Ini Fakta Tentang Makam Pahlawan & Golongan Yang Boleh Dikebumi Di Sana
Makam Pahlawan yang terletak berhampiran dengan Masjid Negara itu dibina pada tahun 1963.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada 14 April lalu, Perdana Menteri Malaysia ke-5 Tun Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur akibat kesihatan yang semakin merosot dan masalah pernafasan.
Memetik Kosmo, lebih 2,000 orang telah menyertai solat jenazah Allahyarham di Masjid Negara yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan masjid sejak awal pagi semalam (15 April) apabila orang ramai termasuk pemimpin dalam dan luar negara hadir memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh negarawan itu.
Selepas selesai menunaikan solat jenazah, beliau dikebumikan di Makam Pahlawan Negara (Makam Pahlawan) berhampiran dengan masjid tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: “Selamat Jalan Ke Negeri Abadi” – Tun Abdullah Ahmad Badawi Meninggal Dunia
Baca Artikel Berkaitan: “Saya Boleh Yakinkan Tak Ada Perkara Negatif Tentang Pak Lah” – Pengerusi Kariah Masjid Di Kepala Batas
Baca Artikel Berkaitan: “Terima Kasih Sir” – KJ Sekeluarga Tersentuh Hati Dengan Kemuliaan Kata-kata Anwar Terhadap Pak Lah
Makam Pahlawan Adalah Tanah Perkuburan Bagi Pemimpin Malaysia
Untuk info, Makam Pahlawan Negara adalah tempat tinggal terakhir atau tanah perkuburan bagi ramai pemimpin dan ahli politik Malaysia untuk menghormati dan memperingati sumbangan mereka kepada negara.
Makam ini terletak berhampiran Masjid Negara di Kuala Lumpur dan mempunyai dua kawasan iaitu dalaman dan luaran.
Kawasan berbumbung di atasnya terdiri daripada kubah konkrit berbentuk bintang dengan tujuh bucu yang mana bahagian sisinya hampir menyentuh permukaan tanah.
Kubah itu bagaimanapun dipisahkan dengan kolam di bahagian luar. Bahagian tengah bumbung berkubah pula dihiasi dengan bunga mawar emas.
Sementara itu, bahagian tengah lantai masjid menampilkan lambang kerajaan Malaysia iaitu Jata Negara bersama ukiran bunga marmar dari Langkawi.

Makam Pahlawan Dikhaskan Untuk Ahli Politik & Orang Kenamaan
Makam Pahlawan Negara mula dibina pada tahun 1963 bersempena dengan pembinaan Masjid Negara yang sudah siap pada tahun 1965.
Kedua-dua makam dan Masjid Negara telah diwartakan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) sebagai tapak Warisan Negara oleh Jabatan Warisan pada 6 Julai 2007.
Kawasan di bawah kubah dikhaskan untuk Perdana Menteri manakala kawasan di luar kubah adalah untuk ahli politik dan orang kenamaan.
Sehingga kini, makam itu digunakan sebagai tempat berehat terakhir tiga bekas Perdana Menteri dan dua Bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu:
- Timbalan Perdana Menteri ke-2, Tun Dr Ismail Abdul Rahman (meninggal dunia pada 1973)
- Perdana Menteri ke-2 (Bapa Pembangunan), Tun Abdul Razak Hussein (meninggal dunia pada 1976)
- Perdana Menteri ke-3 (Bapa Perpaduan), Tun Hussein Onn (meninggal dunia pada 1990)
- Timbalan Perdana Menteri ke-5, Tun Ghafar Baba (meninggal dunia 2006)
- Perdana Menteri ke-5 (Bapa Pembangunan Modal Insan), Tun Abdullah Ahmad Badawi

Mereka yang dikebumikan di luar kubah pula adalah seperti berikut:
- Menteri Undang-undang dan Kehakiman (1974-1978) dan Peguam Negara (1963-1977), Tan Sri Abdul Kadir Yusuf
- Presiden Dewan Negara (1973-1980), Tun Omar Ong Yoke Lin
- Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi (2004-2008) dan duta besar ke Amerika Syarikat (2009-2012), Tan Sri Dr Jamaluddin Jarijis
Untuk pengetahuan semua, Makam Pahlawan Negara dibuka kepada orang ramai secara percuma. Umumnya, pengunjung yang pernah melawat makam berkenaan menyukai suasana tenang di sana. Ia juga dianggap sebagai tempat yang baik untuk renungan dan berzikir.
Jika orang ramai bercadang melawat Makam Pahlawan, anda diingatkan untuk memakai pakaian yang bersesuaian.
Mengapakah Perdana Menteri Pertama Tidak Dikebumikan di Makam Pahlawan Negara?
Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri pertama Malaysia, bagaimanapun tidak dikebumikan di Makam Pahlawan Negara kerana ia adalah hasrat peribadi beliau untuk dikebumikan di kampung halaman di Alor Setar, Kedah, bersebelahan dengan keluarga.
Sungguhpun beliau layak mendapat tempat di Makam Pahlawan kerana peranannya yang penting dalam kemerdekaan dan kepimpinan Malaysia, Tunku terkenal sebagai seorang yang rendah hati yang lebih menyukai tempat berehat yang ringkas dan lebih peribadi.
Makam baginda terletak di Makam Diraja Kedah (Makam Diraja Langgar), yang selaras dengan warisan baginda sebagai ahli kerabat diraja Kedah.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.