Kesilapan Ilustrasi Jalur Gemilang: Sin Chew Daily Ambil Tindakan Disiplin Ke Atas Petugas
Susulan isu ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa bulan sabit itu, Sin Chew Daily memaklumkan bahawa prosedur semakan akan diperketatkan oleh pihak editorial.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada 15 April, kecoh di media sosial tentang ketiadaan elemen bulan sabit di bendera Malaysia yang diletakkan pada sebuah akhbar tempatan, Sin Chew Daily.
Pengguna Facebook dikenali sebagai Fais Al-Hajari turut mempersoalkan ketiadaan elemen bulan sabit pada Jalur Gemilang yang membawa maksud agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Isu tersebut kemudiannya mendapat perhatian ramai, termasuklah ahli akademik dan pemimpin negara. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam satu hantaran di akaun media sosial bertitah dengan menegaskan bendera merupakan lambang kepada kedaulatan dan identiti bagi sesebuah negara.
Baginda turut menyifatkan ia adalah satu kesilapan yang tidak boleh diterima kerana boleh mencetuskan sensitiviti di kalangan rakyat.
Baca Artikel Berkaitan: Akhbar Sin Chew Daily Mohon Maaf Selepas Dikritik Guna Ilustrasi Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit
Baca Artikel Berkaitan: Isu Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit: Ahli MKT UMNO Gesa Kerajaan Tarik Lesen Penerbitan Sin Chew Daily
Baca Artikel Berkaitan: Isu Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit: Bendera Lambang Kedaulatan & Identiti Negara – Agong
Petugas Bertanggungjawab Terhadap Ilustrasi Jalur Gemilang Diambil Tindakan
Terbaharu, Sin Chew Daily telah menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh susulan kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar berkenaan pada Selasa (15 April).
Dalam pada itu, akhbar terbabit memaklumkan bahawa kakitangan yang bertanggungjawab dan terlibat atas kesilapan tersebut akan dikenakan tindakan disiplin.
“Bahagian editorial Sin Chew Daily juga telah memperketatkan prosedur semakan khususnya dalam penggunaan kecerdasan buatan.
“Kami berikrar untuk lebih berhati-hati dan sensitif dalam menangani perkara yang boleh menjejaskan maruah negara dan hubungan antara kaum,” kata pihak mereka.
Terdahulu, Sin Chew Daily memohon maaf berhubung isu ketiadaan bulan sabit pada Jalur Gemilang yang dipaparkan pada akhbar mereka.
Jelas Sin Chew Daily, ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap pada muka hadapan akhbar berkenaan berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
“Kami berasa amat kesal dan kecewa dengan kekhilafan tersebut. Bagi pihak semua kakitangan Sin Chew Daily, kami menyusun sepuluh jari memohon jutaan maaf kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

KDN Jalankan Siasatan Terhadap Sin Chew Daily
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan turut memaklumkan bahawa siasatan sudah mula dijalankan.
KDN telah memanggil pihak akhbar terbabit mengenai penyiaran ilustrasi bendera Malaysia dalam bentuk yang tidak lengkap dalam penerbitan muka hadapannya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihak KDN memandang serius dan berasa kesal dengan insiden penerbitan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap itu.
KDN Tak Akan Kompromi Dengan Pihak Yang Boleh Gugat Keselamatan Negara
Menurut Saifuddin, KDN memulakan tindakan siasatan serta merta dengan berpandukan kepada dua perundangan yang berkaitan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akat 301].
“Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah sesuatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
“Selain itu, perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.
“Jalur Gemilang bukan sekadar simbol, ia adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara ini yang wajib dihormati serta dimartabatkan oleh semua pihak,” jelas beliau lagi.
Mengulas lanjut, KDN juga tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan sebarang hasil penerbitan yang sekaligus boleh menggugat keselamatan serta ketenteraman awam sepertimana dinyatakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
KEDAULATAN JALUR GEMILANG HARUS DIPELIHARA
— Saifuddin Nasution Ismail (@saifnasution) April 16, 2025
Saya memandang serius insiden penerbitan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa simbol bulan sabit oleh akhbar Sin Chew Daily pada 15 April 2025.
Simbol bulan sabit bukan sekadar rekaan grafik – ia membawa makna besar sebagai… pic.twitter.com/PZaNwAhkT6
Terkini, pihak polis juga sedang memulakan siasatan ke atas akhbar terbabit. Memetik FMT, perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
“Ya, kita ada terima laporan polis dan kita buka siasatan,” kata beliau.
Ulas Razarudin, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 susulan tiga laporan yang diterima.
Baca Artikel Berkaitan: Fly And Display The ‘Jalur Gemilang’ Correctly This National Day
Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Jalur Gemilang Diturunkan Diganti Bendera Sabah & Sarawak, Polis Jalankan Siasatan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.