Insiden Putra Heights: Jumlah Mangsa Di PPS Meningkat Namun Tiada Mayat Ditemui
Dalam masa sama, pihak polis mengesahkan pencarian tidak menemui sebarang mayat di lokasi terbabit kebakaran saluran paip gas.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada 1 April baru-baru ini, negara dikejutkan dengan satu insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya Selangor.
Api kebakaran tersebut dianggarkan menjulang lebih 30 meter sehingga dapat dilihat dari kawasan berhampiran.
Suhunya yang mencecah 1,000 darjah Celsius menyebabkan orang ramai yang berada di sekitarnya tercedera akibat melecur serta tersedut haba panas.
Baca Artikel Berkaitan: Insiden Putra Heights: Penduduk Terjun Ke Sungai Kerana Bahang Api Terlalu Panas
Jumlah Mangsa Kebakaran Paip Gas Meningkat
Terbaharu, media melaporkan jumlah mangsa dalam nahas kebakaran tersebut meningkat kepada 393 orang setakat malam tadi (2 April).
Kesemua mangsa dari 99 buah keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, jumlah mangsa terbabit meningkat berbanding pagi semalam (2 April).
Tambahnya lagi, kesemua mangsa ditempatkan di Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).
“Seramai 323 orang daripada 84 keluarga dipindahkan ke Dewan Masjid Putra Heights, manakala 70 orang daripada 15 keluarga ditempatkan di Dewan Camelia,” katanya dipetik Kosmo.
Wan Azlan berkata, 41 mangsa menerima rawatan di hospital dengan 30 orang dirawat di hospital kerajaan manakala 11 lagi di hospital swasta.
“Setakat ini, dua mangsa berada di zon merah, manakala 39 lagi dalam zon kuning. Mangsa dalam zon hijau kebanyakannya telah dibenarkan pulang,” ujarnya.

Tiada Lagi Kandungan Gas Dalam Saluran Paip
Dalam pada itu, Wan Azlan memaklumkan bahawa tiada lagi kandungan gas dikesan dalam saluran paip terbabit dan kerja pemulihan dapat dijalankan dengan selamat.
Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak Petronas mendapati tiada lagi gas terkandung di dalam saluran paip berkenaan.
“Pihak Petronas masih lagi memantau kandungan gas dalam saluran terbabit dan setakat ini, kandungan gas di dalam saluran paip didapati kosong.
“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca berlakunya letusan saluran tersebut serta meliputi integriti paip itu sendiri,” katanya dipetik Berita Harian.
Di samping itu, Wan Azlan berkata integriti dua lagi saluran paip akan dinilai mulai hari ini (3 April) bagi memastikan ia masih baik ataupun tidak.
Tiada Mayat Ditemui Di Lokasi Kebakaran
Wan Azlan turut mengesahkan bahawa operasi pencarian yang dijalankan secara menyeluruh oleh Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menemui sebarang mayat.
“Kita risau jika ada saudara-mara kepada penghuni yang tertinggal atau tidak dapat keluar dari kawasan ini.
“Namun, Alhamdulillah, hasil pengesanan adalah negatif, maknanya tiada mayat dijumpai dan pasukan forensik telah mengambil sampel tanah di lokasi bagi menjalankan kajian lanjut,” katanya.

Siasatan Dijalankan Oleh PDRM, JBPM & Petronas
Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan ke atas insiden kebakaran saluran paip gas tersebut mula berlangsung semalam (2 April) selepas fokus diberikan kepada kerja-kerja menyelamat dan usaha memadamkan kebakaran.
Di samping pihak PDRM pemeriksaan dan siasatan akan turut dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Petronas bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
“Kita terima semua maklumat termasuk dakwaan berlaku korek tanah di situ sehingga menyebabkan kebakaran.
“Kita akan siasat semua itu dan jika benar ada korek tanah, kita nak tahu siapa yang korek,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: Insiden Kebakaran Saluran Paip Gas Putra Heights: Polis Siasat Dakwaan Kerja Korek Tanah Jadi Punca
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.