Chery Malaysia Bekalkan 50 Kereta Untuk Kegunaan Sementara Mangsa Kebakaran Putra Heights
Menurut Exco Selangor Ng Sze Han, Chery Malaysia akan membekalkan kereta tersebut selama sebulan khususnya untuk urusan mangsa ke tempat kerja dan anak bersekolah bagi menghadapi peperiksaan.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Hari kedua Aidilfitri 2025 bertukar duka apabila masyarakat digemparkan dengan berita kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights semalam (1 April).
Ia bukan sahaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa, malah ramai juga yang kehilangan tempat berteduh dan tinggal sehelai sepinggang akibat kejadian ini.
Dalam masa sama, banyak juga kenderaan milik mangsa telah cair lebur akibat bahang api yang terlalu panas. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), ketinggian api 30 meter (m) itu mencecah suhu 1,000 darjah Celsius.
Baca Artikel Berkaitan: Insiden Putra Heights: Penduduk Terjun Ke Sungai Kerana Bahang Api Terlalu Panas
Baca Artikel Berkaitan: Polis Siasat Dakwaan Kerja Korek Tanah Sebabkan Kebakaran Saluran Paip Gas Putra Heights
Baca Artikel Berkaitan: Projek Pembinaan Berhampiran Lokasi Kebakaran Paip Gas Putra Heights Ada Kelulusan – Datuk Bandar Subang Jaya
Chery Malaysia Sediakan 50 Kereta Untuk Mangsa Terlibat Kebakaran
Terbaharu, syarikat automotif Chery Malaysia menyediakan sebanyak 50 buah kereta untuk kegunaan mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights selama satu bulan.
Menurut Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, beliau telah bertemu dengan sebahagian besar mangsa dan menerima banyak maklum balas bagi keperluan mereka pada ketika ini.
Jelas Sze Han, antara keperluan penting adalah urusan ke tempat kerja dan anak yang masih lagi bersekolah bagi menghadapi peperiksaan.

“Jadi semalam (Selasa), saya telah menghubungi Chery Malaysia untuk minta bantuan membekalkan kereta bagi kegunaan sementara kepada mangsa.
“Pagi tadi (Rabu) saya terima panggilan (daripada) Chery Malaysia bahawa mereka telah bersetuju untuk bekalkan 50 buah kereta Chery untuk tempoh satu bulan kepada mangsa yang memerlukan dalam tempoh (insiden) ini,” maklum beliau.

Ambil Pendekatan ‘Siapa Cepat Dia Dapat’ Untuk Pemberian Kereta
Buat mangsa yang mahu menggunakan perkhidmatan pinjaman kereta itu, permohonan boleh dilakukan melalui pejabat Sze Han atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan.
Inisiatif ini merupakan usahasama kerajaan negeri dan Chery Malaysia untuk membantu para mangsa yang terkesan. Untuk info, bantuan daripada syarikat tersebut bernilai RM500,000.
Memetik Bernama, Sze Han berkata permohonan adalah atas prinsip ‘siapa cepat dia dapat’ dan pihak beliau akan membuat pemilihan teliti untuk membekalkan kereta yang terhad kepada mereka yang betul-betul memerlukan.

Takaful Malaysia Salur Bantuan Bernilai RM100,000 Untuk Mangsa
Syarikat lain juga bertimbang rasa dan tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran yang terkesan.
Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia), menyumbangkan bantuan kewangan sebanyak RM100,000 bagi menzahirkan keprihatinan dan solidariti kepada mangsa terjejas dan mengharungi kesukaran akibat tragedi ini.
“Sumbangan segera ini bertujuan memberikan bantuan kecemasan kepada mereka yang amat memerlukan.
“Selain itu, kami komited untuk membantu pelanggan dengan mempercepatkan proses tuntutan tanpa memerlukan laporan polis bagi pelanggan yang layak untuk memastikan mereka menerima bantuan yang diperlukan tanpa sebarang kelewatan,” kata pihak Takaful Malaysia.
Murid Terkesan Kebakaran Di Putra Heights Akan Terima Bantuan RM1,000
Bukan itu sahaja, golongan murid yang menjadi mangsa kebakaran tragis di Putra Heights juga layak menerima bantuan sebanyak RM1,000 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa bantuan terbabit bertujuan bagi meringankan beban keluarga yang kehilangan kelengkapan persekolahan, termasuk buku teks serta keperluan lain.
“Kita juga akan mengaktifkan pasukan kaunselor di pusat pemindahan sementara (PPS), selain pasukan sokongan akademik bagi memastikan murid-murid ini dapat kembali ke sekolah dalam keadaan yang lebih bersedia,” kata Fadhlina menerusi kenyataan di laman Facebook.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads  dan Instagram.Â