Now Reading
Pensyarah UM Gesa Kerajaan Negeri Haramkan Penjualan Vape, Mahu Lindungi Generasi Muda

Pensyarah UM Gesa Kerajaan Negeri Haramkan Penjualan Vape, Mahu Lindungi Generasi Muda

Prof Madya Dr Nur Amani Natasha Ahmad Tajuddin berkata, penggunaan vape mengundang pelbagai masalah kesihatan serius termasuk masalah paru-paru, gangguan jantung.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bermula sebagai alternatif, kini menjadi trend. Penjualan rokok elektronik tanpa batasan kini menjadi barah dalam kalangan masyarakat apabila golongan muda mula menjadikan vape sebagai satu gaya hidup harian.

Objektif asalnya sebagai salah satu cara untuk berhenti merokok gagal sepenuhnya apabila penggunaan vape kini menjadi kebiasaan, malah lebih diterima berbanding rokok konvensional oleh sesetengah pihak.

Baru-baru ini, seorang pensyarah dari Universiti Malaya (UM) tampil menyarankan agar langkah pengharaman penjualan vape dilaksanakan di seluruh negara bagi mengekang gejala yang semakin menular ini.

Baca Artikel Berkaitan: “Haramkan Penggunaan Vape Secara Total”- Sultan Pahang

Baca Artikel Berkaitan: Murid Kantoi Bawa Vape & Telefon Ke Sekolah, Orang Ramai Puji Ibu Benarkan Pengetua Ambil Tindakan

Baca Artikel Berkaitan: [Foto] Design Vape Seakan Marker Pen Bikin Ramai Keliru & Cetus Kebimbangan

Saran Pengharaman Vape Di Peringkat PBT

Memetik laporan Harian Metro, semua kerajaan negeri digesa mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana memberi ancaman kepada kesihatan, selain didakwa menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik baharu.

Pensyarah Kanan di Jabatan Perubatan Penjagaan Primer, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Nur Amani Natasha Ahmad Tajuddin berkata, penggunaan vape mengundang pelbagai masalah kesihatan serius termasuk masalah paru-paru, gangguan jantung dan kesan neurologi terutama kepada golongan muda.

Menurutnya, vape bukan sahaja menyebabkan ketagihan, malah semakin ramai remaja mula menggunakannya kerana mudah diperoleh dan dianggap ‘tidak berbahaya’.

Vape Undang Ketagihan & Risiko Dadah

“Dalam konteks kesihatan awam, langkah pengharaman penjualan vape penting bagi melindungi generasi muda dan mengawal penularan tabiat ini yang boleh menjadi lebih serius daripada rokok konvensional.

“Ia juga salah satu cara pembaziran duit yang menjejas ekonomi individu dan keluarga penghisap vape secara langsung. Jika tidak dikawal, ia boleh mencetuskan krisis kesihatan awam yang baharu.

“Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 2015 memutuskan penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram kerana memudaratkan kesihatan.

Oleh itu tidak patut lagi timbul isu pengharaman di peringkat negeri kerana ia sepatutnya di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Nur Amani Natasha berkata, lebih membimbangkan, vape umpama ‘pintu’ kepada penyalahgunaan dadah seperti ketamine, heroin, methamphetamine dan etomidate.

Vape Alternatif Berhenti Merokok Yang Gagal

Malah, katanya, dakwaan bahawa vape adalah alternatif untuk perokok tegar meninggalkan rokok adalah tidak benar sama sekali.

“Ramai yang mula guna vape untuk berhenti merokok, tetapi akhirnya ketagih kedua-duanya.

“Kandungan utama dalam vape ialah nikotin, iaitu bahan penyebab ketagih. Ia merangsang otak dan buatkan pengguna rasa seronok yang seketika sahaja, tetapi sukar untuk berhenti.

“Setelah kesan nikotin ini habis di reseptor otak, pengguna vape akan automatik mendapat ‘signal’ untuk menghisap vape lagi. Selain itu, vape juga mengandungi bahan kimia berbahaya serta perisa dan pewarna yang menambah tarikan, terutamanya dalam kalangan remaja.

“Kombinasi ini menjadikan ‘vaping’ sebagai satu tabiat yang sukar dihentikan, malah ada yang mengatakan lebih susah daripada berhenti (menghisap) rokok biasa,” katanya.

Usia Muda Sudah Terjebak

Khamis lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape yang kini menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik baharu.

Ia susulan pendedahan terdapat pelajar sekolah seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape mengandungi bahan dicampur dadah yang jika tidak dikekang boleh menjadi ancaman baharu di negara ini.

Antara dadah sintetik yang sering menjadi pilihan anak muda ialah “mushroom”. Ia adalah sejenis dadah yang dicampur dalam perasa vape bertujuan mengkhayalkan.

Setakat ini, Johor kekal melarang dan tidak mengeluarkan sebarang kebenaran lesen penjualan vape sejak 1 Januari 2016 serta menguatkuasakan undang-undang melarang menghisap vape termasuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati melakukan urusan jual beli peranti berkenaan.

Kerajaan Selangor pula dilaporkan akan meneliti keperluan mengharamkan penjualan vape dengan perbincangan bersama Jabatan Kesihatan Negeri akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Tindakan Warden Sekolah Buang Rokok & Vape Yang Dirampas Raih Pujian

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Bonda Rozita Kongsi Keadaan Lelaki Alami Halusinasi Akibat Hisap Vape Perisa Mushroom

Baca Artikel Berkaitan: Akibat Hisap Vape ‘Magic Mushroom’ Berlebihan, Pelajar 16 Tahun Alami Sawan Kritikal


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd