Kes Guru Hantar Link Lucah: KPM Tak Kompromi Dengan Salah Laku Seksual
Sebelum ini, seorang guru lelaki di sebuah sekolah sekitar Johor Bahru direman selama tujuh hari bermula 16 April atas dakwaan menghantar pautan lucah kepada rakan sekerja wanita.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kes gangguan seksual di kalangan rakyat Malaysia dilihat semakin membimbangkan. Bukan sahaja dari segi fizikal tetapi ramai juga mula menggunakan platform atas talian untuk berkelakuan tidak senonoh.
Seperti Disember 2024, kecoh di media sosial mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab seorang ahli akademik di Universiti Malaya (UM) yang berkongsi gambar bogel dirinya kepada pelajar serta melakukan gangguan seksual.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagaimanapun memaklumkan bahawa pensyarah itu telah ditahan kerja.
UM menerusi Pusat Komunikasi Korporatnya juga berkata tindakan tersebut telah diambil di bawah Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].
Baca Artikel Berkaitan: Pensyarah UM Ditahan Kerja, Isu Dakwaan Tular Hantar Mesej Jelik Kepada Pelajar
KPM Ambil Serius Kesalahan Seksual Melibatkan Guru
Terbaharu, Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kesalahan melibatkan para pendidik terutamanya isu salah laku seksual melibatkan seorang guru lelaki di Johor Bahru baru-baru ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sentiasa berpegang kepada prinsip ‘you touch, you go’ seperti yang selalu dinyatakan berdasarkan garis panduan serta peraturan sedia ada dalam membanteras isu sebegitu.
“Siasatan sedang kita laksanakan tapi seperti biasa saya ulang dengan tegas bahawa kita tidak berkompromi terhadap apa sahaja kesalahan khususnya (kes) seksual, ‘you touch, you go’ macam mana yang saya selalu sebut.
“Kita akan siasat secara menyeluruh dan kita berpegang kepada garis panduan yang sudah pun kita ada dan peraturan-peraturan sedia ada,” jelas Fadhlina.
Guru Lelaki Didakwa Hantar Pautan Lucah & Berkelakuan Intim Dengan Murid
Terdahulu, seorang guru lelaki di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru ditahan pihak polis susulan pendedahan dibuat seorang guru wanita dari sekolah sama mengenai tingkah laku yang tidak senonoh.
Guru wanita itu mendakwa pernah menyaksikan suspek berkelakuan intim dengan beberapa pelajar perempuan selain menerima pautan lucah daripadanya.
Suspek kemudiannya tampil dengan satu hantaran di laman Facebook dan menyatakan aksi menghantar pautan lucah itu tidak disengajakan.
Memetik Berita Harian, guru lelaki itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan. Tempoh reman sehingga Selasa depan itu berkuat kuasa 16 April bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek berusia 32 tahun terbabit mengikut Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
KPM Beri Ruang PDRM Jalankan Siasatan Sebelum Ambil Tindakan
Berbicara lebih lanjut mengenai kes berkenaan, Fadlina berkata KPM memberi ruang sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan sebelum tindakan selanjutnya diambil kementerian berkenaan.
“Kita bagi dulu ruang untuk siasatan penuh dilaksanakan (kerana) siasatan masih lagi berlangsung jadi, apa sahaja arahan yang terkait rapat dengan garis panduan yang memastikan bahawa tindakan atau sebarang perilaku itu akan kita uruskan mengikut peraturan kita,” tambah menteri itu.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata bahawa KPM sentiasa komited dalam memastikan sebarang bentuk perilaku tidak wajar dalam kalangan warga pengajar ditangani dengan tegas berdasarkan undang-undang.
“Penegasan ini telah pun kita buat berulang kali dan kita akan terus kekalkan ketegasan itu dari semasa ke semasa,” ulas beliau.
Sebelum ini, seorang peguam ada berkongsi yang perbuatan menghantar mesej lucah merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman.
Menurutnya, kesalahan itu berada di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Baca Artikel Berkaitan: “Fikir Dulu Sebelum Send!” – Peguam Dedah Hantar Mesej Lucah Boleh Dipenjara [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Baby Shima Kantoikan Lelaki Beri Mesej Berbaur Lucah Dalam Media Sosial
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.