Isu Bendera Tidak Lengkap: Keterangan Sudah Diambil, Ketua Editor & Penyunting Sin Chew Daily Dibebas
Difahamkan sesi rakaman keterangan berlangsung selama kira-kira tiga jam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Dalam usaha meliputi perkembangan semasa berkaitan hubungan antarabangsa, beberapa media tempatan menampilkan kandungan khas bersempena lawatan penting dari luar negara baru-baru ini.
Namun, perhatian orang ramai tertumpu kepada satu penyiaran visual oleh akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, yang mengundang pelbagai reaksi di media sosial apabila ilustrasi Jalur Gemilang yang dipaparkan didapati tidak lengkap kerana ketiadaan bulan sabit.
Susulan itu, Ketua Editor dan penyunting akhbar berkenaan telah dipanggil oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan di bawah Akta Lambang dan Nama serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
Editor & Penyunting Dibebaskan Lepas Ambil Keterangan
Bagaimanapun, memetik laporan Bernama, kedua-duanya telah dibebaskan sekitar jam 8.20 malam pada 17 April selepas selesai memberi keterangan kepada pihak polis. Difahamkan sesi rakaman keterangan berlangsung selama kira-kira tiga jam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
Penahanan dilakukan susulan tindakan akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi tidak sempurna Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.
Ilustrasi Tidak Lengkap Diluluskan Oleh Editor Sendiri
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan bahawa siasatan dijalankan secara menyeluruh termasuk membawa kedua-dua individu ke pejabat masing-masing bagi mendapatkan komputer dan bahan berkaitan kes.
Menurut laporan, Ketua Editor bertanggungjawab meluluskan penyiaran ilustrasi berkenaan manakala reka bentuk grafik tersebut disediakan oleh Timbalan Ketua Penyunting sendiri.
Pihak Polis Terima 40 Laporan Dari Seluruh Negara
Setakat ini, pihak polis menerima lebih 40 laporan berkaitan isu tersebut dari seluruh negara. Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Perkara ini turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menitahkan agar pihak pengurusan dan jabatan pengarang lebih berhati-hati serta memastikan kandungan disemak dengan teliti sebelum diterbitkan.
Pihak Sin Chew Daily kemudiannya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan menjelaskan bahawa insiden tersebut berpunca daripada kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Netizen Kecam Ilustrasi Bendera Tidak Lengkap
Sebelum ini, tular satu hantaran di Facebook oleh pengguna bernama Fais Al-Hajari yang mempersoalkan ketiadaan elemen bulan sabit pada Jalur Gemilang yang disiarkan oleh akhbar Sin Chew Daily.
Simbol bulan sabit tersebut membawa maksud Islam sebagai agama rasmi negara dan kehilangannya dianggap sebagai satu kesalahan yang tidak wajar berlaku.

Hantaran itu mencetuskan kecaman ramai netizen yang mendesak tindakan undang-undang dikenakan terhadap akhbar berkenaan.
Pada masa yang sama, Sin Chew Daily menjelaskan mereka telah membuat pindaan segera terhadap ilustrasi tersebut dalam versi digital dan akan menerbitkan semula versi cetakan yang telah dikemaskini pada 16 April.
Baca Artikel Berkaitan: Akhbar Sin Chew Daily Mohon Maaf Selepas Dikritik Guna Ilustrasi Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.Â