Dr Zaliha Nafi Dakwaan Kerajaan Beri Pampasan RM2 Juta Pada Kuil Di Jalan Masjid India
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan tiada sebarang bentuk pampasan yang dijanjikan oleh kerajaan kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Isu binaan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di Jalan Masjid India hampir selesai apabila pihak pengurusannya bersetuju agar ia dipindahkan ke lokasi baharu yang terletak 50 meter dari lokasi asal.
Ini bertujuan untuk memberi laluan kepada pembinaan Masjid Madani di atas tanah yang dimiliki oleh syarikat tekstil, Jakel Trading Sdn Bhd.
Malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum keputusan dicapai mengesahkan bahawa beliau akan merasmikan majlis pecah tanah Masjid Madani walaupun dipertikaikan badan bukan kerajaan (NGO).
Pun begitu, timbul dakwaan yang mengatakan kerajaan telah memberikan pampasan sejumlah amaun kepada pihak kuil dalam menyelesaikan kemelut yang timbul.
Baca Artikel Berkaitan: Anwar Sahkan Akan Rasmi Majlis Pecah Tanah Masjid Madani Hari Khamis Ini
Baca Artikel Berkaitan: Isu Pindah Kuil Selesai, Tapak Baharu 50 Meter Dari Lokasi Asal – Dr Zaliha
Dr Zaliha Nafikan Dakwaan Pampasan RM2 Juta
Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menafikan dakwaan bahawa pampasan RM2 juta diberikan kepada kuil tersebut.
Beliau merujuk kepada dakwaan dengan pertanyaan yang dikeluarkan oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, menerusi hantaran di Facebook.
“Kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan kepada pihak kuil seperti yang digambarkan.
“Malahan, tiada sebarang perjanjian atau ‘deal’ lain dibuat selain daripada penyelesaian yang sudah saya umumkan secara rasmi semalam,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Dr Zaliha Sifatkan Keputusan Sebagai ‘Win-Win’
Sehubungan itu, Dr Zaliha menegaskan bahawa keputusan tersebut bersifat menang-menang dan dibuat selepas berbincang dengan semua pihak terlibat.
“Yang paling utama, pembinaan Masjid yang sudah tertangguh sejak tahun 2020 di tanah milik swasta berkenaan dapat diteruskan seperti yang dirancang, manakala pihak kuil pula bersetuju untuk berpindah ke lokasi alternatif yang telah dikenal pasti,” ujarnya.
Kes Tidak Boleh Jadikan ‘Precedent Case’
Dalam masa sama, beliau juga menegaskan sekali lagi bahawa kes tersebut tidak boleh dijadikan sebagai rujukan (precedent case) untuk mana-mana kes lain pada masa akan datang.
“Ia adalah penyelesaian khusus kepada isu terbabit yang ditangani dengan penuh hikmah, mengikut lunas undang-undang dan mempertimbangkan sensitiviti pelbagai pihak,” katanya.
Dr Zaliha turut menggesa semua pihak agar menghentikan polemik yang tidak berfaedah ini.
“Janganlah kita mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman berdasarkan maklumat yang tidak sahih, kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah kita bina bersama,” katanya.
Firdaus Wong Minta ‘Perjanjian Sebenar’ Didedahkan
Terdahulu, Firdaus Wong menerusi hantaran di Facebook, meminta Dr Zaliha dan pihak terlibat untuk mendedahkan ‘perjanjian sebenar’ berkenaan isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
“Kenapa tiba-tiba pihak kuil yang selama ini berkeras enggan berpindah sanggup berpindah ke lokasi baru, yang hanya 50 meter dari tapak asal?
“Adakah terdapat sebarang ‘pampasan’ yang tidak didedahkan kepada umum selain dari kenyataan media pihak kuil setuju berpindah?” soalnya.
Dia juga mempersoalkan jika pihak kuil bukan sahaja mendapat tanah percuma berkeluasan 4,000 kaki persegi, tetapi juga diberi pampasan RM2 juta.
Kuil Akan Dipindahkan Dalam 50 Meter Dari Lokasi Asal
Sebelum ini, Dr Zaliha memaklumkan bahawa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman akan dipindahkan di tapak baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, kira-kira 50 meter dari lokasi asal.
“Keluasan tapak ini setara dengan saiz kuil sedia ada. Tapak ini merupakan sebahagian lot PT 95, Seksyen 40, Mukim Bandar Kuala Lumpur.
“Pembangunan tapak baharu ini tertakluk kepada syarat-syarat pembangunan yang berkuatkuasa dan pihak kuil juga bersetuju dengan perkara ini,” katanya.
Tambah beliau lagi, kerajaan mengulangi jaminan bahawa sebarang perobohan tidak akan dilakukan terhadap struktur kuil sedia ada.
Sebelum proses penempatan semula selesai sepenuhnya, Dr Zaliha berkata kuih tersebut akan diizinkan untuk beroperasi seperti biasa.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.