Now Reading
Ini Kisah Pak Lah ‘Pulihkan’ Hubungan Pemimpin China dan Jepun Hanya Dengan Sebatang Pen

Ini Kisah Pak Lah ‘Pulihkan’ Hubungan Pemimpin China dan Jepun Hanya Dengan Sebatang Pen

Sewaktu majlis menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai EAS, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyatakan hasrat Perdana Menteri Jepun untuk pinjam pen Premier China.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pemergian bekas pemimpin negara, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 14 April lalu pasti memberikan kesan yang mendalam ke atas rata-rata rakyat Malaysia.

Beliau yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri kelima negara dari tahun 2003 hingga 2009 itu dihujani pujian oleh masyarakat, lebih-lebih mereka yang pernah berada di bawah pentadbirannya.

Selain usahanya dalam meningkatkan kemajuan negara buat rakyat, beliau turut menjadi sosok yang penting dalam hubungan diplomatik serantau dan antarabangsa.

Salah satu kejayaannya yang dikekalkan sehingga sekarang adalah penganjuran Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang pertama pada 2005 iaitu sewaktu Malaysia menjadi pengerusi ASEAN.

Baca Artikel Berkaitan: “Selamat Jalan Ke Negeri Abadi” – Tun Abdullah Ahmad Badawi Meninggal Dunia

Kebijaksanaan Pak Lah Disaksikan Ketika Majlis Tandatangan Deklarasi Kuala Lumpur

Menerusi laporan Bernama, bekas pengarang di Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, Mikhail Raj Abdullah telah menukilkan pengamatannya sewaktu majlis menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai EAS.

Bekas Perdana Menteri negara itu yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah dikatakan secara tidak langsung ‘memulihkan’ hubungan dingin antara pemimpin China dan Jepun pada 20 tahun lepas.

Dalam tulisannya bertarikh 14 Disember 2005, Mikhail menjelaskan bagaimana Perdana Menteri Jepun Junichiro Koizumi dan Premier China Wen Jiabao ketika itu “membuktikan bahawa masih terdapat bibit-bibit kemesraan di sebalik kedinginan dalam hubungan antara negara mereka berdua.”

Pak Lah Maklumkan Pada Premier China, Hasrat PM Jepun Pinjam Pen

Pada majlis tersebut, Wen dilihat duduk di tengah-tengah antara Koizumi dan Pak Lah yang menjadi pemimpin pertama menurunkan tandatangannya. Kemudian, Wen pula menurunkan tandatangannya sebelum diikuti Koizumi.

Mungkin ramai yang tidak menyedarinya, namun Mikhail mengamati bagaimana Koizumi mahu meminjam pen daripada Wen.

Pak Lah kemudiannya telah memaklumkan kepada Wen yang sedang menoleh ke arahnya bahawa Koizumi ingin meminjam pennya. Wen lantas menghulurkan pen yang telah digunakan oleh beliau kepada pemimpin Jepun itu.

Akhirnya apabila kesemua pemimpin telah menurunkan tandatangan mereka dan ingin mengambil gambar beramai-ramai, dua pemimpin negara Asia Timur itu bangun dan saling berpegangan tangan.

Penulis Berpendapat EAS Langkah Paling Genius Oleh Pak Lah

Menerusi hantaran di Facebook, penulis buku sejarah dan geopolitik Ayman Rashdan Wong turut berkongsi semula tentang kisah berkenaan.

“Di tengah-tengah era peralihan ini, Malaysia bertuah mempunyai seorang pemimpin seperti Tun Abdullah. Seorang yang tenang, berhemah, dan membawa pendekatan diplomasi yang sederhana tapi bijaksana,” katanya.

Dia turut memuji penganjuran EAS pertama di Malaysia sebagai langkah paling genius yang dilakukan di bawah pentadbiran Pak Lah.

Katanya, walaupun China, Jepun dan Korea Selatan mempunyai perbezaan masing-masing, namun menerusi EAS pemimpin dari ketiga-tiga kuasa besar Asia Timur itu berjaya diletakkan di meja yang sama.

“Aku tak pasti sama ada ia disengajakan atau memang mengikut protokol, tapi Koizumi dan Wen telah ditempatkan duduk bersebelahan, sedangkan mereka tak mampu ‘see eye to eye’.

“Secara ‘kebetulan’ (yang ni pun aku tak pasti sengaja atau tak), pen Koizumi yang diletakkan di atas meja tak ada dakwat, pada saat semua pemimpin EAS kena menandatangani dokumen yang dinamakan Deklarasi Kuala Lumpur,” katanya.

Ayman berkata saat itu merupakan detik yang amat simbolik dan menjadi bukti kebijaksanaan diplomasi Pak Lah. Dia menyifatkan situasi tersebut sebagai salah satu seni diplomasi Malaysia yang halus tapi penuh makna.

Hubungan China & Jepun Renggang Akibat Peperangan Masa Lalu

Untuk info, dua negara Harimau Asia Timur China dan Jepun mempunyai hubungan yang renggang sejak 1950-an apabila berlakunya Perang Korea, Perang Dingin dan dendam terhadap jenayah peperangan yang dilakukan oleh Jepun di China.

Malah, China dan Korea Selatan telah membatalkan sidang kemuncak tahunan mereka dengan Jepun menjelang Sidang Kemuncak ASEAN+3 seminggu sebelum majlis memeterai tandatangan itu.

Perkara ini berlaku kerana pemimpin kedua-dua negara itu berasa marah dengan tindakan Koizumi yang melawat tugu peringatan di Tokyo yang turut menempatkan penjenayah perang.

Koizumi bagaimanapun menjelaskan bahawa lawatan tersebut bukanlah dengan tujuan mengagung-agungkan peperangan, sebaliknya demi menimbulkan kesedaran tentang keburukan perang.

Pun begitu, pertemuan antara kerajaan China dan Jepun pada Mac lalu dilihat sebagai satu kemajuan dalam merapatkan jurang antara kedua-dua negara itu.

Sumber gambar: Unsplash

Baca Artikel Berkaitan: “Saya Boleh Yakinkan Tak Ada Perkara Negatif Tentang Pak Lah” – Pengerusi Kariah Masjid Di Kepala Batas

Baca Artikel Berkaitan: Ini Fakta Tentang Makam Pahlawan & Golongan Yang Boleh Dikebumi Di Sana


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm FacebookTwitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd