azimah Rahim berkata lencana Jalur Gemilang yang berjahit adalah lebih selamat dan mesra kanak-kanak.

Sumber: Thread (@rubydotmy)

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd