Fahmi Fadzil Minta Guru Henti Guna Pelajar Untuk Konten TikTok
Menurut Menteri Komunikasi itu, kandungan media sosial yang melibatkan pelajar boleh menimbulkan beberapa isu antaranya mendorong kes pengantunan kanak-kanak.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Dengan teknologi canggih masa kini, rata-rata orang ramai menggunakan media sosial dalam rutin harian mereka. Malah semakin ramai golongan masyarakat mula berkecimpung dalam dunia penciptaan kandungan.
Namun ada juga yang terlepas pandang tentang isu keselamatan menggunakan platform tersebut. Sebagai contoh, tular beberapa akaun guru sekolah di laman TikTok misalnya, menunjukkan konten melibatkan para pelajar.
Dalam video tersebut, kebanyakan wajah kanak-kanak ini tidak ditapis dan menyebabkan data mereka didedahkan kepada warganet bukan sahaja dalam negara malah hingga ke negara luar.
Guru Diminta Henti Guna Pelajar Dalam Kandungan Media Sosial
Terbaharu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, meminta golongan pendidik agar tidak menggunakan pelajar terutamanya murid sekolah rendah sebagai bahan kandungan dalam laman media sosial masing-masing.
Menurut beliau, hal ini kerana kandungan sebegitu boleh disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab, termasuklah bagi tujuan jenayah seksual kanak-kanak.
“Sekiranya guru itu adalah seorang pempengaruh, carilah kandungan lain, kerana akan timbul beberapa isu terhadap keselamatan, data peribadi dan sebagainya jika mendedahkan wajah atau nama murid ke dalam media sosial mereka.
“Ia mungkin membolehkan kanak-kanak itu menjadi mangsa jenayah seksual, pengantunan kanak-kanak atau pengantunan seksual (sexual grooming). Kita nak mengelak jenayah dan masalah ini berlaku. Jadi, guru jangan benarkan imej pelajar mereka dimasukkan dalam media sosial,” ulas Fahmi, lapor Berita Harian.

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ini Dedah Masyarakat Kurang Cakna Kes Jenayah ‘Child Grooming’, Anggap Sekadar Jenaka
Internet Perlu Diguna Dengan Selamat
Berbicara lebih dalam mengenai isu terbabit, Fahmi memaklumkan pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam memastikan internet selamat digunakan.
“Kementerian menyediakan internet di semua sekolah. Ada kira-kira 4,000 sekolah disasarkan untuk projek titik kehadiran. Apa guna ada internet murah, laju dan meluas tetapi tidak digunakan dengan selamat.
“Kita mahu ia selamat digunakan, terutama bagi kanak-kanak dan keluarga,” tambah beliau lagi.

Guru Perlu Cakna Konten Sesuai Dimuat Naik Di Media Sosial
Terdahulu Fahmi ada menegaskan bahawa para pengajar wajar memahami trend terkini melibatkan kandungan kanak-kanak dalam media sosial supaya generasi itu dapat dikawal serta diberikan penjelasan, sekaligus tidak ketagih dengan konten bersifat negatif di laman internet.
“Media sosial tidak sesuai untuk kanak-kanak. Menerusi jelajah (Kempen Jelajah Internet Selamat di 10,000 sekolah) itu nanti, mesej yang saya mahu sampaikan kepada guru sekolah rendah ialah agar mereka menghentikan penggunaan TikTok untuk membuat kandungan membabitkan pelajar.
“Dalam media sosial, mereka merakam serta menyimpan data dan apabila kita memasukkan kandungan, sebenarnya kita telah menyerahkan maklumat diri serta keadaan sekeliling kepada pelayan dan platform yang dimiliki kebanyakan negara asing.
“Itulah sebab kita perlu berwaspada dan tahu apa kandungan yang sesuai untuk dimasukkan dalam media sosial,” jelas Fahmi.

Pemandu Bas Kerap Rakam Murid Perempuan
Pada tahun lalu, kecoh mengenai kes seorang pemandu bas dari Johor yang selalu memuat naik kandungan konten melibatkan kanak-kanak yang juga penumpang basnya.
Dalam video tular, kelihatan pemandu bas tersebut menyentuh bibir seorang kanak-kanak perempuan semasa sedang tidur. Lelaki itu kemudian membuka tudung murid terbabit lalu mencium dahinya.
Bukan itu sahaja, dia juga didakwa selalu meletakkan kaspyen yang mencurigakan di beberapa hantarannya. Susulan itu, pihak polis telah bertindak menahan pemandu bas itu atas dua dakwaan iaitu melakukan amang seksual dengan mengucup pipi kanak-kanak perempuan berumur empat tahun yang juga anak saudaranya.
Manakala yang kedua, dia didakwa memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang kali dengan maksud seksual. Pemandu bas berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terbabit.
Kesalahan Child Grooming Boleh Dipenjara Maksimum 5 Tahun
Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 bertujuan memberi perlindungan kepada kanak-kanak, melindungi kepentingan dan kebajikan mereka serta mencegah kesalahan seksual terhadap golongan itu.
Di bawah akta tersebut, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh juga dihukum sebat.
Baca Artikel Berkaitan: ‘Abang Bas’ Rakam & Muat Naik Video Murid Perempuan Sudah Ditahan Polis
Baca Artikel Berkaitan: Buat Konten ‘Crush’ Dengan Pelajar, Abang Bas Mengaku Tak Bersalah
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads  dan Instagram.Â