STR Fasa Ke-2 Disalur Bermula 24 Mac 2025
Menurut Kementerian Kewangan, peruntukan untuk STR pada tahun ini meningkat daripada RM1.5 bilion kepada RM1.7 bilion
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum sedia maklum, Syawal akan tiba tidak lama lagi sekaligus menandakan perayaan Aidilfitri buat mereka yang beragama Islam.
Orang ramai pun sudah mula membuat persiapan dengan membeli baju raya, kuih serta kerepek, langsir baru, pelita dan sebagainya.
Namun mungkin ada di antara kita yang sudah kering duit poketnya, maklumlah sekarang pun dah hampir ke hujung bulan. Tambah pula dengan perayaan yang semakin hampir, bajet masing-masing mungkin sedikit terhad.
Baca Artikel Berkaitan: Belanjawan 2025: Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) & SARA Naik Kepada RM13 Bilion
STR Fasa Ke-2 2025 Akan Diagih Bermula 24 Mac Ini
Namun usah risau, Kementerian Kewangan (MoF) menerusi satu kenyataan hari ini (21 Mac) memaklumkan bahawa kerajaan akan menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 secara berperingkat mulai Isnin depan (24 Mac 2025) kepada hampir sembilan juta penerima.
Sekadar info, peruntukan untuk STR pada tahun ini meningkat daripada RM1.5 bilion kepada RM1.7 bilion.
Bantuan sehingga RM650 itu bakal diterima 60% penduduk dewasa bagi empat kategori. Berikut kami sertakan sekali kategori bersama jumlah bantuan yang layak diterima:
- Isi rumah berpendapatan kurang RM2,500: RM150-RM650
- Isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000: RM100-RM300
- Warga emas tiada pasangan: RM150
- Bujang: RM150
Sumbangan STR Bantu Persiapan Raya Penerima
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan prihatin terhadap kos sara hidup rakyat terutamanya bagi membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.
“Kerajaan MADANI kekal peka akan keperluan golongan terbanyak dalam mengharungi beban kos sara hidup, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Peningkatan peruntukan STR dan SARA (Sumbangan Asas Rahmah) pada 2025 sebanyak RM3 bilion atau 30% kepada RM13 bilion adalah ikhtiar untuk meningkatkan martabat hidup rakyat secara saksama,” kata beliau.

Sumber: Malay Mail
Mengulas lanjut, pembayaran STR akan dikreditkan kepada penerima yang mempunyai akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi penerima yang tiada akaun bank termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pendaftaran STR 2025 Dibuka Sepanjang Tahun
Dalam pada itu, MoF turut menjelaskan bahawa pendekatan terkini kerajaan adalah dengan membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi ruang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan.
Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.
Semakan status kelayakan STR boleh dilakukan di portal rasmi STR [DI SINI].
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



