8 Petugas MAPIM Terkorban: Malaysia Bantah Keras Keganasan Di Gaza
Satu serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Israel pada Sabtu (15 Mac) telah mengorbankan 8 petugas MAPIM di utara Gaza.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setelah lebih 15 bulan serangan ke atas Palestin berlaku sejak Oktober 2023, detik bersejarah akhirnya tercatat apabila satu perjanjian gencatan senjata dicapai pada Januari lalu.
Fasa pertama perjanjian yang dicadangkan berlangsung selama 42 hari membabitkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan sebilangan tahanan Palestin.
Pun begitu, hanya beberapa jam selepas gencatan senjata diumumkan, sekurang-kurangnya 40 rakyat Palestin terbunuh.
Baca Artikel Berkaitan: Israel & Hamas Setuju Gencatan Senjata Di Gaza, Fasa Pertama Bermula Ahad Ini
Baca Artikel Berkaitan: 40 Rakyat Palestin Dibunuh Beberapa Jam Selepas Pengumuman Gencatan Senjata
Negara Keluarkan Bantahan Rasmi Terhadap Keganasan Di Gaza
Terbaharu, Israel telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza, sekaligus melanggar perjanjian gencatan senjata sejak ia bermula kurang dua bulan lalu.
Serangan udara pada Sabtu (15 Mac) telah mengorbankan lapan petugas Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang menjalankan misi kemanusiaan di utara Gaza, Beit Lahiya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara tersebut.
Menurut laporan Harian Metro, beliau menegaskan bahawa negara mengeluarkan bantahan keras berterusan secara rasmi terhadap kezaliman yang dilakukan rejim Israel di tanah suci Palestin.
“Kita mengutuk keras pembunuhan dan kezaliman ke atas sukarelawan MAPIM yang bertugas untuk (misi) kemanusiaan seperti membantu pesakit dan sebagainya.
“Kerajaan secara rasmi mengeluarkan bantahan keras terhadap keganasan berterusan,” katanya.
Zahid Hamidi Kutuk Serangan Korbankan 8 Petugas MAPIM
Di samping itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas tanah suci Palestin.
Beliau dalam masa sama menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak mendiamkan diri terhadap kekejaman yang dilakukan tentera zionis.
“Saya berasa amat sedih dan berdukacita atas pemergian lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang telah syahid dalam serangan udara kejam di Gaza.
“Mereka adalah wira kemanusiaan yang berjuang tanpa mengenal lelah demi membantu saudara-saudara kita yang tertindas. Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada MAPIM, tetapi juga kepada seluruh umat yang memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan,” ujarnya.
Kesemua mereka yang terkorban ialah warga Palestin iaitu Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad.
MAPIM Terus Komited Beri Bantuan Kemanusian Di Palestin
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, petugas terbabit sedang mendirikan khemah pelarian apabila serangan berlaku pada jam 1.30 tengah hari Sabtu (15 Mac).
“Tindakan menyerang orang awam yang sedang menjalankan tugas kemanusiaan adalah jenayah paling keji dan terkutuk.
“MAPIM mengutuk sekeras-kerasnya jenayah perang ini dan menyeru rakyat Malaysia untuk mengadakan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan saudara-saudara kita di Gaza,” katanya dalam kenyataan.
MAPIM bagaimanapun menegaskan bahawa mereka akan terus komited dalam memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin walaupun berdepan serangan terbabit.
Setakat ini, sebanyak 1,000 khemah telah didirikan oleh MAPIM di Gaza bagi menempatkan pelarian yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan udara berterusan.
Baca Artikel Berkaitan: 8 Petugas MAPIM Syahid Dalam Serangan Udara Di Gaza
Lebih 400 Rakyat Palestin Terkorban Dalam Serangan Oleh Israel
Serangan gelombang baharu rejim zionis ke atas Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya 404 rakyat Palestin, kebanyakannya ialah kanak-kanak, manakala 562 tercedera sejak ia bermula Sabtu (15 Mac) lalu.
Sehubungan itu, Hamas melihat serangan Israel sebagai pembatalan unilateral terhadap gencatan yang bermula sejak 19 Januari itu.
“Netanyahu dan kerajaan ekstremisnya sedang membuat keputusan untuk membatalkan perjanjian gencatan senjata, mendedahkan tahanan di Gaza kepada nasib yang tidak diketahui,” kata Hamas menerusi satu kenyataan.
Menurut laporan Al Jazeera, serangan udara tertumpu pada kawasan kejiranan, sekolah sementara dan bangunan kediaman di mana ramai penduduk Gaza mendapatkan perlindungan.
Untuk info, perbincangan perjanjian gencatan senjata fasa kedua, yang akan menyaksikan pembebasan hampir 60 tahanan dan kewujudan gencatan senjata kekal, telah menemui jalan mati apabila Israel mendesak agar fasa pertama dilanjutkan sehingga pertengahan April.
Setakat ini, Hamas telah membebaskan lebih 30 tahanan sebagai pertukaran dengan 2,000 tahanan Palestin sejak bermulanya gencatan senjata dua bulan lalu.
Baca Artikel Berkaitan: “Gaza Milik Palestin”- Bekas PM Israel Tolak Cadangan AS Ambil Alih Gaza
Baca Artikel Berkaitan: “Israel Haramkan UNRWA Di Palestin Strategi Nafikan Hak Penduduk Pulang Ke Tanah Air” – Wisma Putra
Baca Artikel Berkaitan: Tak Wajar Pertikai Usaha Bantu Warga Palestin, Malaysia Terkenal Dengan Sifat Keprihatinan – Nadir Al-Nuri
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.