Now Reading
Tanah Runtuh Di TTDI: Tembok Sekolah Antarabangsa Roboh, Banyak Fasiliti Terjejas

Tanah Runtuh Di TTDI: Tembok Sekolah Antarabangsa Roboh, Banyak Fasiliti Terjejas

Antara kemudahan lain di sekolah tersebut yang dilaporkan rosak akibat tanah runtuh ini adalah perpustakaan, bilik darjah dan tandas.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pagi ini (23 April), satu insiden tanah runtuh berlaku di sebuah sekolah antarabangsa di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) hingga menyebabkan tembok bangunan sekolah tersebut roboh.

Pelbagai kemudahan, termasuk perpustakaan, bilik darjah, bilik guru, dan tandas juga telah rosak.

Dua buah kereta yang diletakkan di dalam pekarangan sekolah turut remuk. Pun begitu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan pusat operasinya menerima panggilan kecemasan jam 7.18 pagi dan segera menghantar anggota ke lokasi kejadian.

Hujan Lebat Berpanjangan Punca Tanah Runtuh Berlaku

Jelas Komander Operasi Azkhan Hamdan, runtuhan dinding sekolah itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat hingga menyebabkan kejadian tanah runtuh.

“Anggota bomba dan penyelamat dari Balai TTDI dan Sri Hartamas telah digerakkan sebagai pasukan tindak balas awal, membabitkan dua jentera, jentera penyelamat kebakaran dan perkhidmatan respons perubatan kecemasan dengan kekuatan seramai 15 anggota,” kata pihak bomba, lapor Berita Harian.

Susulan itu, keadaan dilaporkan mula terkawal pada jam 7:55 pagi. Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam masa sama melakukan penilaian keselamatan di lokasi terbabit dan menyerahkan tindakan lanjut kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Penutupan Jalan Berlaku Akibat Kes Tanah Runtuh Di Lokasi Lain

Dalam insiden lain pada hari yang sama, tanah runtuh setinggi 40 kaki dilaporkan berlaku di lereng bukit berhampiran jalan utama di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang, Selangor.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, tiada kemalangan jiwa atau kenderaan yang terjejas semasa tanah runtuh menghalang laluan masuk utama di Jalan Haji Abdullah itu berlaku.

Sementara itu, di Taman Bukit Cheras, hujan lebat berterusan sejak Selasa (22 April) telah mencetuskan tanah runtuh, mengakibatkan penutupan jalan disebabkan isu keselamatan.

Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak telah melawat tapak itu bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak DBKL, dan Jawatankuasa Pengawasan Kejiranan (KRT) Taman Bukit Cheras.

Dalam masa sama, penduduk terkesan yang tinggal di cerun telah dipindahkan sementara menunggu penilaian terperinci daripada Unit Cerun DBKL Jabatan Kejuruteraan dan Pengangkutan Bandar.

Oleh disebabkan insiden duka cita ini, kawasan Lembah Klang kini mengalami kesesakan lalu lintas yang ketara berikutan lebuh raya utama terjejas akibat banjir kilat. Ia sekaligus menyebabkan ramai pengguna jalan raya tersangkut dalam trafik.

Walaupun bencana banjir berlaku dan banyak rumah yang terjejas, pihak berkuasa melaporkan bahawa tiada pemindahan mangsa perlu dilakukan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd