Produk China Didakwa Dipalsukan Sebagai Buatan Malaysia Bagi Elak Tarif AS Tinggi
Sehubungan itu, penganalisis perdagangan mendesak Malaysia agar bertindak segera bagi mengatasi isu penyalahgunaan label eksport oleh produk berasal dari China.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada awal April lalu, kecoh apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan tarif bermula 10% bagi semua barangan yang diimport masuk ke negara itu.
Malaysia juga tidak terkecuali daripada pengumuman ini apabila dikenakan tarif sebanyak 24%.
Pengumuman Trump mencetuskan peperangan perdagangan antara AS dan China, apabila negara Asia Timur itu dikenakan tarif mencecah 145% sebelum membalas dengan tarif 125% bagi barangan dari AS.
Baca Artikel Berkaitan: Tarif AS Ke Atas China Dikenakan Trump Meningkat Kepada 104%
Baca Artikel Berkaitan: [Video] “Malaysia Pun Kena Tempias” – Tengku Zafrul Jelaskan Isu Kenaikan Tarif Dikenakan Trump
Timbul Dakwaan Barangan China Diisytihar Sebagai Buatan Malaysia, Elak Tarif AS Tinggi
Terkini, media AS melaporkan bahawa penjual dalam talian di negara itu telah diberi tawaran yang meragukan bagi mengelakkan tarif ke atas barangan China dengan kaedah yang membabitkan Malaysia.
Laporan oleh Bloomberg mendedahkan bahawa terdapat broker kargo yang berpangkalan di China didakwa mengubah laluan produk menerusi Malaysia.
Malah mereka secara palsu mengisytiharkan produk terbabit sebagai barangan buatan Malaysia bagi mengeksploitasi tarif AS yang lebih rendah.
Bercakap kepada Bloomberg, seorang broker berkata, “Kebanyakan klien memilih untuk menghantar barangan China melalui Malaysia dan menyatakan ia dihasilkan di sana.”
Hal ini dilakukan demi mengelak tarif AS bagi barangan China sebanyak 145% berbanding kadar 24% yang dikenakan kepada Malaysia, menjadikan ia samaran yang bagus untuk barangan yang sebenarnya berasal dari China.
Broker Tawarkan ‘Servis’ Menerusi Media Sosial
Menurut lima peniaga yang ditemu bual oleh Bloomberg, tawaran sedemikian mula melonjak sejak Trump mengenakan tarif yang amat tinggi terhadap barangan import dari China.
Broker terbabit akan menghubungi mereka di media sosial dan menawarkan bantuan untuk mengurangkan kos dengan memalsukan nilai penghantaran atau tempat asal produk.
“Kami boleh berikan solusi untuk bantu anda menjimatkan kos,” tulis satu mesej dari syarikat logistik yang menawarkan untuk berkhidmat sebagai pengimport serta mengisytiharkan nilai yang lebih rendah bagi penghantaran.
Penganalisis Desak Malaysia Tindak Segera Atasi Isu Penyalahgunaan Label Eksport
Sehubungan itu, penganalisis perdagangan Malaysia memberi amaran bahawa amalan sedemikian boleh menjejaskan kedudukan negara dalam pasaran global dan menyebabkan pengeksport yang sah berisiko menghadapi pemeriksaan yang lebih ketat.
Di bawah undang-undang kastam AS, pemalsuan pengisytiharaan negara asal produk adalah diharamkan dan mereka yang terlibat boleh dikenakan penalti sivil mahupun jenayah.
Pun begitu, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS masih belum mengesahkan jika penguatkuasaan telah ditingkatkan. Sebaliknya, ia bergantung kepada aduan yang dikemukakan melalui portal dalam taliannya.
Dalam masa sama, penganalisis berkata Malaysia perlu bertindak segera bagi memastikan label eksportnya tidak dieksploitasi dalam perang perdagangan yang berlaku antara China dan AS.
Kumpulan-kumpulan perdagangan turut mendesak pihak berkuasa Malaysia agar menyiasat sebarang penyalahgunaan identiti kebangsaan di samping mempertahankan integriti eksport negara.
Tarif China Meningkat Dari 54% Ke 104% & Kini 145%
Terdahulu, China menjadi antara negara yang dikenakan tarif tertinggi oleh Trump iaitu sebanyak 54%.
Kementerian Perdagangan China sebelum itu menyatakan mereka ‘tegas menentang’ tambahan tarif 50% terhadap import negaranya dan menyifatkan tindakan itu sebagai ‘satu kesilapan di atas kesilapan’.
Kadar itu bagaimanapun telah ditingkatkan kepada 104% yang berkuatkuasa pada 9 April lalu.
Tarif kemudiannya dinaikkan lagi kepada kadar 145%, manakala China turut mengenakan tarif ke atas produk AS sebanyak 125%.
Namun semalam (23 April), Trump seolah-olah memberi bayangan tarif terhadap China mungkin akan ‘turun dengan ketara’ sekaligus menyaksikan satu lagi ‘U-turn’.
“145% adalah terlalu tinggi dan ia tidak akan setinggi itu. Ia tidak akan menghampiri angka itu, ia akan turun dengan ketara. Namun tidak akan menjadi 0%,” kata Presiden AS itu.
Apa Itu Tarif?
Buat anda yang tidak biasa dengan istilah ekonomi, perbincangan tentang tarif yang dikenakan oleh kerajaan AS mungkin kelihatan memeningkan.
Secara ringkasnya, tarif merupakan cukai yang dikenakan ke atas barangan yang dibeli oleh sesebuah negara daripada negara lain, juga dikenali sebagai barangan import.
Oleh itu, tarif dengan kadar tinggi akan menyebabkan harga suatu produk turut meningkat.
Seperti contoh yang diberikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini, harga baju pada mulanya berharga USD100 akan menjadi USD154 setelah dikenakan tarif 54%.
Jadi kenapa negara meletakkan tarif ke atas produk import? Ia berfungsi sebagai ‘sekatan perdagangan’ untuk:
- Melindungi perniagaan tempatan.
- Meningkatkan harga barangan luar negara.
- Mengurangkan kuantiti produk dan servis oleh negara luar.
- Mewujudkan beban ekonomi bagi pengeksport.
- Memberi tekanan kepada negara luar dalam perbincangan perdagangan.
Tax Foundation bagaimanapun menjelaskan bahawa beban tarif ini kebiasaannya akan ditanggung oleh pengguna di negara yang mengenakan cukai tersebut.
Malah, kesan tarif bersifat regresif dan membebankan isi rumah berpendapatan rendah berbanding kumpulan pertengahan dan tinggi.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.