Now Reading
PDRM Nafi Spekulasi Kematian Dalam Insiden Letupan Di Putra Heights

PDRM Nafi Spekulasi Kematian Dalam Insiden Letupan Di Putra Heights

Pihak polis melaporkan sehingga kini, tiada nyawa terlibat susulan kes kebakaran di Putra Heights tempoh hari.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum mengetahui, penyebaran berita palsu atau khabar angin bukanlah perkara asing setiap kali berlaku sesuatu insiden besar. Ia bagaikan sudah menjadi lumrah dalam masyarakat, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kemalangan atau bencana.

Pada era digital ini, maklumat begitu mudah tersebar hanya di hujung jari. Namun begitu, penyebaran tanpa pengesahan kadangkala mengundang kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Itulah yang terjadi susulan kes kebakaran di Putra Heights apabila spekulasi berkaitan kematian individu dalam insiden itu mula berlegar di media sosial.

Baca Artikel Berkaitan: Letupan Gas Putra Heights – Harga Bidaan Rumah Mewah RM6.7 Juta Berdekatan Lokasi Dibuka Bermula RM3.33 Juta

Baca Artikel Berkaitan: Chery Malaysia Bekalkan 50 Kereta Untuk Kegunaan Sementara Mangsa Kebakaran Putra Heights

Tiada Mangsa Terkorban Seperti Didakwa

Memetik laporan Sinar Harian, pihak polis menegaskan bahawa tiada individu yang terkorban seperti yang tersebar dalam media sosial berkaitan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan yang mengesahkan kematian. Katanya, dakwaan tersebut adalah tidak benar.

“Tiada laporan diterima, tak betul dakwaan itu,” katanya ringkas ketika dihubungi pihak Sinar Harian pada Ahad.

Terdahulu, tular satu komen yang ditinggalkan di laman TikTok yang mendakwa kononnya adik kepada rakan individu tersebut telah meninggal dunia dalam insiden kebakaran berkenaan.

Komen berkenaan mengundang pelbagai reaksi netizen dan menimbulkan rasa panik dalam kalangan masyarakat yang mengikuti perkembangan tragedi itu. Namun, semakan pihak polis mengesahkan tiada kematian dilaporkan.

Laporan Terperinci Susulan Kes Kebakaran

Polis sebelum ini memaklumkan seramai 111 mangsa masih mendapatkan rawatan di beberapa hospital termasuk Hospital Serdang, Hospital Cyberjaya serta Hospital Putrajaya.

Daripada jumlah itu, 13 orang berada di zon merah, 55 orang di zon kuning, manakala 43 lagi dalam zon hijau.

Sebanyak 75 daripada 111 mangsa dirawat di tiga hospital utama manakala 36 lagi berada di hospital lain termasuk Hospital Sungai Buloh.

Sebanyak 87 rumah dilaporkan mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami buat sementara waktu.

Selain itu, 148 lagi rumah turut terjejas namun masih boleh didiami setelah melalui proses pembaikan. Pihak berkuasa kini giat menjalankan penilaian dan kerja-kerja baik pulih secara berperingkat.

Letupan saluran paip gas di Putra Heights pada pagi 1 April lalu berlaku sekitar jam 8.10 pagi, mengakibatkan api menjulang lebih 30 meter dan suhu mencecah 1,000 darjah Celcius.

Tragedi itu menyebabkan kerosakan besar kepada ratusan rumah serta mencederakan lebih 100 mangsa. Dakwaan wujudnya kerja pembinaan di kawasan berdekatan mencetuskan spekulasi tentang punca kejadian.

CIDB Tarik Balik Pendedahan Siasatan Awal, Enggan Dahului Proses Siasatan

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada awalnya mendedahkan bahawa tiada kerja pembinaan dilakukan pada hari kejadian berdasarkan siasatan awal.

Menurut pihaknya, tapak pembinaan 10 kedai pejabat dua tingkat yang didakwa warganet mempunyai kaitan dengan insiden terbabit sebenarnya terletak 30 meter dari lokasi kejadian.

“Laporan yang kami terima daripada kontraktor menunjukkan hanya terdapat kerja-kerja pembentungan yang dilakukan di tapak pembinaan tersebut pada pada 30 Mac lalu, manakala kerja-kerja house keeping pula dilakukan pada 31 Mac lalu,” jelas mereka dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu kemudian ditarik balik bagi menghormati proses siasatan rasmi yang sedang berjalan.

“CIDB ingin memohon maaf atas sebarang kekeliruan atau kebimbangan yang tercetus akibat kenyataan terbabit.”

CIDB turut menegaskan bahawa mereka komited memastikan setiap aspek disiasat secara menyeluruh dan adil, tanpa kompromi terhadap pelanggaran piawaian keselamatan.

Baca Artikel Berkaitan: Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights: CIDB Mohon Maaf, Tarik Balik Kenyataan Selepas Dedah Siasatan Awal

Baca Artikel Berkaitan: Insiden Kebakaran Saluran Paip Gas Putra Heights: Polis Siasat Dakwaan Kerja Korek Tanah Jadi Punca


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm FacebookTwitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd