Now Reading
[Video] Polis Siasat Dakwaan Anggota MBI Ditumbuk Ketika Operasi Sita Restoran Di Menglembu

[Video] Polis Siasat Dakwaan Anggota MBI Ditumbuk Ketika Operasi Sita Restoran Di Menglembu

Terdahulu, tular video di media sosial menyaksikan kekecohan yang berlaku di antara pihak Majlis Bandaraya Ipoh dan pekerja restoran dipercayai berlaku di Menglembu pagi semalam (16 April).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab dalam memastikan orang awam mematuhi undang-undang di setiap kawasan.

Pun begitu, kadangkala terjadinya perselisihan faham yang boleh mendorong kepada kekasaran antara penguatkuasa dan orang awam.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, seorang wanita telah menggigit anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sehingga menyebabkan dia dikenakan denda RM3,000.

Baca Artikel Berkaitan: Wanita Tular Gigit Anggota DBKL Dakwa Kiosk Di CM Dikosongkan, Pengurusan Tampil Beri Penjelasan

Baca Artikel Berkaitan: Tular Pergelutan Penguat Kuasa & Peniaga Belon, Ini Penjelasan DBKL [Video]

Anggota Penguat Kuasa MBI Didakwa Ditumbuk Pekerja Restoran Di Menglembu

Dalam satu kejadian di Ipoh, Perak baru-baru ini, seorang anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pula didakwa ditumbuk ketika sedang bertugas dalam satu operasi.

Difahamkan pihak MBI sedang menjalankan operasi sitaan di sebuah restoran di Taman Rasi Jaya, Menglembu apabila berdepan halangan daripada individu tertentu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, seorang penguat kuasa MBI berusia 40 tahun yang terlibat dalam kejadian tersebut telah membuat laporan pada 6.43 petang semalam (16 April).

Dia berkata siasatan awal mendedahkan timbulnya provokasi antara kedua-dua pihak apabila seorang pekerja tidak berpuas hati dengan tindakan menyita kerusi dan meja di restoran berkenaan yang dilakukan susulan aduan Jabatan Kesihatan MBI.

“Suspek mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba menghalang anggota penguat kuasa daripada menjalankan tugas rasmi.

“Pengadu turut memaklumkan seorang anggota penguat kuasa MBI ditumbuk suspek,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Pihak Polis Ambil Keterangan Beberapa Saksi Kejadian

Sehubungan itu, Abang Zainal Abidin berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 353 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Dalam masa sama, pihak polis turut mengambil keterangan beberapa saksi terlibat bagi membantu siasatan.

Pihak polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dan menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Sheikh Fateeha Iman di talian 010-2908095 atau di mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis Diraja Malaysia memandang serius kejadian ini dan menyeru orang ramai agar bertenang serta tidak mengambil sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang,” tegas kenyataan itu.

Kerajaan Negeri Arah Siasatan Dijalankan, Tegaskan Bukan Isu Perkauman

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Perak telah mengarahkan agar siasatan segera dijalankan oleh pihak berkaitan berhubung insiden tersebut.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sandrea Ng Shy Ching memaklumkan bahawa maklumat lengkap juga sedang dikumpul bagi membolehkan tindakan diambil dengan sewajarnya ke atas pihak terlibat.

“Kerajaan negeri akan mengambil langkah segera bagi menjernihkan keadaan. Saya menghargai kesabaran semua pihak sementara siasatan berlangsung,” katanya.

Sandrea turut menegaskan bahawa insiden tersebut bukanlah suatu isu perkauman dan meminta orang ramai agar tidak menimbulkan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Ketua WHIP Ahli Majlis Tegaskan MBI Tidak Pilih Kaum Apabila Lakukan Operasi

Ketua WHIP Ahli Majlis MBI Wong Kar Keat pula memaklumkan satu perjumpaan akan diadakan membabitkan Ahli Majlis MBI, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan, Jabatan Penguat Kuasa MBI serta pemilik restoran berkenaan bagi menjelaskan kejadian tersebut.

Tambahnya lagi, Ahli Majlis kawasan telah bertemu dengan pengusaha restoran terbabit selepas insiden.

“Saya juga telah memaklumkan berkenaan sikap samseng di antara sesetengah pegawai. Namun, perlu ditegaskan bukan semua pegawai yang bersikap sebegitu,” katanya.

Dia juga menegaskan agar perkara itu tidak dijadikan isu perkauman dan menyatakan bahawa pihak berkuasa tempatan tidak memilih bulu dalam menjalankan operasi.

Tular Video Provokasi Antara Pihak MBI & Pekerja Restoran

Terdahulu, beberapa video tular di media sosial menyaksikan kekecohan yang dipercayai berlaku di sebuah restoran di Menglembu pagi semalam (16 April).

Difahamkan pihak MBI sedang melakukan operasi sitaan ke atas meja dan kerusi yang diletakkan di kaki lima restoran.

Dapat dilihat timbulnya provokasi apabila beberapa pekerja restoran cuba menghalang tugas anggota penguat kuasa melakukan operasi tersebut.

Salah satu video turut memaparkan seorang wanita, dipercayai pekerja restoran terbabit, jatuh pengsan dalam kekecohan tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: DBKL Tutup 2 Premis Hiburan Tiada Lesen Di Jalan Tun H S Lee & Jalan Metro Pudu 2

Baca Artikel Berkaitan: DBKL Potong Jeriji Di Flat Wangsa Maju, Ini Sebabnya

Baca Artikel Berkaitan: Isu Pasang Grill Hingga Halang Laluan, Pemilik Rumah Flat Masih Belum Buka Walaupun Telah Diarah DBKL


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd