Now Reading
“Saya Boleh Yakinkan Tak Ada Perkara Negatif Tentang Pak Lah” – Pengerusi Kariah Masjid Di Kepala Batas

“Saya Boleh Yakinkan Tak Ada Perkara Negatif Tentang Pak Lah” – Pengerusi Kariah Masjid Di Kepala Batas

Bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Masyarakat Malaysia dikejutkan dengan pemergian bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada jam 7.10 malam semalam (14 April) di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Dalam mengenang jasa Perdana Menteri kelima negara itu, orang ramai telah berkongsi tentang pencapaian dan kebaikan yang dilakukan oleh Allahyarham.

Selain dilantik menjadi Perdana Menteri kelima, Pak Lah juga telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal iaitu sejak 1978 hingga 2013.

Baca Artikel Berkaitan: “Selamat Jalan Ke Negeri Abadi” – Tun Abdullah Ahmad Badawi Meninggal Dunia

Pak Lah Majukan Kepala Batas Hingga Dilengkapi Pelbagai Kemudahan

Sehubungan itu, penduduk di kawasan parlimen berkenaan juga tidak melepaskan peluang untuk berkongsi tentang kejayaan Pak Lah dalam mengubah Kepala Batas dari sebuah pekan koboi menjadi bandar.

Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Shariful Azhar Othman, Kepala Batas telah dibangunkan oleh Allahyarham sehingga dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk institusi pendidikan.

“Tun Abdullah bukan sahaja guru saya dalam bidang politik, malah turut berperanan dalam memberi tunjuk ajar dan nasihat tentang hal berkaitan Islam,” katanya kepada Awani.

Sumber gambar: Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi

Pengerusi Kariah Masjid Yakin Tiada Perkara Negatif Tentang Pak Lah

Di samping itu, Pengerusi Kariah Masjid Al Jamiul Badawi, Shariful Azhar berkongsi bahawa majlis bacaan Yasin telah dianjurkan oleh masjid di sekitar Kepala Batas setelah menerima berita pemergian bekas Ahli Parlimen itu.

“Masjid Al Jamiul Badawi merupakan masjid yang sangat sinonim dengan Pak Lah kerana ia masjid dari zaman arwah Tok Wan Pak Lah, iaitu Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulama terkenal seterusnya ayah Pak Lah dan kemudiannya beliau sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, Allahyarham Pak Lah telah berulang-ulang memesan agar masjid itu kekal seperti asal sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen dan Perdana Menteri.

“Saya boleh yakinkan tidak ada perkara negatif tentang Pak Lah, tutur katanya indah, ibadahnya cantik dan seorang insan yang mulia.

“InsyaAllah kami di masjid akan anjurkan bacaan Yasin dan tahlil buat Allahyarham kerana ini masjid Pak Lah, jadi kita akan terus kenang untuk selama-lamanya,” katanya dipetik Awani.

Sumber gambar: Kepala Batas No1/ Facebook

Pak Lah Pemimpin Yang Mengutamakan Kepentingan Rakyat

Sifat Allahyarham yang lemah lembut dan mudah mesra dengan orang ramai tidak mengira pangkat dan darjat turut dipuji. Mohd Saleh Rashid yang merupakan seorang pesara guru berpendapat pemimpin dengan sifat seperti Pak Lah sukar dicari.

Dia yang telah mengenali Allahyarham sejak kecil berkata Pak Lah mempunyai hubungan yang rapat dengan penduduk Kepala Batas terutamanya di Permatang Bertam dan membangunkan kawasan parlimen berkenaan untuk rakyat.

“Saya sendiri tengok Pak Lah dengan pemimpin politik bukan Islam juga sangat baik. Saya memang puji Pak Lah kerana apabila beliau balik ke Parlimen di sini tiada protokol dengan penduduk,” katanya.

Dalam masa sama, menjadi rakan rapat Allahyarham, bekas Ketua Bahagian MIC Kepala Batas Datuk SST Muniandy menyifatkan Pak Lah sebagai seorang pemimpin yang tenang, berhemah tinggi dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam segala keputusannya.

“Saya berpeluang menyaksikan sendiri beliau berinteraksi dengan rakyat penuh hormat, sabar dan rendah diri, malah cara beliau mendengar masalah rakyat dan memberi respons yang berfakta serta bersandarkan nilai kemanusiaan memberi gambaran jelas tentang keperibadian beliau yang mulia,” ujarnya.

Sumber gambar: Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi

Ini Pencapaian Pak Lah Sewaktu Menjadi Perdana Menteri Kelima

Berkhidmat sebagai Perdana Menteri kelima dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, Allahyarham telah mencatatkan beberapa pencapaian penting dalam tempoh masa itu.

Dari segi ekonomi, Pak Lah melancarkan lima koridor iaitu Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Utara, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Pembangunan Sabah dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Dalam usaha memerangi rasuah pula, beliau telah memperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH).

Sosok yang dikenali sebagai ‘Bapa Pembangunan Modal Insan’ itu juga telah memperkenalkan pelbagai dasar dalam memantapkan modal insan masyarakat di negara ini.

Malah, ekosistem industri Halal Malaysia turut diperkukuhkan ketika pentabirannya sehingga beliau dianugerahkan Tokoh Pembangunan Halal Negara pada tahun 2024.

Berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad yang memegang jawatan Perdana Menteri sebelumnya, Allahyarham Pak Lah dikenali dengan gaya kepimpinan yang lebih terbuka dan konsultatif. Proses membuat keputusan dan perancangan negara digalakkan agar merangkumi penyertaan pelbagai pihak.

Sumber gambar: Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi/ Pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm FacebookTwitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd