Tular Video Pelajar UniMAP Mogok Kerana Gangguan Air, SPAN Perjelas Punca Sebenar
Sebelum ini, tular di laman TikTok menyaksikan para pelajar dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sedang menjerit di kolej kediaman sambil mengadu tentang masalah bekalan air di sana.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum mengetahui buat mereka yang bergelar pelajar, fasiliti dan kemudahan yang disediakan di universiti dan kolej kediaman adalah penting bagi memastikan sesi pembelajaran berjalan lancar serta selesa.
Namun sebelum ini, tular di laman TikTok apabila mahasiswa dan mahasiswi dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meluahkan kekecewaan mereka kepada pihak pengurusan kerana didakwa tidak dapat menyediakan bekalan air yang mencukupi buat mereka.
Masalah air yang didakwa sudah berlarutan hampir dua minggu itu menyebabkan mereka tertekan selain sukar menguruskan diri sendiri.
Bukan itu sahaja, seorang lagi pelajar mendakwa ambulans kerap kali dilihat di kolej kediaman sejak masalah gangguan air ini berlaku kerana pelajar yang pengsan dan mengalami sawan dipercayai akibat dehidrasi.
Baca Artikel Berkaitan: “Sampai Ada Yang Pengsan” – Pelajar Berang Dakwa Tiada Air Di Kolej Kediaman Hampir 2 Minggu
Sistem Perpaipan Dalaman Di UniMAP Punca Gangguan Air Berlarutan
Terbaharu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan bahawa gangguan bekalan air di Kompleks Perumahan UniCITI Alam (KPUA), UniMAP bukan berpunca daripada tekanan air rendah oleh operator bekalan, Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP).
Berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh pihak SPAN, punca utama gangguan adalah disebabkan masalah sistem perpaipan dalaman di premis universiti terbabit yang dilaksanakan oleh pemaju.
“Hasil siasatan di lokasi mendapati bahawa tekanan bekalan air selepas meter utama (meter pukal) adalah mencukupi dan melebihi tekanan minimum yang ditetapkan.
“Kawasan di sekitar KPUA menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Timah Tasoh, yang mempunyai dua sumber bekalan air disalurkan melalui paip utama SAP bersaiz 315 mm jenis paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE).
“Hanya sebahagian daripada enam blok terjejas susulan gangguan pada sistem bekalan air dalaman yang sepenuhnya berada di bawah tanggungjawab pemilik premis atau pemaju,” jelas SPAN, lapor Sinar Harian.
Bekalan Air Melalui Lori Tangki Disalur Kepada Pelajar
Susulan itu, SAP mengambil langkah proaktif termasuk membuat pintasan sementara yang tidak melalui meter utama bagi membolehkan blok-blok kediaman pelajar yang terkesan mendapat bekalan air.
“SAP juga akan menghantar lori tangki dan mengepam bekalan air ke tangki di premis UniMAP yang terjejas,” tambah SPAN.
UniMAP Ambil Langkah Proaktif Demi Kebajikan Pelajar
Dalam pada itu, UniMAP dalam satu kenyataan turut berkata pihaknya mengambil serius berkaitan kebajikan pelajar terutamanya dalam memastikan pembelajaran mahasiswa dan mahasiswi tidak terjejas.
“Maka usaha sedang giat dijalankan secara berterusan bagi memastikan isu ini diselesaikan secepat mungkin dan segala perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujar UniMAP.
Antara langkah yang diambil oleh UniMAP bagi menangani masalah pelajar yang terkesan akibat gangguan air ini adalah seperti berikut:
- Semua kuliah bagi pelajar Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dilaksana secara dalam talian sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak
- Menyediakan penghantaran lori bekalan air serta tangki air di setiap blok
- Menyampai dan mengemas kini maklumat melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp.
- Memanjangkan waktu operasi Pusat Kesihatan UniMAP.
- Menyediakan pengangkutan ke masjid dan rumah ibadah berdekatan.

Semua Sesi PdP Dijalankan Secara Online
Dalam satu hantaran baharu di laman Instagram Majlis Perwakilan Pelajar, pihak UniMAP memaklumkan bahawa semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di Kampus UniCITI Alam akan dijalankan secara dalam talian berkuat kuasa serta-merta sehingga dimaklumkan kelak.
“Mohon semua pelajar sentiasa peka dengan makluman rasmi yang akan disalurkan dari semasa ke semasa,” ujar MPP UniMAP di ruangan kapsyen perkongsian.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.