Now Reading
Petronas Umum Bekalan Gas Di Putra Heights Mula Pulih Seawal 1 Julai

Petronas Umum Bekalan Gas Di Putra Heights Mula Pulih Seawal 1 Julai

PGB maklumkan pihak mereka sedang giat bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyambung semula bekalan gas selepas insiden kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Insiden kebakaran yang berlaku di Putra Heights pada 1 April lalu bukan sahaja menggemparkan rakyat Malaysia, malah meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk sekitar kawasan berdekatan.

Kehilangan dan kerosakan harta benda milik orang awam di kawasan berdekatan sememangnya memberi impak besar. Ramai yang terkesan dengan kejadian itu, bukan sahaja dari segi emosi, malah melibatkan urusan harian yang terganggu.

Bekalan gas yang terputus akibat kebakaran tersebut turut menjadi isu yang hangat diperkatakan. Terbaharu, Petronas Gas Berhad (PGB) tampil memberi maklum balas berhubung perkembangan terkini kerja-kerja pemulihan saluran gas yang terjejas.

Baca Artikel Berkaitan: Letupan Gas Putra Heights – Harga Bidaan Rumah Mewah RM6.7 Juta Berdekatan Lokasi Dibuka Bermula RM3.33 Juta

Baca Artikel Berkaitan: Insiden Kebakaran Saluran Paip Gas Putra Heights: Polis Siasat Dakwaan Kerja Korek Tanah Jadi Punca

Bekalan Gas Putra Heights Pulih Seawal 1 Julai

Memetik laporan Bernama, Petronas Gas Bhd (PGB) menjangkakan pemulihan bekalan gas di Putra Heights, Subang Jaya boleh dilakukan seawal 1 Julai ini, tertakluk kepada hasil siasatan berterusan, kelulusan kawal selia dan kemajuan sebenar di tapak.

PGB dalam satu kenyataan berkata, mereka kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa, pembeli gas dan pengedar untuk menyambung semula perkhidmatan saluran paip di kawasan yang terjejas.

Selain itu, kapasiti bekalan gas dari utara ke beberapa kawasan termasuk Bestari Jaya, Meru dan Kapar kini telah meningkat, dengan bantuan bekalan tambahan daripada sistem saluran paip gas Trans Thailand-Malaysia.

Keselamatan Jadi Keutamaan Sepanjang Proses Pemulihan Gas Putra Heights

PGB turut mengesahkan komitmen mereka untuk menyokong komuniti yang terjejas dan memberi jaminan bahawa keselamatan serta kesejahteraan penduduk adalah keutamaan utama syarikat ketika ini.

Menurut kenyataan itu lagi, PGB sedang bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa.

“PGB bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta Polis Diraja Malaysia, dalam siasatan kejadian itu bagi memudahkan kerja-kerja pembetulan dan pembaikan pada saluran paip.

“Ini termasuk cerucuk kepingan untuk penstabilan tanah, pengurusan pergerakan air dan penggalian saluran paip,” katanya.

Dalam perkembangan kerja berkaitan, PGB turut memaklumkan bahawa Serdang City Gate telah kembali beroperasi, sekaligus membantu menjadikan akses bekalan gas ke Lembah Klang lebih stabil.

PGB menegaskan bahawa mereka akan terus bekerjasama dengan pihak kawal selia serta pihak berkuasa untuk memastikan pemulihan berjalan dengan selamat serta membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Kawasan Berdekatan Turun Nilai Mendadak

Sebuah hartanah berprestij di kawasan elit Putra Heights, Selangor, kini memasuki pusingan ketujuh lelongan dengan harga bidaan bermula dari RM3.33 juta.

Hartanah yang sebelum ini dinilai mengikut harga pasaran RM6.7 juta ini terletak di kawasan yang baru-baru ini menjadi tumpuan awam susulan insiden letupan paip gas yang berlaku.

Senarai lelongan hartanah yang dikongsi oleh “Klang Valley Property Auction” di Facebook telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pemerhati pasaran dan penduduk setempat.

Lelongan ini kebetulan berlangsung ketika orang ramai sedang hangat membincangkan isu keselamatan infrastruktur, sekali gus mengundang perhatian netizen di media sosial.

Menurut pemerhati pasaran, penilaian hartanah biasanya dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk keadaan semasa pasaran, masa, dan perubahan kehendak pembeli.

Sumber: Facebook KL Selangor Lelong Properties

Baca Artikel Berkaitan: Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights: CIDB Mohon Maaf, Tarik Balik Kenyataan Selepas Dedah Siasatan Awal

Baca Artikel Berkaitan: Chery Malaysia Bekalkan 50 Kereta Untuk Kegunaan Sementara Mangsa Kebakaran Putra Heights


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm FacebookTwitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd