Pemenang Oscar & Pengarah Bersama Dokumentari ‘No Other Land’ Yang Ditahan IDF Kini Dibebaskan
Pengarah Bersama dokumentari tersebut, Hamdan Ballal yang juga warga Palestin telah diserang peneroka haram berhampiran kediamannya sebelum dipercayai diculik tentera IDF.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Perjanjian gencatan senjata antara tentera Israel dan pejuang Hamas telah dilanggar apabila satu serangan besar-besaran dilancarkan ke atas Gaza sekitar dua minggu lalu.
Kezaliman rejim Zionis itu seolah-olah tiada hentinya apabila sekurang-kurangnya 792 rakyat Palestin syahid setelah pengeboman dilakukan semula ke atas Gaza, menjadikan jumlah kematian keseluruhan mencecah 61,700 sejak Oktober 2023.
Malah dalam satu serangan udara pada 15 Mac, seramai lapan petugas Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang menjalankan misi kemanusiaan di utara Gaza, Beit Lahiya turut terkorban.
Baca Artikel Berkaitan: 8 Petugas MAPIM Terkorban: Malaysia Bantah Keras Keganasan Di Gaza
Baca Artikel Berkaitan: Israel & Hamas Setuju Gencatan Senjata Di Gaza, Fasa Pertama Bermula Ahad Ini
Baca Artikel Berkaitan: 40 Rakyat Palestin Dibunuh Beberapa Jam Selepas Pengumuman Gencatan Senjata
Pengarah Bersama ‘No Other Land’ Diserang Penduduk Haram
Dalam satu insiden terbaharu, Pengarah Bersama dokumentari ‘No Other Land’ Hamdan Ballal, menjadi mangsa apabila diserang sekumpulan penduduk haram berhampiran kediamannya di Tebing Barat.
Menurut rakannya yang juga Pengarah Bersama dokumentari sama, Yuval Abraham, Ballal telah dipukul sehingga mengalami kecederaan di kepala dan perutnya.
Dia kemudiannya menaiki ambulans sebelum tidak ditemui, dipercayai telah diculik oleh tentera Israel.
A group of settlers just lynched Hamdan Ballal, co director of our film no other land. They beat him and he has injuries in his head and stomach, bleeding. Soldiers invaded the ambulance he called, and took him. No sign of him since.
— Yuval Abraham יובל אברהם (@yuval_abraham) March 24, 2025
Ballal Telah Dibebaskan Selepas Semalaman Ditahan
Dalam perkembangan terkini, Ballal dilaporkan telah dibebaskan selepas ditahan semalaman di Kiryat Arba’a, Tebing Barat.
Salah seorang lagi rakan sutradaranya, Basel Adra, memaklumkan bahawa Ballal menerima rawatan di sebuah hospital di Hebron susulan pembebasannya.
Dia yang mengalami penyahhidratan dan lebam-lebam kini telah keluar dari hospital dan pulang ke pangkuan keluarganya di Susya, juga di Tebing Barat.
Menurut Adra lagi, rakannya itu telah dipukul oleh tentera dan penduduk haram, sebelum dibiarkan dalam keadaan ditutup mata dan digari tangannya sepanjang malam.
Hamdan has been released and is currently in the hospital in Hebron receiving treatment. He was beaten by soldiers and settlers all over his body. The soldiers left him blindfolded and handcuffed throughout of military base last night. pic.twitter.com/Eis0J3CS24
— Basel Adra (@basel_adra) March 25, 2025
Ballal Diserang 3 Penduduk Haram Israel Di Hadapan Rumahnya
Menerusi laporan CNN, isteri kepada Ballal, Lamya berkata suaminya telah diserang di hadapan rumah mereka oleh tiga penduduk haram selepas baru sahaja berbuka puasa.
Katanya lagi, Ballal telah menyaksikan sekumpulan penduduk haram yang sedang menyerang kampung itu. Mereka kemudiannya menghampirinya apabila dia cuba mendokumentasikan kejadian itu.
Menurut Lamya, suaminya dipukul menggunakan penumbuk tembaga dan hujung senapang di kepalanya.
Sementara itu, beberapa penduduk haram lain membaling batu ke arah pintu rumahnya dan ‘cuba memasuki rumah menerusi tingkap’. Lamya ketika itu sedang berada di dalam rumah bersama tiga anak mereka.
Adra Dakwa Tentera Israel Cuba Menembak Sesiapa Yang Menghampiri
Tambah Adra pula, dia telah ke rumah Ballal pada Isnin lalu (24 Mac) selepas menerima panggilan kecemasan dari rakannya itu. Namun ketika dia tiba ke sana, Ballal dan sekurang-kurangnya seorang lain sedang dibawa pergi.
Katanya lagi, sekumpulan penduduk haram Israel yang bertopeng, serta polis dan tentera Israel dilihat berada di luar rumah Ballal. Tentera Israel juga turut menembak sesiapa sahaja yang cuba menghampiri.
CNN melaporkan menemui kelongsong peluru hanya beberapa tapak dari pintu rumah Ballal.
Dokumentari ‘No Other Land’ Raih Anugerah Oscar
Bagi anda yang tidak tahu, ‘No Other Land’ telah meraih anugerah Oscar bagi kategori Dokumentari Terbaik. Ini bermakna serangan ke atas Ballal dilakukan hanya tiga minggu setelah dia menaiki pentas di Anugerah Akademi ke-97 itu.
Dokumentari tersebut memberi gambaran tentang keganasan Israel terhadap rakyat Palestin dan perjuangan mereka dalam melindungi tanah air.
Filem yang diterbitkan antara 2019 dan 2023 itu menyelusuri pengalaman Adra sewaktu dia mendokumentasikan kemusnahan di kampung halamannya, Masafer Yatta.
Menurut Al Jazeera, kawasan yang terletak di selatan Tebing Barat itu dimusnahkan oleh Israel yang mahu menggunakannya sebagai zon latihan ketenteraan.
Filem yang turut diarahkan bersama wartawan Yahudi-Israel, Yuval Abraham, itu juga telah menerima anugerah di Berlin International Film Festival dan New York Film Critics Circle.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.